Thursday, February 25, 2010

Ulat Baru Ulat Lama

3 comments

Arrrkkkkk!!!!  Aku terlompat kerana terjumpa seekor labah-labah.  Sungguh lama aku tidak update blog ini sehinggakan ia bersawang.  Tetapi aku tidak sepatutnya takut pada Sang Labah-Labah kerana ia yang telah membantu Nabi Muhammad S.A.W sewaktu baginda berhijrah dahulu.  Terima kasih Spider (bukan Spiderman atau Tam Spider ya).

Sambil mengibas-ngibas ini aku teringat pada aktiviti 20 Februari 2010 yang lalu.  Ulat dari seluruh pelosok tanahair membuat serangan kedua.  Kali ini ulat-ulat ini mendapat pula liputan RTM serta dapat pula sokongan dari Kedai Buku BookXcess di Amcorp Mall.  Oh, aku ulat yang berprofil kecil, jadi agak tersorok dari lensa kamera tetapi aku tidak kisah.  Semangat aku tetap membara seperti ulat-ulat lain juga. 

Kali ini aku memilih untuk memulakan serangan dari Masjid Jamek.  Niat di hatiku dan Mak ET (sahabat halimunanku) hendak bersama-sama dengan angkatan Sindiket Sol-Jah.  Bagaimanapun, sebaik sahaja tren tiba aku membuat keputusan bagi pihak Mak ET dan Yana untuk tidak bertempur di dalam tren yang sama:
1) Kerana aku memikirkan Yana.  Keselesaan lebih utama.  Kalau aku pengsan bagaimana Yana dan Mak ET hendak memulihkan diriku? 

2) Kerana aku memikirkan bila orang terlalu ramai, apakah akan kelihatan figura-figura membaca di mata orang yang tidak membaca?  Bila terlalu ramai, sesak, mata mereka akan lebih senang dipejamkan atau jarak penglihatan menjadi terlalu terhad.  Objektif mengajak orang ramai membaca akan sedikit sebanyak boleh terganggu.

3) Kerana aku yakin walaupun aku bergerak dalam platun kecil, mesej akan tetap juga sampai.  Aku ingin menunjukkan bahawa memegang buku bukan sesuatu yang menjijikkan (hatiku agak terasa kecil dan panas apabila ada orang berkata "GROSS!!!" setelah melihat temanku berposing dengan buku di FB suatu ketika dahulu).

4)  Kerana aku memikirkan ramai orang tidak membawa bahan bacaan bersama kerana mereka merasa pening membaca di dalam kenderaan bergerak. Apabila aku mengikut gerakan ini, ia adalah usaha kecil untuk memastikan sekurang-kurangnya seorang generasi di bawahku (Yana) berkebolehan membaca di dalam kenderaan bergerak.  Itulah objektif utama.  Jadi, aku tidak perlu terburu-buru.

5) Kerana kami bertiga telah mendapat liputan di dalam akhbar pada Baca@LRT Januari, jadi kami tidak perlu risau jika kami terlepas lensa kamera mana-mana pihak media kali ini.. hahaha... :P

Setelah bergambar di Stesen Taman Jaya, kami bergerak ke Amcorp Mall untuk menyerahkan borang keahlian percuma yang telah diisi dan mendapatkan "book thong" comel juga secara percuma.  Pertama kali aku mendengar perkataan "book thong" aku terfikir buku pun ada spender?  Bagaimana rupanya?

 
Inilah "book thong" yang menjadi rebutan aku dan Yana.  Dingin, bukan?



Cina kedai itu telah mengajarku untuk menggunakan "book thong" seperti ini.

Semasa berada di BookXcess aku agak terkejut kerana mendapati harga buku-bukunya agak murah berbanding kedai lain.  Untuk pengetahuan, buku-bukunya semua berbahasa Inggeris.  Nampaknya, dengan kewujudan kedai buku ini, usaha untuk memperkasakan Bahasa Inggeris akan menjadi lebih mudah.  Macamlah kedai buku second hand tidak jual murah?  Masalahnya, buku-bukunya semua baru-baru belaka.  Aku begitu teruja menolak rak buku ke kiri dan ke kanan kerana aku tidak pernah melihat rak buku seperti itu.  Macam sliding door tu.  Kasihan aku, kan?  Maklumlah, aku ulat dari kampung.  Di kampung tiada rak buku bergerak-gerak begitu.

Oleh kerana dompetku agak nipis ketika itu, aku hanya membelikan Yana tiga kamus bergambar sebagai rasuah menggantikan "book thong" yang menjadi rebutan kami.



Kamus ini juga sesuai untuk orang dewasa

Selepas memilih buku, kami mengisi perut di McDonald's bersama-sama ulat yang lain.  Aku gembira kerana aku dan Mak ET berjaya juga mengaplikasikan Teknik Menghilangkan Malu Dari Ponorogo apabila mendapat rakan-rakan baru di sana.

Buat peserta Baca@LRT, syabas dan teruskan perjuangan!

Wednesday, February 10, 2010

Moral Seorang Lady Driver

8 comments

Sambil-sambil memandu aku mesti terfikir, orang sering mengatakan pemandu wanita ni culas.  Orang putih kata reckless, careless, absent-minded.  Sampai ada ketika aku merasa rendah diri dan kecil di jalanraya walaupun aku tidaklah kecil atau rendah.  Hendak memotong pun rasa malu.  Hendak memecut pun takut-takut. 

Seringkali aku dapat e-mel yang mengandungi gambar-gambar yang menunjukkan kecuaian pemandu wanita.  Sehinggakan aku akan mengintai semula penutup tangki minyak kereta selepas mengisi petrol.  Takut tangki tidak bertutup atau terlupa menyangkut semula paip petrol (apa orang panggil benda tu ek? .. yang macam pistol air tu).  Aku terfikir teruk benarkah pemandu wanita?

