Saturday, August 21, 2010

Erti Puasa Bagi Budak Enam Tahun 2010

3 comments
Sebelum Ramadhan tahun ini bermula, saya telah pun memulakan kempen "Jom Berpuasa" kepada seorang kanak-kanak Ribena ini.  Kanak-kanak ini memang suka Ribena jadi memang sesuai sangatlah gelaran tersebut.

Seperti Ribena, Horlicks juga memulakan kempen Ramadhannya.  Tanpa disangka-sangka wajah mungil dan suara high pitch Fasha, anak penyanyi Liza Hanim yang sudah bertudung itu telah memberi satu impak besar.  Impak besar bukan sahaja kepada kanak-kanak Ribena bernama Yana tetapi juga ibunya ini.

Hari pertama Ramadhan, saya berpesan kepada Yana untuk berpuasa penuh.  Namun, dia hanya dapat berpuasa separuh hari.  Dia makan di nurseri sebaik sahaja pulang dari tadikanya.  Saya tidak mahu memaksanya. Sementelahan saya sering dimomokkan dengan cerita budak kecil mati sebab dipaksa berpuasa.

Saya berkempen pula sekiranya dia berjaya berpuasa penuh, dia akan mendapat RM1.00.  Sekiranya hanya separuh hari, dia hanya akan mendapat 50sen.  Amboi gembira betul dia.  Yeahh...reward is better than punishment...

Dalam kegembiraan itu, Yana pula berkempen pada saya agar membeli Horlicks.  Dia hendak bersahur dengan Horlicks seperti Fasha.  Huh, dia agak opportunist orangnya.  Saya terpaksa bersetuju walaupun harga Ho Ho Ho yang agak membuatkan saya terlopong kehohoan... (saya kira di kala ini frasa ketawa pesen terbaru "huhuhuhu..." sangat sesuai.. kerana yang saya faham, huhuhuh ni macam ketawa dalam menangis).

Bagi memastikan dia tidak berbuka awal, hari kedua saya berpesan kepada Yana, "Jangan makan dan minum sampai ibu balik kerja." Saya kira inilah layman term yang paling sesuai untuk budak berumur enam tahun.  Kalau saya sebut sampai azan Maghrib dia bukan faham.

Nampaknya dia benar-benar taat pada perintah itu.  Petang itu apabila saya sampai ke rumah pada pukul 6.20 petang, dengan pantas dia ke dapur dan terus minum.  Hendak dimarah rasa tak patut pula.  Hendak tergelak besar sambil menangis rasanya.  Salah saya juga terlalu underestimate kefahaman agama seorang budak.

Malam itu, dia mahu saya kejutkan dia untuk bersahur dengan mengucapkan skrip yang sama seperti Liza Hanim cakap pada anaknya.  Oh... sungguhlah saya tidak bersifat keibuan seperti itu.  Namun, demi kempen "Jom Berpuasa" saya, saya pun menghafal skrip tersebut.  Jadi pagi itu dia bersahur dengan Horlicks dengan rasa gembira.

Kali ini sebelum dia keluar ke tadika saya berpesan, "Jangan makan dan minum sampai azan Maghrib. Jangan korek hidung, korek telinga, marah-marah.  Faham?"

Pada hari ketiga ini dia betul-betul faham  kerana dapat berpuasa penuh untuk pertama kalinya.  Yana juga tidak perlu bersahur pada pukul 6.30 pagi seperti penulis blog ini dahulu.

Hari-hari seterusnya dalam Ramadhan ini, seawal 5 pagi saya akan memekak dengan skrip tambahan, "Yana, bangun!...ho! ho! ho! bangun bersaholick!"

Friday, August 13, 2010

Mengatasi Marah

1 comments
Ramadhan bulan yang suci...
Rahmat melimpah dari Ilahi...(2x)
Banyakkan amal di bulan ini... (2x)
Wajah muslimin selalu berseri... (2x)

Terngiang-ngiang bait lirik lagu ini setiap kali menjelang Ramadhan.  Ramadhan Mubarak!  Ramai antara kita merasa gembira dengan ketibaan Ramadhan.  Inilah masanya hendak turunkan berat, mengatasi amarah atau melatih diri menjadi lebih sabar dan insaf.

Bila sebut marah ni, teringat pula insiden yang pernah saya alami.  Mengapa mereka marah rasanya tidak perlulah diceritakan.  Nanti malu pula mereka sebab mereka sudah tua.

Apa yang penting saya baru terfikir, ketika mereka marah, saya turut marah.  Terlupa segala 90/10 Rules atau menarik nafas panjang atau beristighfar.  Apa yang sibuk lakukan ketika itu, saya meminta mereka bersabar.  Siapa yang boleh bersabar ketika marah? Siapa? Siapa?  Beritahu saya siapa boleh bersabar ketika marah?  Minta bertenang? Lagilah tidak boleh dipakai.  Cakap memanglah senang.

Walau bagaimanapun, saya membuat bedah siasat terhadap diri sendiri dan mendapat sesuatu.  Bak kata rektor saya, bedah siasat atau post-mortem bukan untuk menyalahkan sesiapa. Ia adalah menjawab dua persoalan:
1) What we have done that we should not have done
2) What we have not done that we should have done

Saya tidak sepatutnya meminta mereka bersabar.  Saya sepatutnya bertanya adakah mereka marah?  Jika benar mereka marah (memang sudah nyata mereka marah) saya patut meminta mereka INGAT ALLAH seterusnya menarik nafas dan BERISTIGHFAR semasa nafas dilepaskan.  Jika perlu, saya sepatutnya membimbing mereka membaca Ayat Kursi.

"Istighfar Tuan-tuan dan Puan-puan.. istighfar..."

"Tarik nafas dalam-dalam.. ikut saya.. istighfar Tuan Puan.. istighfar!"

Jika mereka begitu marah dan bertanya, "Kami begitu marah.  Kami tidak boleh istighfar!"

Sambil menggeleng kepala saya sepatutnya menjawab "Innalillah....."  

Beza Kita

0 comments

Aku seorang wanita
masih berjuang pada liku kehidupanku
sama sepertimu sang lelaki
hidup kita sama menguji

Aku seorang wanita
letih membanting tulang dan memikir
sama sepertimu sang lelaki
hidup kita mencari seperiuk nasi

Aku seorang wanita
punya harga diri
sama sepertimu sang lelaki
hidup kita pantang dicerca dan dikeji

Aku seorang wanita
menongkah adat yang mengongkong kemajuan
sama sepertimu sang lelaki
hidup kita elakkan merempat

Aku seorang wanita
cuba menjadi Fatimah dan Khadijah
sama sepertimu sang lelaki
hidup kita tidak kan terbanding dengan Ali dan Muhammad

Lalu sang lelaki, apakah sahaja
yang membezakan antara kita?

Jika kau tahu bezanya
hidup kita adakah kau biarkan sama?
ilmuku adakah kau biarkan sama?
imanku adakah kau biarkan sama?





Rin 
Bangi
13 Ogos 2010







Thursday, August 05, 2010

Membaca Menghilangkan Tekanan

4 comments
Kesibukan pada waktu kebelakangan ini memberi kekangan untuk saya mengemaskini blog kesayangan saya ini.  Hari-hari saya berazam untuk meletakkan entri terbaru, namun sebulan kemudian baru saya berpeluang untuk melakukannya.

Ketika ini saya sedang bercuti dan mengambil kesempatan untuk berkongsi sesuatu sebelum saya keluar untuk berjumpa teman-teman sebentar lagi.  Ketika ini juga lagu My Way dendangan Frank Sinatra berkumandang di radio yang terletak di atas peti ais di dapur saya.  Sungguh kena lagu dan tema entri kali ini.  Feeling rasanya, beb....  ehhehe...
Ya, kebelakangan ini ada sesuatu yang menguji.  Ujian biasa mungkin,  kerana Allah tidak akan menguji hambaNya dengan sesuatu yang tidak bisa ditanggungnya.  Kita harus sentiasa berdoa dan menggunakan kesabaran dan kebijaksanaan untuk mengharungi dugaan itu.  Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan kerana jika tiada penyelesaian ia bukanlah masalah, tetapi itu namanya cari pasal hahaha... Masalah akan datang kepada kita selagi kita masih hidup dan kita harus bersyukur kerana ia tanda kita masih bernafas di alam fana ini.  Ia tanda kita masih ada peluang memperbaiki diri sebelum kita dipanggil kembali dan sebelum penghakiman sebenar.

Kenapa saya masih tidak menceritakan membaca boleh menghilangkan tekanan?  Untuk tidak menghampakan tajuk di atas, marilah saya ceritakan sedikit.  Pagi tadi di waktu Subuh, saya telah membelek satu dokumen.  Ia merupakan valuation report hartanah yang sedang dalam proses pembelian.  Ia merupakan pengalaman pertama saya membaca valuation report.  Saya baca sehingga habis, ada peta, ada pelan rumah dan gambar rumah dengan langit berwarna biru.  Usai membacanya tiba-tiba saya rasa begitu lega seolah-olah apa yang sentiasa bermain di pundak fikiran saya hilang begitu sahaja.  Tumpuan saya benar-benar kepada isi kandungan valuation report tersebut.  Subhanallah.. memang benarlah membaca itu boleh menghilangkan tekanan hatta membaca sebuah valuation report.  Bayangkan tentu lebih besar hasilnya jika yang dibaca itu sebuah al-Qur'an.

Sekarang, selesai membaca entri saya ini, adakah kalian dapat rasakan sedikit kelegaan?  Saya pasti tentu ada sedikit rasa selesa di hati kalian kerana kalian baru sahaja membaca ... :)






 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates