Friday, October 09, 2009

Seni Buat Bodoh

5 comments
Norfazidah merasa begitu tertekan.  Suasana di pejabat dirasakan hingar-bingar tidak ubah seperti pasar borong.  Dia sudah tidak kuasa memikirkan apa-apa lagi apatah lagi mengambil tahu apa yang diperbalahkan oleh rakan sekerjanya.  Telinganya ditutup rapat tetapi bukan dengan tangan.  Matanya terkatup tetapi masih celik.  System shutdown.  Fokusnya ditukar kepada perkara lain.  Mungkin membalas e-mel rakan-rakan kesayangan atau menyiapkan tugasan.

Norfazidah dengan dunianya sendiri sehinggakan dia tidak tahu butir cerita perbalahan itu.  Malahan dia tidak merasa lagi tekanan akibat suasana yang hingar-bingar tersebut.  Bagi aku, Norfazidah telah berjaya mempraktis 90/10 Rule, satu seni yang aku panggil Seni Buat Bodoh.

Baiklah aku ringkaskan apa itu 90/10 Rule. Ia adalah satu praktis yang diangkat oleh Mr. Stephen Covey bahawa 90% daripada apa yang berlaku ke atas diri kita adalah ditentukan oleh diri kita sendiri.  Contohnya, kalau anak kita tumpahkan kuah kari ke bajunya, kita mungkin marah-marah, seterusnya menghilangkan mood kita dan mengecilkan hati anak itu.  Rentetan dari mood yang sudah rosak itu akan membawa kesan-kesan dan pemikiran negatif lain.  Bila kita kira semula, perkara yang kita boleh kawal adalah 90% daripada keseluruhan perkara yang telah terjadi, manakala hanya 10% iaitu anak menumpahkan kari tidak dapat kita kawal.

Pada pendapat aku, mengawal apa yang berlaku dan apa yang akan kita lakukan ada seninya.  Setiap perkara yang seni itu perlu ditangani dengan sabar.  Tetapi mana satu yang datang dulu?  Buat bodoh ataupun sabar?  Mungkin orang yang telah ada kesabaran mampu buat bodoh secara automatis.

Mungkin aku boleh reverse, buat-buat bodoh dahulu dan mengharapkan kesabaran akan datang kemudian.  Aku pernah dengar, bila kita rasa nak marah, kita tarik nafas dan kira sampai 10.  Mungkin masa tu boleh buat bodoh.

Jadi, kalau kari tumpah pada baju anak aku, aku buat bodoh dengan cara menikmati kari yang ada di pinggan sendiri, tambah 2 3 kali lagi sampai kenyang.  Kemudian baru aku tukar sahaja baju budak bertuah tu.
Boleh tak agaknya sambil-sambil tukar baju tu aku cubit dia sikit?



Wednesday, October 07, 2009

Arab Bisu

3 comments
Seorang pensyarah berbangsa cina dari negara China datang ke pejabatku.  Beliau ingin meminta bantuan berkenaan dengan sistem.  Rakanku yang baik hati pun membantu.  Sebenarnya beliau pernah datang ke pejabatku sebelum ini.  Walaupun pernah berurusan, aku akan hanya berbalas senyuman dan anggukan bila bertemu dengannya di kafeteria.

Aku sangat kagum kerana pensyarah itu boleh berbahasa Melayu dengan baik walaupun ada pelat cina.  Siapa kata Bahasa Melayu tak standard?   Orang dari China pun boleh cakap melayu.

Aku sibuk di mesin fotostat ketika itu membuat salinan borang tuntutan perubatan dan resit perubatan.  Duit punya pasal mestilah ada backup.  Kulihat urusan pensyarah itu selesai dan dia pun hendak keluar.

Ketika berjalan melalui tempat aku berdiri, dia dengan beramah mesra dan gembira sambil memandangku mengucapkan, "Barakallahu minkum."

Entah aku rasa dia sebut macam tu.  "Barakallah" tu aku rasa memang pasti.  "Minkum" tu pula aku rasa macam betul.  Aku pun dengan ramah tidak tahu hendak menjawab apa.  Mulutku hampir-hampir hendak membalas dengan, "Minna wa minkum taqabbal ya kariiim".

Namun sempat otakku memberi arahan agar mulut tidak menjawab, cukup sekadar melemparkan senyuman.  Akibat tindakan refleksi mulut yang dihalang bercakap maka aku tersengih sahaja kepadanya.  Lagak macam bangla yang baru hari pertama bekerja di kedai mamak.

Nasib baik aku tak jawab...



Friday, October 02, 2009

Stuntman

2 comments
Deruman enjin kereta mengejutkanku dari tidur.  Terpisat-pisat aku menggosok mata.  Ku lihat jam sudah menunjukkan pukul 7.30 pagi.  Terlepas Subuh pula hari ini.  Ya Allah ampuni dosaku.

Aku rasakan gegaran.  Aku tidak sempat bangun dan melompat ke bawah menyelamatkan diri.  Aku terpaksa merangkak ke luar dan berpaut pada satu dahan hitam.  Entah nak kata dahan, keras pula benda itu melekat pada cermin kereta.  Aku tidak mahu hancur terbakar dalam enjin kereta, terpaksalah aku bergayut di luar sahaja.  Aku memang betul-betul tidak dapat melompat, kereta ini bergerak bertambah laju.  Jari-jari kecilku erat menggenggam.. Ya Allah selamatkanlah aku..!

* * * * *

7.33 pagi aku berada di pusingan U di Taman Maju Jaya hendak masuk ke hi-way NPE.  Hari ini nampaknya trafik berjalan lancar di sini, mungkin sebab tadi aku keluar awal 5 minit.

7.37 pagi aku hampir memasuki lebuhraya PLUS.  Biasanya dalam 7.42 pagi aku akan sampai ke Tol Sungai Besi dengan kelajuan 90-100km/j.  Insya-Allah punch card aku tidak merah hari ini.  Hari ini adalah hari kedua dalam bulan Oktober.  Semalam punch card aku hitam.  Pelik pula hari ini banyak kereta, mungkin semua orang pun keluar waktu yang sama denganku.

Aku berada di lorong paling kanan dan terus memacu Waqis.  Target 7.42 pagi mesti dicapai!

* * * * *

Aku pening.  Gegaran semakin bertambah kuat.  Angin semakin kencang.  Aku semakin memegang erat pada 'dahan' keras hitam ini.  Mujurlah ada lopak yang panjang dan lebar, membolehkan aku berlindung dari angin kencang itu.  Di luar sana bunyi angin deras di atas kepala. Di bawah pula deruan enjin kereta mengaum-ngaum seolah mahu memecahkan gegendang telingaku.  Aku tahu di bawah sana amat panas kerana aku dapat rasakan bahangnya keluar melalui lubang-lubang kecil yang berdekatan tempatku ini.

Sekejap kurasa kenderaan ini bergerak lurus.  Sekejap lagi membelok ke kiri dan ke kanan.  Namun, bunyi hon yang kuat betul-betul membuatkan aku terkejut.  Hampir terlepas genggaman jari ini.  Berderau darah aku.  Ya Tuhan, selamatkanlah aku!

* * * * *

Bagai hendak luruh jantung aku. Serentak itu juga aku membunyikan hon.  Panjang bunyinya.

"Lipan betullah!  Bawa kereta pakai lesen 'terbang' ke?  Beli kereta mahal-mahal tapi tak guna signal!"  Membebel aku bila tiba-tiba sebuah Honda Civic memotong 'sayur' di depanku.  Memang tak ada kesedaran sivik.  Sepatutnya pengguna jalanraya lebih berhemah, berilah signal bila hendak memotong.  Komunikasi dengan pengguna jalanraya itu penting.  Tambahan pula aku sedang memandu dengan kelajuan 120km/j.

Mungkin juga balasan untuk aku yang juga tidak mengikut peraturan kelajuan maksimum 90km/j.  Sekurang-kurangnya aku sentiasa memastikan jarak selamat dan memberi signal bila memotong.  Puji diri la pula.

Bosan mendengar radio kerana banyak iklan membuatkan aku menukar mod CD.

"Duhai bondaaaaaa... duhai ayahandaaaa... dengarlah rayuan anakandaaaa.. yang jauh di mataaa..."  Aku mengalunkan lagu Mamat mengikut melodiku sendiri.  Suara mesti datang dari perut barulah nafas panjang.  Aku masih ingat pesan Nurul janda Ajai semasa program yang aku pun dah lupa namanya.  Melodi pun jangan terlalu mengikut penyanyi asal, barulah ada identiti sendiri.

Satu persatu lagu raya kudendangkan.  Dari lorong kanan, aku masuk ke lorong tengah supaya aku boleh mengurangkan konsentrasi dan kelajuan kereta.  Aku akan skip lagu yang kurang popular.  Apa yang bagusnya, mata aku tidak akan mengantuk bila aku boleh menyanyi sekali. Bila mulut bergerak, mata akan terbuka.

Dalam pada itu, aku terpandang jam berdekatan di jarum meter.  Alamak, 7.56 pagi.  Ada lagi 2km sebelum sampai ke KUIS.  Biasanya perjalanan ke punch card mengambil masa 3 minit dari tol Bukit Mahkota.  Kalau ada kereta macam kura-kura di pagar KUIS, sekurang-kurangnya 4 minit masa perjalanan.  Takkan baru 2 haribulan punch card dah merah!

Aku pantas memecutkan Waqis dari 90km/j kepada 120km/j kembali.  Geram juga bila sebuah Toyota pacuan empat roda menghalang kepantasan Waqis di exit Bukit Mahkota.  Sudahlah perlahan, aku hendak ke kanan ia juga hendak ke kanan.  Aku terpaksa membrek dan mengelak ke kiri.  Hendak potong ke kanan terus, kereta belum sampai ke garisan putus-putus pula.  Bukankah aku pemandu berhemah?

Aku memberi signal ke kanan.  Mata menjeling pantas ke cermin sisi kanan dan belakang.  Sempat aku mengintai ke kawasan blind spot di kanan Waqis.  Line clear.  Pedal minyak terus kupijak.  Hanya 3 minit lagi sebelum pukul 8 pagi.  Aku sempat menoleh ke arah pemandu Toyota yang lembap itu.  Dia juga menoleh ke arahku.  Hatiku menggerutu mengutuk kelembapan pemandunya.  "Ini pun satu hal.  Bukan nak bagi signal!  Slow pulak tu.."

Tangan kiriku pantas mencapai Smart Tag dan meletakkan di dashboard.  Smart Tag tidak boleh dilekat di cermin kereta, nanti dirompak pula.  Pecut! Pecut! Pecut! Brek! "Teet..." Sensor Smart Tag berbunyi.  Kaki dan tangan bekerjasama memastikan kelajuan Waqis bertambah.  Kaki kiri berkasut tumit tinggi menekan clutch, tangan kiri mengawal gear.  Tangan kiri pantas menukar posisi ke signal.  Kaki kanan menekan pedal minyak.  Pantas! Pantas!  Telinga sudah tidak menghiraukan lagu raya genre apa yang berkumandang.

7.58 pagi.  Aku menekan brek dan berhenti, memberi signal ke kanan serta menukar ke gear satu. Di persimpangan ke KUIS, kelihatan kenderaan dari arah bertentangan agak laju dan bertunda-tunda dengan motorsikal.  Sebuah Myvi hitam bergerak sederhana laju.  Dalam perkiraanku, aku pasti sempat melintas.  Aku percaya aku boleh melintas.  Kaki kiri mengangkat clutch dan kaki kanan pantas menekan pedal minyak.  Menderum enjin Waqis.

"Teeeeennnnnnnn..."  Myvi hitam membunyikan hon.  Aku pelik aku sudah pun  melintas kenapa dia membunyikan hon?

Memang kepantangan aku orang suka membunyikan hon tidak tentu pasal.  Mulutku mula membebel, "sudahlah!  Dah tau dekat selekoh apa pasal bawa laju-laju?"  Aku malas hendak fikirkan hal MyVi itu.  Target mesti dicapai segera.  Mujurlah tiada kereta lain di hadapanku, dalam masa minit yang sama sempat aku sampai ke blok IT dan mengira 20 saat sebelum mematikan enjin dan berjalan pantas menuju mesin punch card.

"Trettt..."  Tertera tulisan 7.59 berwarna hitam di punch card kuning.  Leganya hatiku.


* * * * *

Aku rasa seperti hendak muntah.  Gegaran, kepanasan serta badan yang semakin lemah kerana belum bersarapan membuatkan aku hampir berputus asa.

Aku hanya mampu berdoa semoga segalanya cepat selesai.  Bilakah kereta ini akan berhenti?  Aku sudah tidak mampu bertahan lagi.  Tadi ada beberapa minit juga kereta ini agak stabil.  Namun kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.  Kereta ini bergegar dan berayun lebih dahsyat dari yang kujangkakan.

Tuhan, tolonglah hambaMu ini!  Aku taubat!  Aku tidak mahu tinggal solat lagi.  Mataku berpinar-pinar dan hampir pitam.  Nafasku sesak.  Aku cuba bernafas dalam-dalam.  Tarik... hembus... tarik... hembus.. tarik nafas melalui hidung... tahan nafas.. tahan.. tahan...tahan lagi... hembus perlahan-lahan ikut mulut.  Tarik lagi... hembus... Kupejamkan mata.  Mulutku tidak langsung berdecit.  Jantung kecilku berdebar-debar.  Aku memang tidak berani membuka mata kerana aku sudah nampak bintang-bintang berkerlipan di sekelilingku.  Darahku yang sememangnya sejuk bertambah sejuk.  Aku pasrah.