Sebuah kereta mengekoriku di lebuhraya dengan begitu rapat sekali.  Lagi dia rapat, lagi aku jauhkan jarak dengan kereta di hadapanku.  Maaf, aku bukan selemah itu.  Aku mengikut teori pemanduan jarakkan 2 saat untuk pemanduan biasa dan 4 saat bila diekori dengan rapat.  Aku lihat melalui cermin pandang belakang, pemandunya lelaki.

Aku sedang memandu di lorong kanan dan secara tiba-tiba sebuah kereta di lorong kiri terus masuk di hadapanku tanpa memberi signal.  Aku pun bagi lampu tinggi kepadanya.  Bila aku memotongnya aku sempat menoleh.  Pemandunya seorang lelaki.

Sebuah kereta lain di hadapanku asyik membrek.  Sikit-sikit brek.  Sikit-sikit brek.  Lampu brek rosak, atau brek rosak?  Mungkin kaki lenguh asyik nak landing kat pedal brek?  Bila aku berjaya memotongnya aku lihat pemandunya lelaki. 

Ada kereta macam Terminator rosak.  Terminator ni kereta yang tidak menyalakan lampu pada waktu malam.  Eh, siap bagi lampu tinggi pula bila aku nak melintas dia takut aku langgar dia.  Boleh pula menyala lampunya?  Aku tengok pemandunya lelaki.  

Ada pula yang jenis bila hujan lebat sikit, mesti pasang lampu kecemasan.  Aku rasa orang ini kena dengar ayat macam iklan talian 999 di televisyen tu.  SILA GUNAKAN SEMASA KECEMASAN... KE...CE...MA...SAN... Apa pasal dia cemas sangat bila hujan lebat?  Buka lampu  besar sudahlah.  Mesti orang ini jawab salah soalan objektif semasa ujian memandu (sebab aku pun jawab salah dulu kah..kah..).  Sekurang-kurangnya aku ambil iktibar.  Siapa yang tak ambil iktibar ni?  Aku lihat pemandunya lelaki.

Di simpang samada ada traffic light atau tidak, cukuplah sekadar 2 saat lewat bergerak, pasti ada yang membunyikan hon.  Maaf ya, aku mesti memastikan jalan benar-benar selamat untuk melintas.  Kalau eksiden, ada orang nak bayarkan?  Pemandu lelaki yang hon tu pasti orang pertama larikan diri.

Ada yang sangat yakin dia berada di litar lumba F1 Sepang.  Cilok sana, cilok sini.  Buka pula lampu tinggi nak suruh aku ketepi.  Jangan kau dekat walau seinci, aku pasti buat tak reti.  Siapa pemandunya?  Siapa? Siapa?  Pandaaaaaaaaaaaaaaaaaiiii... siapa lagi kalau bukan lelaki.

Semasa hendak memulakan kembali perjalanan, sebuah kereta tiba-tiba kematian enjin.  Tersengguk-sengguk dan tersedak kereta tu.  Di dalamnya ada 4 org pemuda yang sedang ketawa sambil menahan malu.  Pemandunya juga malu.  Yelah, tentulah pemandunya lelaki.

Sebuah kereta dengan penuh gaya ala James Bond masuk ke petak parkir.  Tapi sayang, garisan kereta tidak selari dengan garisan kotak parkir.  Kereta senget 45 darjah mungkin mencecah 76 darjah.  Ada juga yang keretanya tidak berada di dalam petak.  Mungkin semasa belajar matematik dulu, dia mesti tak tulis nombor dalam petak.  Mesti cikgu matematik dia pening.  Aku tengok pemandunya lelaki juga.

Terima kasih kaum lelaki.  Kisah ronda-ronda di atas membuatkan self-esteem aku sebagai pemandu wanita semakin meningkat.  Aku tidak lagi gentar berada di jalanraya.  Sebabnya?  Kau dan aku sama sahaja atau aku dapat rasakan pemandu wanita tidaklah seteruk kau orang....hahaha...

Friday, February 05, 2010

Baca@LRT 20 Februari 2010

0 comments
Sekali lagi warga kota LRT akan diserang ulat-ulat yang telah menyerang pada 16 Januari 2010.  Ulat-ulat itu mungkin akan bertambah banyak. 

Aku di pejabat dan sudah hendak pulang.  Aku hendak cepat.  Jadi, aku letak sahaja pautan ini.  Jangan marah haaaaaaa....

Tema Buku : Saster, tidak Sastera pun tidak mengapa.

p/s  Aku akan berpuasa Internet pula sepanjang hujung minggu kerana talian telefon rosak.  Aku tidak berdaya melawan takdir ini.  Aku pasrah.  


Tuesday, February 02, 2010

Tegar Seperti Aku?

2 comments

Berkuatkuasa Januari 2010, budak perempuan itu tidak dibenarkan menggunakan komputer bermula Ahad malam hingga Khamis.  Dia hanya boleh menggunakannya pada hari Jumaat malam sehingga siang Ahad sahaja.

Pada hari-hari larangan tersebut, dia dikehendaki membaca, membaca, membaca, menulis dan menjaga bermain dengan adiknya.

Hasilnya, semalam dia telah bertindak memasang sendiri komputernya.  Dia sudah tidak peduli dengan jelingan mataku.  Aku dapat melihat rakusnya jari-jemari kecil itu menari-nari di atas papan kekunci yang veteran itu.  Punat-punat pada monitor juga ditekan-tekan.  

Memang.. memang dia seorang yang tegar!

 
Sayang betul dia pada komputernya.. siap cover monitor tu.. ish ish..



 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates