Sebelum Ramadhan tahun ini bermula, saya telah pun memulakan kempen "Jom Berpuasa" kepada seorang kanak-kanak Ribena ini. Kanak-kanak ini memang suka Ribena jadi memang sesuai sangatlah gelaran tersebut.
Seperti Ribena, Horlicks juga memulakan kempen Ramadhannya. Tanpa disangka-sangka wajah mungil dan suara high pitch Fasha, anak penyanyi Liza Hanim yang sudah bertudung itu telah memberi satu impak besar. Impak besar bukan sahaja kepada kanak-kanak Ribena bernama Yana tetapi juga ibunya ini.
Hari pertama Ramadhan, saya berpesan kepada Yana untuk berpuasa penuh. Namun, dia hanya dapat berpuasa separuh hari. Dia makan di nurseri sebaik sahaja pulang dari tadikanya. Saya tidak mahu memaksanya. Sementelahan saya sering dimomokkan dengan cerita budak kecil mati sebab dipaksa berpuasa.
Saya berkempen pula sekiranya dia berjaya berpuasa penuh, dia akan mendapat RM1.00. Sekiranya hanya separuh hari, dia hanya akan mendapat 50sen. Amboi gembira betul dia. Yeahh...reward is better than punishment...
Dalam kegembiraan itu, Yana pula berkempen pada saya agar membeli Horlicks. Dia hendak bersahur dengan Horlicks seperti Fasha. Huh, dia agak opportunist orangnya. Saya terpaksa bersetuju walaupun harga Ho Ho Ho yang agak membuatkan saya terlopong kehohoan... (saya kira di kala ini frasa ketawa pesen terbaru "huhuhuhu..." sangat sesuai.. kerana yang saya faham, huhuhuh ni macam ketawa dalam menangis).
Bagi memastikan dia tidak berbuka awal, hari kedua saya berpesan kepada Yana, "Jangan makan dan minum sampai ibu balik kerja." Saya kira inilah layman term yang paling sesuai untuk budak berumur enam tahun. Kalau saya sebut sampai azan Maghrib dia bukan faham.
Nampaknya dia benar-benar taat pada perintah itu. Petang itu apabila saya sampai ke rumah pada pukul 6.20 petang, dengan pantas dia ke dapur dan terus minum. Hendak dimarah rasa tak patut pula. Hendak tergelak besar sambil menangis rasanya. Salah saya juga terlalu underestimate kefahaman agama seorang budak.
Malam itu, dia mahu saya kejutkan dia untuk bersahur dengan mengucapkan skrip yang sama seperti Liza Hanim cakap pada anaknya. Oh... sungguhlah saya tidak bersifat keibuan seperti itu. Namun, demi kempen "Jom Berpuasa" saya, saya pun menghafal skrip tersebut. Jadi pagi itu dia bersahur dengan Horlicks dengan rasa gembira.
Kali ini sebelum dia keluar ke tadika saya berpesan, "Jangan makan dan minum sampai azan Maghrib. Jangan korek hidung, korek telinga, marah-marah. Faham?"
Pada hari ketiga ini dia betul-betul faham kerana dapat berpuasa penuh untuk pertama kalinya. Yana juga tidak perlu bersahur pada pukul 6.30 pagi seperti penulis blog ini dahulu.
Hari-hari seterusnya dalam Ramadhan ini, seawal 5 pagi saya akan memekak dengan skrip tambahan, "Yana, bangun!...ho! ho! ho! bangun bersaholick!"