Sekonyong-konyong aku rasakan gegaran dan ayunan semakin perlahan.  Berhenti.  Ya, bagaikan tidak percaya kereta ini sudah berhenti.  Dalam kesyukuran aku masih merasa trauma.  Trauma seperti lagu kumpulan Elit yang pernah aku dengar berkumandang semasa melepak di bumbung sebuah flat di Seri Sentosa.

Aku memberanikan diri membuka mata.  Cerah dan silau.  Aku lihat nun di kejauhan terbentang sebuah tasik nan permai.  Tasik itu nampak hijau kerana dikelilingi pohon-pohon merimbun.  Indah sekali.  Aku meneguk liur.  Terasa kering tekak ini setelah hampir pitam tadi.  Namun aku masih tidak tahu di mana aku berada.

Semasa termenung cicak itu, tiba-tiba aku terdengar jeritan kecil.  Aku menoleh ke arahnya. Perempuan.  Aku terkedu.  Mata kami bertentangan.  Aku tidak berani turun lagi.  Aku juga tidak boleh terus di sini.  Si dia terus menampar-nampar kereta.  Aku takut aku menyorok di bawah dahan hitam yang keras.  Dia terus mengetuk-ngetuk tempat persembunyianku.  Kalau sahaja dia sentuh dahan hitam ini, aku akan panjat tangannya.  Itu resolusi terakhirku untuk menyelamatkan diri.

* * * * *

Mataku membandingkan jarak kereta dengan pokok di tepi bangunan IT.  Puas aku memikirkannya.  "Macam mana ada cicak di kereta ini?  Nak kata jatuh dari pokok, jauh benar jaraknya."

Aku pantas menutup pintu dan tingkap sebelum bergerak ke tempat parkir di belakang Pusat Konvensyen KUIS.  Aku suka meletak Waqis di sini sebab sebelum dan selepas bekerja aku boleh menikmati pemandangan indah tasik KUIS.  Hijau dan tenang.

Seperti biasa selepas mengunci kereta, aku akan mengangkat wiper.  Orang kata untuk memanjangkan hayat wiper tersebut agar tidak terkena impak maksima cermin yang panas dek bahang matahari.

Aku terkejut.  Cicak tadi masih berada berdekatan wiper.  Kali ini dia bergerak ke bawah wiper.  Aku tahu, kalau aku masih juga mahu mengangkat wiper itu, cicak ini pasti panik dan melompat ke tanganku.  Lebih menggelikan bila aku membayangkan cicakman itu akan memasuki lengan baju kurungku.  Aku terus mengetuk-ngetuk Waqis namun dia tidak berganjak.  Nekad nampaknya dia. 

* * * * *

Aku ternampak lubang yang boleh menembusi kawasan enjin kereta.  Mungkin aku terpaksa menahan bahang sedikit, tetapi rasanya di situ lebih selamat.

Aku nekad bila melihat perempuan itu mengeluarkan sesuatu dari begnya dan mengacukannya kepadaku.  Dia mengugut aku nampaknya!  Sekejap benda itu didekatkan kepadaku.  Sekejap lagi dijauhkan sedikit.  Aku dapat melihat refleksi diriku di situ.

Aku tidak mahu mati lagi.  Aku harus bertindak sekarang.

Dalam kiraan tiga!

Siji!

Loro!

Telu!

Sepantas kilat aku bergerak ke lubang.  Bahang enjin tidak kurasakan kerana darah gemuruh mengatasi segala-galanya.  Kalau perempuan itu berbuat sesuatu kepadaku, aku akan pastikan dia hanya mendapat ekorku.

Aku menyorok terus di bawah bonet sambil berdoa dia segera pergi.

* * * * *

Aku hampa.  Cicak kelabu berbelang hitam itu telah hilang dari pandangan.  Akibat terlalu tamak memastikan jarak supaya sehampir mungkin dengan cicak, menyebabkan ia sempat melarikan diri.  Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.  Orang tamak selalu rugi, bagai anjing dengan bayang-bayang.  Atau mungkin zaman ini aku boleh tukar peribahasa milenium, orang tamak selalu rugi, bagai rinhoneykurma dengan cicak. Lensa kamera handphone kutala pada pangkal wiper.  Seketika kutekan butangnya.

Kukira walaupun cicak itu tiada, tempat persembunyiannya bisa menghiasi blogku untuk hari ini.








 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates