Thursday, July 28, 2011

Urat Putus

0 comments
Banyak sungguh rasanya urat yang putus.  Urat senyum, urat kesusasteraan, urat ingatan, urat fokus dan berbagai-bagai urat lagi.

Thursday, July 14, 2011

Bangun Dari Tidur?

4 comments
Salam semua!!!

Saya tidak pasti apakah saya baru bangun dari tidur atau tersedar dari pengsan atau telah pun dihipnotik.  Saya hanya tersedar saya tidak update blog ini selama 5 bulan apabila melihat status blog saya di blog Siti R.  Jika kita tunggu 4 bulan lagi, mungkin labah-labah di sini akan menetas.

Orang Baru
Kehadiran orang baru banyak mempengaruhi hidup saya sejak akhir-akhir ini.  Pada 13 April 2011 lalu, jam 5.55 pagi, saya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang diberi nama Ahmad Zahin.  Ahmad itu maknanya yang terpuji.  Zahin itu maknanya yang cerdik.  Saya tahu mungkin dari segi nahu arabnya tidak berapa betul, tetapi apakan daya, orang yang pandai bahasa Arab pun tidak tahu menjawab soalan saya.  Jadi, asalkan maknanya elok, apalah salahnya, bukan?  Mungkin buku-buku panduan menamakan anak patut juga menerangkan tentang cara menamakan anak mengikut nahu arab yang betul sebelum orang-orang yang pandai berbahasa arab ini mentertawakan kita yang buta arab :P

Orangnya panjang kerana masih bayi.  Jika sudah boleh berdiri kita akan kata dia tinggi.  Berat semasa lahir 3.98kg, bunyinya macam besar sahaja.  Jangan terpedaya kerana tidaklah semontel mana cuma mungkin kerana panjangnya itu banyak menyumbang pada berat tersebut.  Syukur kerana Allah memudahkan kelahirannya kerana saya tidak menanggung kesakitan yang lama.  Pukul 3 pagi ke Hospital Serdang, sebelum jam 6 pagi dia sudah dilahirkan.  Buat pertama kali juga Abangku berpeluang melihat saya melahirkan zuriatnya.  Apa komennya?
"Senang je keluarnya."  Wah wahh!!!  Ringan mata yang memandang, cramp perut yang menanggung.

Kali ini juga saya telah ditanya soalan yang pelik semasa sakit hendak bersalin.  Doktor bertanya adakah saya meminum air selusuh?  Bila saya kata tidak, ditanya pula adakah saya minum air herba?  Apabila saya kata tidak sekali lagi ditanya pula jika saya minum air solat hajat?  Saya kata tidak juga.  Apa masalah mereka ini?  Rupanya ada rakan-rakan memberitahu doktor-doktor tidak mahu pesakit minum air selusuh kerana menyebabkan bukaan yang terlalu cepat.  Bukankah lebih cepat lebih elok?  Tidak pula saya terfikir untuk memberitahu mereka saya hanya membaca doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W sewaktu Fatimah hendak melahirkan.  Apa itu pun salahkah?  Apa yang doktor tidak tahu, kesakitan saya sudah pun dapat dirasakan 12 jam sebelum itu tetapi saya tidak sedar itu adalah sakit hendak bersalin kerana sikit je pun :P

Saya mengambil keputusan untuk memberi susu ibu sepenuhnya.  Akibat keputusan inilah hidup saya teramat sibuk kerana saya adalah tergolong di kalangan orang yang tidak mewah dengan susu.  Walaupun melalui pembacaan saya susu yang dikeluarkan adalah bersesuaian dengan permintaan bayi, tetapi untuk bekerja semula saya memerlukan susu yang banyak supaya mudah diberikan kepada pengasuh.  Mungkin ada hikmahnya kerana disebabkan saya mengepam susu di subuh nan hening inilah saya berpeluang membuat entri di blog ini.  Sungguh ironik.  Blog ini tidak dikemaskini kerana sibuk mendapatkan susu tetapi kerana sibuk mendapatkan susu jugalah blog ini dapat dikemaskini haha.. apa aku cakap ni?  Pengajarannya ialah sesuatu yang menyusahkan kita itulah yang akan membantu kita dan itulah yang kita katakan hikmah yang tersembunyi.  Ini kerana semasa mengepam susu kita disarankan untuk tidak tertekan dan membuat aktiviti yang menggembirakan.  Sudah tentu dapat menulis sangat menggembirakan saya.

Orang Lama
Jika orang baru memerlukan perhatian, orang lama tidak kurang hebatnya.  Apabila tumpuan sepenuhnya diberikan pada yang baru, yang lama akan terasa hati.  Nampaknya kenalah pandai berpsikologi.  Dalam keadaan yang keletihan kerana tubuh sentiasa bekerja menghasilkan susu, ditambah pula kurang waktu rehat dan tidur, melayan karenah orang lama amatlah mencabar.  Apa yang peliknya, orang lama yang dimaksudkan bukanlah setakat budak di bawah umur tetapi merangkumi yang di atas umur.  Masing-masing seperti kena PMS pula... grrrrrrrr... bukankah sepatutnya saya yang diberikan perhatian?  Namun, setiap kali jiwa rasa ingin memberontak, saya ingatkan tagline Ustaz Hasrizal Saifulislam.com itu.  ERTI HIDUP PADA MEMBERI.  Ya.. tagline itu banyak menyelamatkan keadaan dan mengajar erti keikhlasan.  Hati yang sebal dan bebal berjaya dikebalkan sedikit demi sedikit.  Beri..beri...dan beri perhatian dan kasih sayang.  Apa yang saya dapat? Saya dapat tidur yang berkualiti 3 jam sehari sudah memadai.


Oh azan Subuh sudah berkumandang menandakan saya mesti bergegas menunaikan tanggungjawab kepada Yang Esa dan segera bersiap-siap untuk memberi lagi.


 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates