Wednesday, October 10, 2012

Pengakuan & Berhati-hati

4 comments
Walaupun saya orang IT, saya juga manusia.  Saya telah terpadam satu posting hari ini.  Jadi saya kena taip semula.  Perasaan saya ketika ini, seperti minum air kosong ketika tidak haus  (mencilok ungkapan Tuan Bahruddin Bekri dalam buku Penulis Yang Disayang Tuhan).

Sebenarnya, saya hendak cerita tentang logik dalam membuat kesimpulan.

Contoh 1
Premis 1 :  Kelas A pandai
Premis 2 :  Ahmad pandai.
Kesimpulan :  Ahmad dari Kelas A  (Kesimpulan ini salah kerana tidak semestinya Ahmad dari Kelas A dan tidak semestinya hanya kelas A yang pandai).

Contoh 2
Premis 1 :  Kelas A pandai
Premis 2 :  Ahmad dari Kelas A
Kesimpulan :  Ahmad pandai  (Kesimpulan ini betul kerana Ahmad dari kelas A dan sudah dinyatakan Kelas A pandai).

Dalam mentafsir hadith, kita mesti berhati-hati supaya tidak membuat generalization seperti Contoh 1 di atas.  Eloklah kita berguru dengan yang alim dalam bidang tersebut.

Huii... tawarnyaaa air ni!  Rasa sudah tidak boleh telan.  Ok..chow!


Tuesday, October 09, 2012

Bahagiaku Di Sini

2 comments
Tajuk macam apa je, kan?  Sebenarnya sengaja saya hendak kongsikan satu laman web yang boleh membuatkan saya lupa sebentar masalah dan kekusutan kepala saya.

Walaupun kadang-kadang yang ditanam tidak menjadi, jiwa pekebun arwah Abahku mungkin mengalir di dalam diri.  Tidak dapat tanam pokok, tengok gambar pokok pun sudah seronok.

Bagus laman web ini.  Bukan sahaja pemiliknya menjual biji benih pokok, tetapi  yang penting ia memberikan tips-tips untuk orang bertangan panas.  Ada orang tangan panaskah?  Kalau bersalam melecur pula tangan.  Takutnyeee...

Malaslah cakap banyak.     Check this out...http://www.tanamsendiri.com








Wednesday, October 03, 2012

Roselle

6 comments
Sudah lama tidak menulis di sini.  Saya tidak mahu memberi alasan kerana apa sahaja yang saya tulis ia hanyalah alasan semata-mata.

Sebenarnya, semasa mandi pagi tadi saya ternampak labah-labah di siling bilik air.  Saya fikir sudah tiba masanya saya letak posting baru di sini kerana blog saya dan labah-labah sangat sinonim.  Saya terfikir sesuatu tentang labah-labah dan ingin kongsi di sini.

Namun, saya fikir adalah lebih baik saya warnakan sedikit blog ini dengan gambar-gambar yang telah lama saya ambil dan ingin kongsikan.  

Memperkenalkan...POKOK DAN BUAH ROSELLE!!!

Roselle atau nama saintifiknya Hibiscus Sabdariffa adalah dari spesis bunga raya.  Setelah Cik Roselle menjadi mangsa barulah saya tahu mangsa saya itu dari kalangan kaum Hibiscus.  Ya, nampaknya keturunan Homo Sapiens yang sedang menaip ini akhirnya baru sedar yang dia telah memakan (atau meminum?) bunga raya dalam bentuk jus.   
 
Penglibatan saya dan Abangku di dalam dunia Roselle ini bermula apabila Ibu Mertuaku memberikan benih Roselle untuk kami tanam di ladang sekangkang kera di sebelah rumah kami.  Abangku begitu gigih membajai pokok bunga raya ini dan saya hanya gigih menyiramnya apabila ada kelapangan.  Kemudian, beliau juga gigih menuai hasilnya sambil menyahsemuthitamkan buah-buah tersebut, sedangkan saya hanya gigih memerhati.  Ini kerana, saya perlu menyimpan tenaga untuk memproses jus roselle di kilang dapur kami.









Inilah buah Roselle yang cantik menawan berwarna merah hati.


Ini pula biji buah roselle apabila dibelah dua.  Bagaimana jika kita wujudkan perumpamaan baru "umpama biji roselle dibelah dua"?  Oh, saya patut tunjuk buah roselle apabila tua tetapi saya sudah beri kepada bos saya pula.  Beliau memang peminat jus roselle yang tegar.


Ini kelopak buah roselle tadi.  Boleh dikopek dengan jari sahaja atau belah bahagian bawah buah dan keluarkan bijinya.  Kelopak inilah yang akan kita jadikan jus soli.

 
 
Rebus kelopak roselle dengan air secukupnya sehingga mendidih dan air berwarna merah.


 Lebih merah daripada ini, ya.  Bolehlah tambah gula dan didihkan lagi.  Saya lebih suka air gula berasingan supaya senang hendak ditokok dan ditambah jus itu bila hendak lebih rasa roselle semasa minum.

Setelah siap, tapiskan.  Hampasnya boleh dikisar dan ditapis untuk mendapatkan pati.  Jika tidak mahu dikisar, boleh rebus hampas tadi sekali lagi tetapi dengan jumlah air yang sedikit.  Tapiskan lagi airnya apabila telah mendidih.  

Hampas roselle ini boleh dibuat halwa juga tetapi saya belum buat eksperimen :D


 
Bila hendak minum, kalau hendak lebih lazat, pastikan warna bancuhan lebih merah daripada di atas ini juga kerana  lebih pekat, lebih terasa kerosellannya.  Macam Ribena.  Kelasssssss kau Rinhoneykurma!

 
10-15 biji roselle boleh menghasilkan separuh botol jus yang kurang pekat.


 
Inilah pokok roselle yang merimbun.


 
Kalau suka dan stress, boleh baring juga di bawahnya.


 
Anak pokok roselle yang sedang meningkat remaja.



 
Ini pula bunga roselle.  Subhanallah, cantik!  Kembang di waktu pagi dan kuncup bila petang.  Sudah jadi buah, bunga ini tiada lagi.


 


 
Buah yang berteritip di dahan-dahannya.  

Selain melalui biji benih, pokok roselle juga boleh ditanam melalui keratan batang.  Cantas dan cucuk sahaja di tanah.  Saya sudah buat eksperimen.  Dahan yang saya cacak itu telah mengeluarkan buah walaupun baru setinggi satu kaki!  Comel betul.  Kecil-kecil sudah pandai berbuah... :-D

Selain tinggi dengan Vitamin C, ia juga dikatakan boleh mengurangkan kolesterol dan anti-oksida.  Bolehlah tanya pakcik Google untuk keterangan lebih lanjut.  Saya juga tidak risau memberikan jus roselle original recipe kepada anak saya yang baru berumur setahun setengah (model yang berbaring di bawah pokok roselle tadi) kerana tiada bahan pengawet dan tiada pewarna tiruan.  Dapatlah juga dia merasa air berwarna selain susu :-D

Wow .. puas hati saya dapat bercerita panjang sedikit kali ini.  Sehingga bertemu lagi.  Jagalah diri!


Saturday, August 04, 2012

Writers Quotes

2 comments
Saya terjumpa beberapa kata-kata hikmah.  Sengaja saya tujukan untuk diri saya :-)

"If you don't like someone's story, write your own."
— Chinua Achebe

"One of the most frustrating arguments I’ve encountered is—If you hate it so much, stop bitching and write your own."
— Deepa D.

"If there's a book that you want to read, but it hasn't been written yet, then you must write it."
— Toni Morrison

Thursday, July 26, 2012

Kelas Matematik

2 comments
Saya tidak pasti sejak bilakah kelas matematik dimulakan di pasar malam dan di bazar Ramadan.  Mungkin baru 5 tahun kebelakangan ini.

Pembeli :  Bagaimana nak kira kuih ini semua?


Peniaga :  1 40sen.  5 kuih RM2.


Pembeli yang dompetnya penuh :  Beri saya karipap RM2, donut RM2.


Pembeli yang dompetnya kempis :  2 donut 80 sen kan?


Pembeli yang nampak peluang :  Saya mahu donut 2, karipap 2, burger ring 1.


Ada peniaga melakukan promosi  dengan memberi diskaun untuk jumlah tertentu pembelian.


Ada peniaga menggunakan psikologi-lemah-matematik untuk mendapat jualan lebih banyak.


Saya cukup benci kaedah kedua di atas kerana terasa seperti dipermain-mainkan.  Ini soal wang.  Apa sahaja berkaitan wang adalah serius!

Wednesday, July 18, 2012

Gosip

2 comments
Ada orang kata kalau seseorang itu bergosip tentang orang lain dengan kita, tidak mustahil dia juga akan bergosip tentang kita dengan orang lain.

Semakin banyak gosip pula yang saya dengar kebelakangan ini.

Saya fikir itu mungkin tanda-tanda saya akan menjadi selebriti tidak lama lagi.


Saturday, June 16, 2012

Unplugged

3 comments
Di sebuah rumah yang decorder Astronya telah rosak, anak-anak bermain restoran-restoran.

Abang :  Cik nak apa?
Kakak :  Milo, mi goreng, telur kicap, telur rebus dengan kicap, telur bistik, telur goreng.
Abang :  Timun nak tak?  Air strawberi?
Kakak :  Nak juga.

Si Abang pun membuat gaya menulis di atas tapak tangan.  Kemudian, dia memasak dengan pantas dan mengedarkan makanan kepada pelanggan.

Abang :  Makcik nak apa?
Ibu :  Milo ais kaw 1!
Abang :  Wah sedapnya!

Si Abang terus membuat gaya membancuh Milo dan memasak gaya Masterchef.  Maklumlah, malam ini tak dapat menonton Masterchef Selebriti...

**********

Ibu :  Kakak, pergilah lipat baju.  Kakak sudah darjah 2 mesti belajar lipat baju.  Ibu dulu dah pandai lipat baju.
Kakak :  Lipat baju je?
Ibu :  Nanti darjah 4 belajar memasak pula.  Ini Kemahiran Hidup, mesti tahu buat.  Kalau tidak tahu, nanti sudah besar siapa nak buat?
Kakak :  Suami.
Ibu :  ... ( Like mother like daughter? =)) )


Wednesday, June 06, 2012

Kaitan Nyamuk Dengan Air Asia

2 comments
Saya terjumpa satu tajuk di sebuah blog "Wanita Taiwan Bunuh 4 juta Nyamuk".  Tajuk tersebut disertakan sekali dengan gambar wanita tersebut memegang satu karung plastik.  Saya fikir ia mungkin sekarung nyamuk.  Saya pun mengklik pada link tersebut tetapi ia membawa saya kepada satu website lain yang saya tidak berani meneruskan untuk membukanya.  Ops.. bukan seperti yang disangka, ya.  Saya tidak meneruskan pencarian gambar wanita tersebut kerana website itu terlalu haru-biru bagi saya.  Terlalu banyak link dan gambar-gambar lain.  Itu belum lagi dikira imej-imej animasi yang terkelip-kelip dan tergedik-gedik.  Saya pening.  Saya tutup sahaja tetingkapnya.

Namun, saya teringat sesuatu.  Semasa kecil, saya sangat suka duduk di tempat yang banyak nyamuk seperti di dapur ibu saya, di tangga belakang dapur atau di tangga depan rumah.  Saya akan menampar sehingga meninggal nyamuk-nyamuk itu seekor demi seekor.  Saya kumpulkan sehingga perumpamaannya boleh dibuat rencah sambal belacan.  Saya tidak ingat siapa yang memberi perumpamaan itu.  Samada diri saya sendiri atau salah seorang ahli keluarga saya.  Penghapusan etnik itu berlaku biasanya pada waktu senja kerana ketika itulah etnik nyamuk yang besar seperti lalat ini keluar dan menghurung saya yang sengaja duduk di dalam teritori mereka.

Saya terfikir apakah hukum membunuh nyamuk begini?  Terus-terang saya katakan ketika itu memang seronok dan puas hati dapat memukul nyamuk yang besar-besar itu.  Mungkin mereka berpangkat general atau paling kecil pun kapten-kapten mereka.  Sehingga pada ketika itu pernah juga terlintas di hati adakah nyamuk-nyamuk ini syaitan yang sengaja buat saya leka membunuh di situ tanpa menghiraukan waktu Maghrib yang sepatutnya dihabisi dengan mengaji?

Bagi menjawab persoalan hukum, saya pun bertanya kepada Pakcik Google kesayangan.  Maka banyaklah hasil carian yang bercerita tentang hukum membunuh haiwan yang mengganggu.  Namun, jawapan yang keluar ini lebih kepada haiwan yang mendatangkan bahaya dan gangguan seperti semut, lalat, nyamuk dan lipas.  Jika dibunuh pula bukan dengan menggunakan api.  Namun, sengaja duduk di kawasan nyamuk dan melakukan genocide begitu tidak pula saya pasti hukumnya.  Semoga Allah mengampuni saya sekiranya ia tidak patut dilakukan.  Maklumlah, ketika itu pun saya masih kanak-kanak yang hanya tahu menonton Gaban dan Thundercats.

Dalam pencarian itu, tiba-tiba saya terjumpa pula Cara Membeli Tiket Murah Airasia dari blog lain.  Ya, di sinilah kaitan nyamuk dan Airasia.  Mungkin Airasia boleh menggunakan nyamuk sebagai maskotnya selepas ini kerana mereka mempunyai persamaan.  Pertama, penulis blog ini iaitu saya, pernah bersua muka dengan nyamuk dan pernah menaiki Airasia.  Kedua, Airasia adalah syarikat penerbangan dan nyamuk boleh terbang.  Ketiga, kapal terbang Airasia mendarat dan terbang semula dengan cepat sama seperti nyamuk.  Cukuplah setakat ini dahulu.  Mungkin ada persamaan dan kaitan lain yang saya sendiri belum tahu.


Thursday, May 31, 2012

Pelik Tetapi Benar

2 comments
Saya merasa sangat pelik.  Saya masih mencari jawapan.  Puas saya selongkar laci, membongkok di bawah meja dan kadang-kala saya menyelak-nyelak di celahan helaian rambut saya.

Ia bukan kutu tetapi membuat saya menggaru kepala.  Ia bukan juga kudis tetapi terasa membengkak.  Ia bisa membuat telinga berdesing.

Saya hairan mengapakah manusia ini begitu takut dengan undang-undang rekaannya sendiri?

Saya takjub apabila manusia begitu patuh pada peraturan ketat lagi menyusahkan dirinya?

Saya juga merasa pelik manusia begitu mengambil berat apabila terma-terma ciptaannya tidak diendahkan.  

Padahal peraturan-peraturan ini hanyalah sementara.  Selagi tidak menyusahkan orang lain, masih tidak apa jika tidak dipatuhi.  Sedangkan peraturan-peraturan Allah jika tidak dipatuhi hukumannya kekal di alam sana.

Tiada peluang untuk kembali.

Noktah.

Hidup yang terasa panjang ini sebenarnya hanyalah sebentar sahaja.

Sungguh.  








Sunday, May 20, 2012

Besta Buku 2012

4 comments
Abangku pelik kenapa isterinya begitu cepat bersiap hari itu.

Dengan pandangan serong aku berkata, "Lupalah tu?  Hari ini saya cuti, ya.  Shopping."

Melihatkan dahi sang suami yang berkerut aku menambah, "Di pesta buku dengan kawan-kawan."

Barulah dia teringat, hujung minggu nanti dia akan membawa kami juga ke sana.  Dia sudah faham sangat dengan acara tahunan keluarga ini.  Ya, aku yang menjadikan ia acara tahunan.

Akulah pengurus acara di rumah ini.

Er... ayat itu untuk berlagak sahaja.

Setelah menghantar Number Three ke rumah pengasuh, aku bergegas pula ke sekolah menghantar Number One.  Maka Bangi Old Town Drift pun bermula.

Number Two diuruskan oleh Abangku jadi aku tidak perlu risau.

Sampai sahaja di Stesen Komuter dan setelah membayar RM3.00 kepada penjaga parkir, aku pun mencari tapak untuk Waqis.  Aku ingin bergegas untuk membeli tiket apabila Kak Shida menegurku.  Dia sudah sampai dahulu rupa-rupanya.  Baru aku hendak berlagak aku sampai paling awal, terpaksalah aku simpan sahaja keberlagakan itu.

Membeli tiket

Kami merenung agak lama pada dinding komuter itu.  Bukanlah dinding semata-mata tetapi lebih kepada peta perjalanan trek keretapi dan LRT Rapid KL.

"Rasanya Kak Ida kata Stesen Putra,"  aku memandang Kak Shida.

Kak Shida masih melihat peta di dinding lalu menjawab, "Entahlah, Rin.  Akak tak biasa.  Akak ikut je korang ni."

Aku mencadangkan kepada Kak Shida supaya kami bertanya sahaja kepada petugas di kaunter.

"Encik, stesen apa yang dekat dengan PWTC?  Yang ada pesta buku tu?"  Aku bertanya setelah memberi salam kepada Encik Petugas.

Dengan wajah yang separa manis dia menjawab, "Tak ada stesen komuter nama PWTC.  LRT adala kot."

Aku rasa soalanku sudah jelas tetapi tidak mengapa, mungkin perlu gunakan frasa lain pula,  "Stesen tu dekat dengan PWTC.  Apa ya nama stesen tu?"

"Tak ada stesen PWTC.  Salah ni, mungkin LRT."  Jawapannya membuatkan aku rasa lebih baik aku study sahaja peta trek di dinding.  Kami terpaksa memberi laluan kepada pembeli tiket yang lain dahulu.  Setelah berhempas pulas memahamkan perjalanan trek komuter, maklumlah, naik komuter setahun belum tentu sekali, akhirnya, kami berjaya juga membeli 4 tiket pergi balik ke stesen komuter Putra.

Diet Lari

Aku dan Kak Shida segera berjalan ke sebuah gerai makanan berhampiran sambil membawa beg sandang.  Aku kagum dengan Kak Shida kerana walaupun tidak pernah ke pesta buku, dia tahu dia akan memerlukan beg seperti itu.

Apabila sampai di gerai, Kak Ida, seorang lagi ulat buku tegar telah pun berada di situ sambil memeluk beg sandangnya.

"Korang mesti rasa roti canai di sini.  Sedap.  Saudara Akak punya gerai ni,"  kata Kak Shida dengan gembira lantas membuat pesanan, "Alang, roti tiga!"

Seorang veteran yang dipanggil Alang oleh Kak Shida datang dan mereka berborak dan bertanya khabar.  "Kuah campur?"  tanya Alang.

"Kuah campur tu bagaimana?"  tanya Kak Ida.

"Dal kari sambal semua campur,"  jawab Alang.

"Aku nak kuah dal, Alang," kata Kak Shida.  "Saya juga,"  kata Kak Ida.  "Saya nak kuah campur.  Milo tarik kaw satu."  Aku memang suka mencampur-adukkan makanan di dalam perut.

Sedang kami menunggu makanan sampai, seorang lagi ahli rombongan ulat pun sampai.


Bukan Ulat

"Apa kelas Kak Yati bawa beg begini?"  aku merasa tidak puas hati dengan Kak Yati yang datang berlenggang dengan beg tangan wanitanya.  Memang kewanitaan beg itu.  Memang tidak sesuai ke pesta buku.  Selayaknya beg pergi kenduri atau pejabat.

Sambil memerhatikan begnya sendiri Kak Yati membalas, "Tak boleh ke?"

"Nanti susah nak bawak buku,"  kata Kak Ida pula.

"Tak apalah.  Akak bukannya kaki buku macam korang,"  dengan selambanya Kak Yati membalas.

"Takpe... kita tengok nanti, ya"  kataku sambil menikmati roti canai kedai Alang.  Memang roti canai itu sedap tetapi mungkin seperti kata Kak Ida yang Alang terlupa bubuh garam.

Kami bergegas ke stesen setelah selesai membayar sarapan.  Tiba-tiba Kak Ida menyuruh kami berjalan dengan lebih pantas apabila ternampak keretapi arah ke Kuala Lumpur hampir sampai.  Tanpa berlengah kami berlari emak-emak, walaupun ada antara kami belum menjadi isteri pun, untuk segera ke mesin berlepas.  Macam nak naik kapal terbang pula.  Sebenarnya aku tidak tahu apa nama benda itu.  Ianya tempat memasukkan tiket sebelum kita boleh ke trek keretapi.

Keretapi semakin hampir namun kami masih gagal memasukkan tiket ke dalam mesin berlepas itu.  Mesin itu tidak melepaskan kami!  Tolong...bagaimana ni?  Rugilah kami jika terlepas keretapi ini!

Terjah

"Akak boleh ikut sini sahaja,"  terdengar oleh kami suara Encik Petugas.  Oh, leganya kami apabila kami dibenarkan lalu di bahagian manual sahaja.  Selamat Tinggal Mesin Pelepasan!

Sambil memeluk beg, kami berlari ke arah keretapi yang sudah pun berhenti.

"Komuter ni ada driver kan?"  aku bertanya tetapi tiada siapa yang menjawab.  Masing-masing sudah tercungap-cungap.

"Itu dia coach wanita!"  Kak Ida menunjuk ke arah kiri beberapa meter dari tempat kami berdiri.

"Takut tak sempat.  Kita terjah sahajalah gerabak lelaki, nanti kita ke coach wanita dari sebelah dalam,"  aku mengunjurkan.  Pengalaman menaiki keretapi ke Singapura harus digunakan.

Sebaik sahaja melangkah ke dalam komuter, kami ketawa terkekek-kekek.  Geli hati dan menarik nafas lega kerana tidak ditinggalkan keretapi.

"Nak ke coach wanita tak?"  aku bertanya mereka.  Masing-masing menoleh ke arah lorong komuter yang sempit dan dipenuhi majoritinya kaum lelaki.  

Diam.

Komuter pun bergerak meninggalkan stesen Bangi dan kami pasrah sahaja apabila merasakan kamilah kelompok wanita di dalam gerabak itu.  Jika ada wanita pun seorang dua sahaja.

Aku membayangkan ketidakselesaan yang bakal dihadapi apabila penumpang semakin ramai di stesen berikutnya.  "Jom kita tukar ke coach perempuan di stesen akan datang?"

"Sempat ke?"  tanya Kak Shida.

"Boleh kot,"  Kak Ida meyakinkan.

Maka, stesen UKM menjadi saksi larian kami yang menggegarkan.  Aku fikir tentu pemandu komuter itu nampak apa yang kami lakukan.  Mujurlah kami bukan artis.  Kalau tidak tentu keluar di dalam blog hiburan tajuk "Kumpulan Artis Wanita Dikejar Bangla?"

Sebaik sahaja masuk, aku berbisik kepada Kak Shida, "Lebih wangi."

Kak Ida bertanya dengan isyarat kepala bertanyakan kenapa?  Kak Shida berbisik kepadanya.  Sambil ketawa Kak Ida berbisik pula kepada Kak Yati yang juga kehairanan.  Kami ketawa lagi.  Terasa muda dan riang pula. 


Shopping!!!

Yeah... shopping time!  Seronoknya tidak terkata apabila telah sampai ke PWTC.   Kami sampai awal 40 minit ke ruang legar PWTC.  Sebagai persediaan, kami membeli air mineral serta sedikit sumber tenaga untuk bekalan misi kami.  Sempat juga kami singgah di booth KUIS.  Kami juga sempat meninjau-ninjau novel di Kaki Novel.  Kak Shida sudah pun menyambar 3 buah novel apabila disapa oleh petugas di situ.

"Kalau akak beli 5 boleh dapat beg percuma,"  dia memaniskan kata.  Kak Shida teruja.

"Apa lagi tajuk yang best?"  Kak Shida sudah tidak keruan.  Agak lama juga dia terkebil-kebil memerhatikan kulit-kulit novel yang cantik itu.  

"Apa kata kita letak dulu.  Kita datanglah semula nanti," aku mencadangkan.  Kak Yati kelihatan teruja juga dengan novel yang ada.

"Cepat, kita ada lagi 10 minit!"  Kak Ida mengingatkan.

Kak Shida menyerahkan semua novel kepada petugas Kaki Novel semula.  "Nanti ya!  Terima kasih!"

Kami sampai awal 10 minit di depan Dewan Tun Hussein Onn.  Namun, kami tidak dibenarkan masuk.  Kami tertekan.  Takkan tak boleh?  "Kan Kak Ida dah kata?"  benarlah Kak Ida pun pernah mengalami tidak dibenarkan masuk ke Dewan THO sebelum jam 10pagi.

Tidak lama kemudian sepasang suami isteri muda mungkin dibenarkan masuk.  Kenapa mereka boleh pula?  

"Takpelah, Puan-puan boleh masuk sekarang,"  pengawal keselamatan membenarkan kami masuk akhirnya.  Sebaik sahaja melangkah ke dalam kami lihat sudah ramai orang sedang melihat-lihat buku di booth PTS.  Aku sudah risau sekiranya aku tidak dapat buku percuma.  Ya, PTS memberi buku percuma untuk 50 orang pembeli pertama.  Aku geram juga, mungkin pengawal pintu lain tidak memakai jam?

Sebenarnya aku yang terlebih emosi kerana aku hendak membeli satu buku sahaja pun.  Sebenarnya aku sedang berpuasa kerana duit perlu disimpan untuk hari Ahad juga.  Kak Ida mendapat buku percuma novel sejarah.  Kami yang lain hanya mendapat buku resepi.  Namun, kami tetap teruja kerana ianya percuma.  Buku Resepi Gerenti Jadi untuk Bersahur dan Berbuka Chef Arm.  I like!

Agak lama juga kami di dalam Dewan THO.  Kak Yati dan Kak Shida sudah tidak keruan memilih buku yang mana satu.  Kak Ida lebih organized.  Segalanya sudah dicatat dan dia membeli apa yang ada di dalam senarai.  Aku pula hendak beli tapi tak boleh beli dulu.  Untuk sengaja membuang masa, aku pun mencari buku genre fantasi atau sci-fi.  Aku mencari-cari petugas.  Ya, aku boleh tanya sahaja kepadanya.

"Encik, ada buku sci-fi atau fantasi tak?"

"Cuba cari di bahagian remaja."  Jawabnya sambil menunjuk ke arah ruangan Remaja.  "Mana ya?"  tanyaku.

Sebenarnya aku ingin menegur dia dan menunjukkan aku kenal padanya tetapi aku malu.  Jadi aku terpaksa pura-pura tidak kenal.  Dia segera membawaku ke ruangan Remaja.  Sungguh baik hati.

Aku lihat tiada yang boleh kusambar lagi buat masa ini.  Aku pun melepak sahaja di tepi sementara menunggu makcik-makcik lain shopping sebelum aku nampak Kak Ida.

"Kak Ida, tadi saya jumpa Bahruddin Bekri."

"Mana?  Mana?"  Kak Ida tercari-cari dan tercangak-cangak mencari Bahruddin Bekri.  Melihatkan Kak Ida yang secara nyata mencari sesuatu atau seseorang itu, salah seorang petugas merapati dan cuba menghulurkan bantuan.

"Bahrudin Bekri ada di sana tadi.  Haa.. itu dia," katanya.  Arghh.. malunya aku.  'Alamak Kak Ida tak payahlah tunjuk kita minat dia.. eh kita minat buku dia je,'  gumamku dalam hati.  Argghh malu malu.. aku rasa hendak melarikan diri meninggalkan Kak Ida seorang diri, tetapi aku takut KPI aku kena potong markah pula. 

"Pergilah,"  kata petugas itu.

"Tak apalah, saja nak tengok je.  Lagipun, takde buku nak minta autograph,"  ya.. aku sayang Kak Ida dengan reaksi spontannya.

Kami segera pergi ke booth Jemari Seni.

"Ini saudara Kak Shida.  Tauke sini."  Kak Shida memperkenalkan kami dengan seorang petugas di situ.  

"Pilih.. pilih.. nak yang nangis-nangis di sini."
"Nak yang senyum-senyum kat sini."
"Haa.. yang ini thriller macam ala-ala Ramlee Awang Mursyid.  Ini novel pertama penulis ni."  Begitu ramah saudara Kak Shida yang seorang ini.  Wah ramai juga saudara Kak Shida yang kami temui sepanjang pesta buku.  Eh, baru 2 orang.

"Yang ini anak buah Kak Shida.  Dulu study kat KUIS."  Kak Shida mengenalkan kami kepada seorang lagi petugas.  Sedangkan saudaranya yang tadi masih sibuk berceloteh mempromosi buku-buku di situ.

"Dah baca ke buku ni semua?"  tanyaku kepada saudara Kak Shida yang pertama.  Serius aku lupa namanya.

"Betul.. saya dah baca.  Haa orang-orang KUIS kena baca yang ala-ala Ayat-ayat Cinta.  Pergi booth Adiwarna tingkat atas ya."  

Aku seperti.. ha?  Kenapa orang KUIS baca buku begitu?  Kami tidak boleh baca buku novel biasa, kah?  Rupa-rupanya Kak Ida yang sudah biasa dengan novel-novel Jemari Seni memberitahu novel Adiwarna mungkin lebih kena dengan jiwaku yang sarat dengan mesej dan islamik.  Ohh.. begitu.. :P

Selepas semua orang selesai membeli, kami pun memblah dari situ.  Kami berehat sebentar di kerusi empuk sambil mengemas beg.  Banyaknya buku!  Kak Yati yang bukan kaki buku tadi membeli lebih banyak dari aku.  Mujurlah Kak Yati dapat beg percuma dari Jemari Seni.  Mujurlah berjumpa dengan saudara Kak Shida.

Perut sudah berkeroncong.  Barulah aku teringat air mineralku hilang dan aku terlupa menjamah coklat yang kubeli.  Mustahil ada orang mencuri botol air mineral, bukan?

Misi Terbantu & Saudara Kak Shida

Kami menapak ke gerai di luar PWTC.  Sungguh nikmat rasanya dapat menikmati makan tengahari yang murah dan sedap rasanya.  Tambahan pula aktiviti makan-makan ini disertai aktiviti shopping buku yang telah berjaya.  

Misi seterusnya adalah berjalan-jalan di booth lain selepas solat Zuhur.  Namun, Kak Shida dan Kak Yati sudah kelelahan.  Kak Shida juga tidak jadi kembali ke booth Kaki Novel kerana sudah kehabisan bajet. 

"Kaki akak dah sakit.. nak melecet,"  kata Kak Yati sambil melihat kasut wanitanya.

Aku rasa itu pengalaman hebat buat kami.  Pertama, perlu patuh pada etika berpakaian ke pesta buku.  Kedua, anda akan tahu siapa diri anda sebenar di pesta buku... ;)

Aku dan Kak Ida merancang perkara yang sama di dalam fikiran.  Namun, belum sempat meluahkannya, seorang petugas booth KUIS datang kepada kami.

"Ina nak balik, jomla naik kereta sekali."  Ina telah pun kami temui di booth pagi-pagi lagi.

"Tapi tiket pergi balik rugi pula,"  kataku.  Namun, tawaran Ina sukar ditolak.  Maka, kami pun mengukur badan masing-masing dan aku yang perasan kecil memberi peluang kepada Kak Shida untuk duduk di hadapan.  

Dalam perjalanan pulang kami sempat bergosip tentang itu dan ini.  Pemandu KUIS yang memandu itu rupanya staf baru.  Mungkin dia menahan sahaja telinganya mendengar perbualan kami.  Sampai satu ketika, kami berborak tentang saudara Kak Shida.

"Hari ini ramai betul saudara Kak Shida kami jumpa."  Aku memberitahu Ina.

Dalam deraian ketawa kami beramai-ramai itu Ina membalas, "Laaa.. Ina ni pun saudara Kak Shida.  Ina ni anak saudara Kak Shida."

"Haaaa...?  Saudara Kak Shida lagi?"  lantas kami ketawa beramai-ramai.




Thursday, May 17, 2012

Blue Snowball

2 comments
I found a cat,
The cat is not in a hat,
I found it in a drain,
So much in pain.

I brought him home,
I named it Snowball,
Poor white homeless,
He was hungry and ate the fishes all.

Day by day he was able to play,
He jumped and run, he did not like to stay,
I was so happy, I built him a box house,
He would sleep there after he was full eating a mouse.

The other day my neighbour came,
We had a good chat with tea and cake,
She saw Snowball running down the hall,
Extremely excited she screamed,
"Hey Blue!  I have found you!"


Rin
Bangi
17 May 2012

Wednesday, May 02, 2012

Sukan MAIS - Medan Ujian

0 comments

Alhamdulillah, berakhirlah sudah sukan MAIS yang bertempat di KUIS pada 21 April 2012.  Sukan yang bukan sekadar menguji kekuatan mental dan fizikal, malah mengandungi hikmah yang lebih lagi.


Memandangkan KUIS mempunyai visi untuk menjadi Universiti Taadib, saya kira sukan pun boleh dijadikan wadah untuk stafnya mentaadib diri. Sukan ini menguji nilai persahabatan dan kesetiaan, kejujuran dan keyakinan diri.


Saya terpaksa memilih antara acara kayak atau bola tampar.  Saya diminta membuat keputusan yang berat.  Saya tidaklah bagus sangat, malahan kaki saya agak bangku walaupun kelihatan normal.  


Pengurus acara kayak memberitahu kekurangan calon untuk kayak.  Bola tampar pula adalah impian saya sejak di bangku sekolah yang tidak tercapai.  Namun, melihat pada situasi dan kemaslahatan pada masa itu, keputusan terbaik ketika itu ialah memilih acara kayak.  Sedih, memang sedih tetapi apa yang penting saya perlu memikirkan tanggungjawab.  


