Tiba-tiba rasa rindu pada blog ini menjengah. Bagi melepaskan rasa rindu itu, sengaja saya kongsikan di sini laporan aktiviti mendapatkan kebahagiaan saya :D.
Oh tajuk di atas menjadi pencetus untuk saya berkongsi rasa. Saya mempunyai seorang rakan yang pernah belajar di kolej yang sama dahulu. Anaknya sungguh pandai berbahasa Inggeris seperti juga rakan saya itu. Saya selalu merasa kagum dengan rakan si Kamus Bergerak ini. Kalaulah Bahasa Inggeris saya sangat mantap sepertinya, mungkin saya antara penulis novel berbahasa Inggeris berbangsa Melayu yang popular di Nusantara ini (mode : mimpi itu percuma).
Entah bagaimana, Aisyah, anak kepada rakan saya ini menyebut ikan bilis sebagai ikan idlis dan Nescafe sebagai Niskapi. Sebagaimana sedapnya rasa kedua-dua entiti ini, begitulah sesedap rasa juga Aisyah menyebutnya. Sungguh comel, bukan? Jika kita ke pasar malam, kita mintalah pada penjual itu, "Boleh saya beli ikan idlis 200gram?" Atau kita boleh juga mengirim kepada suami kita, "Jangan lupa beli ikan idlis sekilo, ya. Lebih senang ikan idlis yang telah dibuang kepalanya, mahal sedikit tetapi menjimatkan masa." Boleh juga semasa di kedai mamak kita pesan sahaja, "Niskapi ais satu!" Ada kemungkinan kita boleh mendapat Nescafe bercampur kopi.
Berlari
Lari..lari aku berlari. Sebenarnya bukanlah berlari sangat, boleh dikatakan berlari anak atau berjalan laju sahaja. Aktiviti ini seboleh mungkin saya lakukan 3 kali seminggu sekurang-kurangnya 30minit setiap sesi. Bagi mencapai KPI tersebut, saya memastikan tempoh masa antara satu sesi dengan sesi yang lain tidak melebihi 96 jam. Setakat ini, kulit saya semakin gelap dan itu menandakan pembakaran lemak adalah sekata dengan pembakaran permukaan kulit.
Berkayak
Asalnya hanya suka-suka tetapi secara tidak sengaja saya yang berpasangan dengan Ketua Bahagian saya mendapat pingat emas pula utk sukan tempat saya bekerja. Ramai orang yang pelik dengan kejayaan kami kerana mereka semua tahu kami takut berada di atas air. Sudahlah tidak pandai berenang. Sebenarnya, kami mendayung dengan pantas kerana kami takut berada lama di tengah tasik.
Menampar
Setelah menunggu selama 3 tahun (tahun pertama tiada sukan, tahun kedua saya sedang sarat mengandung) untuk bermain bola tampar semasa sukan di sini, akhirnya saya dapat menambah koleksi pingat di rumah. Sungguh seronok rasanya bagi seorang yang sering kalah dalam acara sukan seperti saya mendapat pingat emas untuk acara ini. Dalam kegembiraan itu, ada juga sedihnya kerana saya terpaksa memilih antara sukan kegemaran ini dengan kayak bagi temasya sukan peringkat MAIS. Semua acara akan berjalan serentak. Oleh itu, setelah memikirkan segala kemaslahatan dengan hati yang berat saya terpaksa melepaskan acara tampar-menampar. Namun, masih ingin mencari bahagia, saya bercadang untuk turut serta tampar-menampar semasa sesi latihan sekiranya berkesempatan.
Buku
Sudah pasti inilah masa yang ditunggu-tunggu apabila stereng kereta telah mula dipulas dari parkir kereta pejabat. Sambil berbaring dan menyusukan si kecil yang panjangnya sudah pun terkeluar dari graf ketinggian normal, membaca trilogi yang sudah tidak trilogi oleh Ramlee Awang Mursyid memang membahagiakan. Karakter Laksamana Sunan memberikan sumber inspirasi bahawa hidup ini tidak lebih dari sebuah persinggahan yang penuh pancaroba. Ada sesuatu istimewa menanti di alam yang terkemudian sekiranya kita benar-benar sabar dan sentiasa bergantung pada Maha Pencipta dalam meniti hidup ini. Mengadulah hanya kepadaNya kerana Dialah yang lebih mengetahui dan sebenar-benar Pemberi Pertolongan.
Al-Hijrah
Tidak perlu saya terangkan dengan panjang lebar. Lihatlah dan tontonlah sendiri. Terasa damai dan bahagia apabila mata hati tidak melihat hedonisme menjadi budaya. Apa? Saya hanya tengok Ustaz Don? Saya tidak hairan kerana beliau bekerja di kolej saya.. apa celop? haha... Apa? Nak kirim salam? Pergilah friend beliau di Facebook, hari-hari boleh beri salam haha...
I Speak No Malay
Oh itu sekadar subtopik. Jangan ada pula beranggapan saya merasa bahagia jika tidak bercakap Bahasa Melayu. Sebenarnya, saya dan rakan-rakan masuk kelas Bahasa Inggeris 2 kali seminggu. Kelas ini dikendalikan oleh seorang pensyarah secara percuma. Saya lebih suka memanggil kumpulan kecil ini sebagai English Support Group kerana di sinilah kami boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris walaupun tunggang-langgang. Sesuatu yang menyeronokkan apabila otak yang lembap ini dirangsang kembali.
Banyak lagi sebenarnya yang mendatangkan bahagia tetapi cukuplah sekadar ini untuk kali ini. Kalau saya cerita semua nanti dah habis modal pula. Sehingga ketemu lagi!
Refund dari AAX
2 years ago