Ah.. salahkah seorang ibu itu merasa bimbang tentang keselamatan anaknya? Salahkah seorang ibu mengambil langkah berjaga-jaga terhadap anaknya sebelum berlakunya sesuatu yang tidak diingini? Dan salahkah seorang ibu untuk merasa takut perkara yang sama berlaku pada anak orang lain mungkin akan terjadi kepada anaknya pula? Salahkah?
Oh.. begini rupanya perasaan menjadi seorang ibu. Sentiasa diulit resah jika si anak ditimpa musibah. Sebelum terjadi perkara yang tidak diingini itu pun hatinya tidak tenteram. Mulutnya akan pantas sahaja menegur perlakuan atau tindakan yang dijangka bakal menggegarkan hatinya. Tidak kiralah perlakuan itu dilakukan oleh anaknya ataupun orang lain terhadap anaknya, waima suaminya sendiri.
Aduhai.. betapa remuknya hati seorang ibu itu sekiranya nasihatnya langsung tidak dihiraukan. Hancur luluh rasa hati apabila rasa bimbangnya hanya diperlekeh dan dipandang jijik seperti tahi ayam yang melekat di tapak kasut. Atau bisa sahaja teguran itu dibuang dengan rasa meluat seperti tahi cicak yang menyusahkan seisi rumah. Dirinya seolah-olah kumbang hitam yang tersesat terbang ke dalam rumah dan tiada jalan untuknya keluar. Maka, ia ditangkap, diterbalikkan dan dibiarkan terkapai-kapai meminta untuk dilepaskan. Kumbang hitam terbalik yang menjadi bahan ketawa sinis baik si anak kecil mahupun sang dewasa.
Sokongan dari sang suami diharapkan dapat mengubat hatinya, namun tepisan sang suamilah yang meremukkan jiwanya. Tersepit jiwa, minda dan hatinya apabila sang suami memandang remeh kebimbangannya. Ya, itulah sebenarnya yang menambah rasa tersisih itu. Seorang ibu yang tersepit antara tanggungjawab sebagai seorang ibu dan ketaatan sebagai sorang isteri. Dugaan apakah ini? Meronta-ronta hanya di dalam tak mungkin tampak di mata. Hendak bersuara lebih, takut dikata derhaka. Kalau tidak bersuara, seolah-olah membiarkan sahaja perkara buruk akan berlaku. Bukan mendoakan ia akan terjadi, tetapi waspada yang dicari. Kenapa nasihat itu disalaherti?
Oh, ibu! Bersabarlah. Serahkan pada Yang Maha Esa, Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Melindungi. Anak atau suami bukan milikmu, tetapi milikNya. Dia pasti mengerti perasaanmu kerana Dia Yang Maha Mengurniakan telah melengkapimu dengan sifat keibuan. Sifat yang istimewa tiada siapa yang akan mengerti kerana hanya Penciptanya sahaja yang tahu. Berserahlah. Engkau telah melakukan yang terbaik mengikut kemampuanmu. Kemampuan yang bukan sebarangan. Kemampuan yang hampir menandingi had bagimu. Tenangkan fikiranmu dan lapangkan dadamu. Usahlah kau mencampuri urusanNya kerana Dia yang berhak menentukan segalanya. Berdoalah padaNya kerana hanya Dia yang mengawal kejadian di alam ini. Berdoalah yang terbaik buat anakmu dan percayalah kepadaNya kerana kasih sayangNya terhadap dirimu dan anakmu terlalu banyak berbanding kasihmu terhadap anakmu.
Begini rupanya menjadi ibu…
Refund dari AAX
2 years ago