Saya berpasangan dengan Ketua Bahagian saya.  Kami agak stres kerana inilah pertama kali acara kayak dipertandingkan.  Tasik pula hanya di hadapan pejabat.  Amatlah memalukan jika kami tumpas ke tangan anak syarikat MAIS yang lain.  Ini juga adalah pengalaman kedua kami berkayak bersama.  Pertama kali berkayak kami tidak tahu berapa kali kami berpusing-pusing di tempat yang sama.  


Saya amat menghargai kesabaran bos saya yang akur setiap kali saya ingin mencuba berbagai-bagai cara bagi memastikan kami bergerak dengan lebih pantas.  Kasihan bos saya terpaksa mendayung lebih kerana muatan di belakang lebih berat :D.  Maklumlah, kami mendapat berbagai-bagai versi cara berkayak.  Tidak mengapalah, mungkin semua orang begitu mengharapkan kemenangan di pihak KUIS.  Jangan terbalik kayak itu sudahlah! 


Buat pertama kali juga saya berendam di dalam tasik apabila pasukan penyelamat KUIS membuat latihan Water Confidence.  Walaupun ngeri pada mulanya dan saya enggan melepaskan pautan dari jeti kerana kaki saya tidak jejak pada dasar (Na'uzubillah...ngeri tapak kaki rasanya kerana tasik sangat dalam), saya merasa semakin selesa selepas latihan ini diadakan.  Saya rasa saya perlu belajar berenang bila saya percuma nanti.  Terima kasih pasukan penyelamat Bumi Boboi Boy!  Atas tunjuk ajar mereka, 6 penyertaan kayak KUIS (2 double, 1 single kategori lelaki dan wanita) meraih tempat pertama. Syukran Mabruk!  Alhamdulillah... 


Bila kita dalam apa-apa pertandingan, menang biar bermaruah, kalah biar bergaya.  Pasukan karom wanita telah diuji.  Salah seorang pemain beregu karom, Kak Shida (nama dalam Kad Pengenalan dirahsiakan) terpaksa menarik diri di saat akhir kerana ibunya dimasukkan ke ICU.  Karom mempunyai 2 pasukan regu dan 1 individu.  Mengikut peraturan, seorang pemain hanya boleh bermain satu jenis sukan sahaja.  Kejujuran teruji di situ.  Kalau fikirkan hanya kemenangan, pasukan karom boleh sahaja menarik sesiapa untuk dimasukkan ke dalam team karom tetapi sebaliknya mereka telah menyuarakan hasrat mereka kepada pengadil.  Pengadil yang adil dan kacak tersebut (dari USIM) betul-betul memegang amanah dan meminta pandangan dari pihak lawan, M (bukan nama sebenar).  Pihak lawan tidak bersetuju KUIS mengambil peserta lain, maka team tersebut diisytiharkan kalah.  Sekiranya team tersebut tidak menarik diri, mungkin pasukan karom wanita mendapat pingat emas kerana dengan menarik diri itu sahaja mereka sudah mendapat perak.  Inilah yang dikatakan kalah bergaya.  Biarlah kalah, "kaf ba ro kaf alif ta nun" itu yang penting.  Pasukan M juga tidak bersalah kerana mereka mengikut peraturan yang telah pun ditetapkan. 


Begitu juga dengan pasukan takraw.  Kakak kepada salah seorang pemain telah kembali ke Rahmatullah sehari sebelum perlawanan.  Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.  Pak Mail (bukan nama sebenar) terpaksa bergegas ke Utara tanahair.  Namun, atas dasar semangat berpasukan, beliau kembali keesokannya dan pasukan takraw berjaya meraih tempat ketiga.  Macam cerita dalam filem, kan?


Keyakinan terhadap diri sendiri dan kebergantungan terhadap Ilahi, petua yang tidak dapat disangkal.  Menggunakan tips dari pakar-pakar motivasi, seorang peserta memberitahu beliau membayangkan kejayaan pada hari perlawanan.  Bayangan begitu terperinci apa yang perlu dilakukan bermula hon dibunyikan sehingga bertemu garisan penamat.  Minda dipetakan untuk melakukan rutin-rutin yang sepatutnya sehingga menjadi hafalan yang terpapar di layar minda.  


Tiba pada waktu pertandingan dimulakan, debaran di dada hanya Tuhan yang tahu.  Maka, segala doa dan kebergantungan diserahkan pada Yang Berkuasa dan Yang Maha Mengasihani.  Latihan telah dilakukan termasuklah berbagai eksperimentasi terbaik dilaksanakan.  Dia Yang Maha Melihat tahu usaha hambaNya, namun kesungguhan dan keyakinan hambaNya itu hanya akan berhasil dengan izinNya.  Segala puji bagi Allah, Man Jadda Wajada.  Doa rakan-rakan lain terjawab jua.


Saya kira tentu banyak lagi kisah-kisah di belakang tabir sukan MAIS yang tidak tercoretkan di sini.  Kalah atau menang ada ceritanya.  Sukan bukanlah semata-mata untuk kita slim dan sihat.  Ia juga adalah alat untuk kita mendekatkan diri padaNya melalui ujian-ujian di luar perancangan manusia. Persoalannya, jika tiada latihan, mampukah iman kita melepasi ujian itu?



Wednesday, April 04, 2012

Ikan Idlis dan Niskapi

2 comments
Tiba-tiba rasa rindu pada blog ini menjengah.  Bagi melepaskan rasa rindu itu, sengaja saya kongsikan di sini  laporan aktiviti mendapatkan kebahagiaan saya :D.


Oh tajuk di atas menjadi pencetus untuk saya berkongsi rasa.  Saya mempunyai seorang rakan yang pernah belajar di kolej yang sama dahulu.  Anaknya sungguh pandai berbahasa Inggeris seperti juga rakan saya itu.  Saya selalu merasa kagum dengan rakan si Kamus Bergerak ini.  Kalaulah Bahasa Inggeris saya sangat mantap sepertinya, mungkin saya antara penulis novel berbahasa Inggeris berbangsa Melayu yang popular di Nusantara ini (mode : mimpi itu percuma).

Entah bagaimana, Aisyah, anak kepada rakan saya ini menyebut ikan bilis sebagai ikan idlis dan Nescafe sebagai Niskapi.  Sebagaimana sedapnya rasa kedua-dua entiti ini, begitulah sesedap rasa juga Aisyah menyebutnya.  Sungguh comel, bukan?  Jika kita ke pasar malam, kita mintalah pada penjual itu, "Boleh saya beli ikan idlis 200gram?"  Atau kita boleh juga mengirim kepada suami kita, "Jangan lupa beli ikan idlis sekilo, ya.  Lebih senang ikan idlis yang telah dibuang kepalanya, mahal sedikit tetapi menjimatkan masa."  Boleh juga semasa di kedai mamak kita pesan sahaja, "Niskapi ais satu!"  Ada kemungkinan kita boleh mendapat Nescafe bercampur kopi.


Berlari

Lari..lari aku berlari.  Sebenarnya bukanlah berlari sangat, boleh dikatakan berlari anak atau berjalan laju sahaja.  Aktiviti ini seboleh mungkin saya lakukan 3 kali seminggu sekurang-kurangnya 30minit setiap sesi.  Bagi mencapai KPI tersebut, saya memastikan tempoh masa antara satu sesi dengan sesi yang lain tidak melebihi 96 jam.  Setakat ini, kulit saya semakin gelap dan itu menandakan pembakaran lemak adalah sekata dengan pembakaran permukaan kulit.

Berkayak

Asalnya hanya suka-suka tetapi secara tidak sengaja saya yang berpasangan dengan Ketua Bahagian saya mendapat pingat emas pula utk sukan tempat saya bekerja.  Ramai orang yang pelik dengan kejayaan kami kerana mereka semua tahu kami takut berada di atas air.  Sudahlah tidak pandai berenang.  Sebenarnya, kami mendayung dengan pantas kerana kami takut berada lama di tengah tasik.  

Menampar

Setelah menunggu selama 3 tahun (tahun pertama tiada sukan, tahun kedua saya sedang sarat mengandung) untuk bermain bola tampar semasa sukan di sini, akhirnya saya dapat menambah koleksi pingat di rumah.  Sungguh seronok rasanya bagi seorang yang sering kalah dalam acara sukan seperti saya mendapat pingat emas untuk acara ini.  Dalam kegembiraan itu, ada juga sedihnya kerana saya terpaksa memilih antara sukan kegemaran ini dengan kayak bagi temasya sukan peringkat MAIS.  Semua acara akan berjalan serentak.  Oleh itu, setelah memikirkan segala kemaslahatan dengan hati yang berat saya terpaksa melepaskan acara tampar-menampar.  Namun, masih ingin mencari bahagia, saya bercadang untuk turut serta tampar-menampar  semasa sesi latihan sekiranya berkesempatan.

Buku

Sudah pasti inilah masa yang ditunggu-tunggu apabila stereng kereta telah mula dipulas dari parkir kereta pejabat.  Sambil berbaring dan menyusukan si kecil yang panjangnya sudah pun terkeluar dari graf ketinggian normal, membaca trilogi yang sudah tidak trilogi oleh Ramlee Awang Mursyid memang membahagiakan.  Karakter Laksamana Sunan memberikan sumber inspirasi bahawa hidup ini tidak lebih dari sebuah persinggahan yang penuh pancaroba.  Ada sesuatu istimewa menanti di alam yang terkemudian sekiranya kita benar-benar sabar dan sentiasa bergantung pada Maha Pencipta dalam meniti hidup ini.  Mengadulah hanya kepadaNya kerana Dialah yang lebih mengetahui dan sebenar-benar Pemberi Pertolongan.

Al-Hijrah

Tidak perlu saya terangkan dengan panjang lebar.  Lihatlah dan tontonlah sendiri.  Terasa damai dan bahagia apabila mata hati tidak melihat hedonisme menjadi budaya.  Apa?  Saya hanya tengok Ustaz Don?  Saya tidak hairan kerana beliau bekerja di kolej saya.. apa celop? haha...  Apa?  Nak kirim salam?  Pergilah friend beliau di Facebook, hari-hari boleh beri salam haha...

I Speak No Malay

Oh itu sekadar subtopik.  Jangan ada pula beranggapan saya merasa bahagia jika tidak bercakap Bahasa Melayu.  Sebenarnya, saya dan rakan-rakan masuk kelas Bahasa Inggeris 2 kali seminggu.  Kelas ini dikendalikan oleh seorang pensyarah secara percuma.  Saya lebih suka memanggil kumpulan kecil ini sebagai English Support Group kerana di sinilah kami boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris walaupun tunggang-langgang.  Sesuatu yang menyeronokkan apabila otak yang lembap ini dirangsang kembali.


Banyak lagi sebenarnya yang mendatangkan bahagia tetapi cukuplah sekadar ini untuk kali ini.  Kalau saya cerita semua nanti dah habis modal pula.  Sehingga ketemu lagi!


Tuesday, January 31, 2012

Saya dan Labah-Labah

2 comments
Saya rasa saya tiada bezanya dengan labah-labah di monitor saya ini.  Kami sama-sama berada di atas sesawang.  Namun, saya fikir labah-labah ini mungkin keliru dan beranggapan dia berada di sesawangnya sendiri.  Mungkin kerana itu ia mundar mandir di atas skrin saya ini.  


Mungkin dia pelik kenapa sesawangnya tiada jaring?  Memanglah jaring tidak kelihatan kerana ini laman web bukannya spiderweb!
 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates