Wednesday, May 29, 2013

Tips Membaca

4 comments


Saya ada seorang rakan yang saya kenal di alam maya.  Entah bagaimana saya terjumpa blog beliau.  Oleh kerana tertarik dengan rak buku di dalam blognya saya pun mencarinya di Facebook.  Saya kagum kerana beliau istiqomah membaca, jadi saya gatal-gatal tangan menanyakan tips membaca beliau.  Berikut adalah balasan beliau tanpa saya edit.  Saya telah mendapat izin beliau untuk memanjangkan ilmu bermanfaat ini. 

Baiklah.. saya tipu.  Saya edit nama saya.  Itu sahaja.


Mina wrote: "Waalaikumussalam WBT Kurma. Alhamdulillah kerana Allah swt mengurniakan saya nikmat masa dan mata. Dengan ini membolehkan saya terus membaca dan membaca banyak buku tanpa jemu. Di sini saya sertakan beberapa tip mengikut pengalaman membaca saya:


1- Kenal pasti waktu perdana anda. Setiap orang mempunyai waktu perdana masing-masing. Pada waktu itu, fokus seseorang dalam melakukan kerja amat tinggi. Waktu perdana saya dari 8 pg hingga 11 pagi, dari 2 ptg hingga 3 ptg dan dari 11 mlm hingga 12 mlm. Ini kiraan jam secara mudah difahami. Setiap satu jam saya boleh membaca sebanyak 70 mukasurat (kaedah bacaan biasa). 5 jam didarab dengan 70 mukasurat bersamaan 350 mukasurat sehari. Jadi, target membaca saya sudah tercapai untuk hari itu. Jadual membaca saya juga sangat anjal. Jika saya sibuk pada waktu pagi, saya akan 'qada' membaca pada waktu malam. Maka, tidak hairan jika ada kalanya saya tidur pada jam 2 pagi. Jika saya membaca buku dari penulis yang saya minati, biasanya angka jam dan mukasurat turut meningkat. Hipotesisnya, semakin tinggi minat pada sesuatu karya itu, semakin bertambah fokus untuk membaca.

2- Cari atau bina persekitaran yang tenang dan sunyi supaya anda boleh membaca dengan efektif. Kekusyukan dalam membaca sangat penting kerana dengan cara ini tumpuan anda akan 100 peratus terpusat pada apa yang sedang anda baca. Semasa membaca, minda akan menyerap apa yang dibaca lalu menayangkan visual imaginasi yang terhasil dari pembacaan itu. Jika anda berjaya mengaplikasikan cara ini semasa membaca, insyaAllah ingatan anda terhadap apa yang anda baca akan mudah lekat dan tidak luntur kerana anda tahu apa yang sedang anda baca.

3- Semasa membaca biasakan menyediakan 5 soalan ini: Siapa, Mengapa, Apa, Dimana dan Bagaimana. Jika semasa membaca anda mewujudkan soalan-soalan seperti ini, naluri anda untuk mencari tahu lebih tinggi dan mendalam. Ini membuatkan aktiviti membaca anda lebih seronok dan mencabar kerana anda sedang menggali ilmu yang belum anda ketahui. Anda akan 'ghairah' untuk terus membaca hingga ke bab penamatnya. Setelah tiba ke bab penamat barulah kesimpulan tentang sesebuah buku itu anda dapatkan.

4- Jangan membaca sambil berbaring. Ingat! tujuan kita membaca untuk mencari ilmu. Bukan untuk dijadikan ubat tidur. Duduk dengan selesa ketika membaca. Saya tidak gemar duduk di meja tulis ketika membaca kerana cara ini nampak sangat formal. Jika di rumah, ada beberapa tempat yang saya selalu gunakan untuk duduk ketika membaca. Waktu pagi saya suka duduk di kerusi rotan di tingkat atas rumah. Ada kalanya saya duduk di sofa tingkat bawah. Pada waktu petang saya suka duduk membaca di kerusi balkoni sebelah belakang yang menghala ke padang dan disebelah malam saya gemar membaca di atas katil tanpa berbaring.

5- Semasa membaca pastikan tempat membaca anda terang dan dilimpahi cahaya. Sama ada cahaya matahari atau cahaya lampu. Sebab itu saya sering berpindah tempat membaca kerana saya sangat menitik beratkan pengcahayaan. Jika tempat anda membaca kurang terang, mata anda terpaksa bekerja keras untuk terus membaca dan kesannya mata akan cepat letih. Sayangilah mata anda. Jika mata anda letih, rehatkannya sebentar dengan melihat pemandangan pokok-pokok yang menghijau atau tidur sebentar. Alhamdulillah, walaupun saya gemar membaca tetapi mata saya masih sihat dan segar.

6- Semasa membaca, sediakan sebotol air putih untuk anda minum. Mengikut pengalaman saya, disebabkan saya terlalu leka membaca, tanpa sengaja saya abaikan pengambilan air yang mencukupi untuk badan. Ianya sangat bahaya untuk kesihatan manusia kerana 70 peratus kandungan dalam badan manusia adalah air. Tubuh manusia boleh bertahan tanpa makanan tetapi tidak tanpa air.

7- Cabar diri sendiri. Setkan sasaran atau target membaca secara tahunan, bulanan, mingguan dan harian. Tahun 2013 saya mensasarkan untuk membaca 150 buah buku. Oleh itu, seminggu saya perlu membaca tidak kurang dari 3 buah buku dan sebulan harus membaca lebih dari 12 buah buku. Jika sebulan saya berjaya membaca sebanyak 13 buah buku, insyaAllah tahun ini saya akan berhasil mencapai sasaran yang telah saya sediakan. Setiap minggu saya akan memilih buku-buku yang akan saya baca. Buku-buku itu pula terdiri dari pelbagai genre dan berkategori ringan, sederhana dan berat. Jumlah ketebalannya juga berbeza.

8- Pengurusan masa yang berkesan amat penting. Walaupun saya 'gila membaca' tetapi saya bukanlah seorang yang anti sosial. Saya sentiasa ada masa untuk membuat apa saja. Semua orang dianugerahkan 24 jam sehari. Jika saya menghabiskan masa 5 jam untuk membaca, saya masih mempunyai baki masa 19 jam untuk melakukan aktiviti lain. Rugi jika kita mensia-siakan masa untuk tidur sahaja. Curi sedikit masa tidur untuk membaca.

9- Ingat, tanam dan semai di hati bahawa membaca ini adalah perintah Allah swt yang termaktub di dalam Al-Quran. Selaku orang muslim, kita adalah umat Iqra'.Jangan biarkan kejahilan menyelimuti kehidupan kita. Bangsa yang maju adalah bangsa yang banyak membaca.

10- Walaubagaimanapun, untuk pembaca amatur, saya nasihatkan supaya memilih bacaan yang diminati dan ringan dahulu. Selepas itu disusuli dengan bacaan sederhana yang bersifat tarbiyah, pencerahan dan akhir sekali ilmiah. Paling penting anda perlu istiqomah dalam membaca. Biar sedikit bilangan mukasuratnya namun pastikan setiap hari anda memegang buku untuk menggali ilmu. Sehari 10 mukasurat, sebulan anda sudah berjaya mengkhatamkan sebuah buku setebal 300 mukasurat. Selamat membaca!"



Monday, May 27, 2013

Sooooo Wayyyy :P

3 comments
Pada hari Sabtu lepas, saya pulang ke kampung bersama anak-anak.  Tiba di Kuala Selangor, trafik mula bergerak perlahan.   Dari kejauhan saya terperasan sesuatu.

Seorang lelaki matsaleh dengan gaya penunggang basikal sedang berdiri di tepi jalan dengan badannya membelakangi jalanraya.  Apa yang menarik tetapi tidak menarik untuk saya memandang dengan lebih lama adalah cara dia berdiri itu seperti sedang melepaskan hajat dengan cara berdiri.  Ewwww... mujur saya tidak nampak 'barang' yang keluar atau pun 'bahan' yang dikeluarkan.  Orang kata suweyyyyyyyyyyyyy oiii!!!
Rasa nak pandang lagi untuk kepastian, namun mujur masih boleh menahan mata.  Mujur juga budak-budak tidak perasan kalau tidak jenuhlah hendak menjawab...grrrr...

Usai melakukannya, matsaleh itu membuat lawak pula dengan melambung-lambung bola (juggling balls) tetapi menambahkan darjah kelawakannya apabila ada bola yang terpelanting ke jalan raya.  Nampak juga dia cakap sorry sambil mengutip bola di jalanan.  Sudahlah kencing berdiri, buat lawak pula yang tidak lawak.  Hello... jalan raya tu brader.

Rasa seperti hendak turun dan berjumpa dengan matsaleh tu.  Did you pee?  I recommend you to go to the nearest petrol station or masjid and find a toilet.

Tetapi saya tak jadilah bila teringat pula tandas di masjid.

Ok.. mungkin saya akan recommend petrol station sahaja atau lalang yang subur tidak jauh dari tempat dia berdiri.


Wednesday, May 22, 2013

PRU13

0 comments
3 minggu sebelum PRU13, saya pulang ke kampung.  Kami banyak melihat bendera parti-parti bakal bertanding telah mula berkibaran semasa dalam perjalanan pulang.

Yana : Ada bendera PAS, BN, Roket.

Saya :  Ya.

Yana :  Yana rasa mesti BN menang masa mengundi ni.

Saya :  Kenapa?  (Mata yang sedang alert di jalanraya menjadi bertambah alert).

Yana :  Sebab banyak bendera BN dipasang...

PRU13 telah pun berlalu.  Telahan seorang budak darjah 3 memang benar nampaknya.  Sekurang-kurangnya di daerah kelahiran saya.




Thursday, May 16, 2013

I Should Be Writing!!!

2 comments
Baiklah!  Walaupun saya tidak kenal jejaka ini, ianya memang menakutkan!



Monday, January 21, 2013

Baca@LRT Januari 2013

4 comments
Berita panas! Berita panas!

Apa yang panas?

Ada perhimpunan.

Bila? Di mana?  Tidak habis-habis dengan perhimpunan!

Perhimpunan ini mungkin tidak akan habis pun.  Perhimpunan ulat-ulat menaiki choot..choot.. keretapi elektrik!

Apakah itu?

Perjuangan harus diteruskan.  Kempen membaca di mana-mana itu cool tidak boleh tamat begitu sahaja.  Ulat-ulat mesti memastikan ada yang menyambung legasi mereka dahulu!

Cewah.. rasa macam ceramah politik.  Bagai tidak percaya apabila melihat status rakan di Facebook yang Baca@LRT akan memecah tradisi untuk julung-julung kalinya bagi tahun 2013 ini.  

Saya merasa begitu risau tatkala seorang teman memberitahu terdapat perhimpunan Kebangkitan Rakyat.  Saya yang sudah lama tidak mengikuti perkembangan politik semasa tidak tahu perhimpunan apa yang bakal merubah kalendar Baca@LRT kali ini.  Untuk itu saya berpesan kepada teman tersebut bahawa pada 19 Januari 2013 ulat-ulat Baca@LRT akan keluar dengan tema karya Ramlee Awang Murshid dan mereka harus memberi laluan kepada kami!  Namun, sekiranya mereka masih ingin meneruskan agenda mereka pada tarikh tersebut, mereka mestilah membawa buku dan membacanya di dalam LRT, Komuter dan bas, untung-untung tercatat dalam sejarah peserta Baca@LRT mencecah 700,000 orang!  HAHA.. genius kan saya?

Oh.. mujurlah tarikhnya tidak sama. 

Kerisauan kedua pula timbul.  Bagaimana saya mahu pergi dengan seorang Maryam dan dua orang Sunan ini?  Saya pernah membawa mereka ke taman permainan.  Baiklah, itu terlalu mudah.  Saya pernah balik kampung memandu sendirian bersama mereka.  Ya, peperangan di dalam kereta memang terjadi.  Namun, itu masih dikategorikan sebagai mudah.  

Oleh itu, saya melatih diri saya membawa mereka ke pusat membeli-belah Empire di Subang semasa berjumpa dengan rakan-rakan lama.  Masih mudah sebenarnya kerana rakan saya banyak membantu dan kami pula hanya makan dan berjalan-jalan.  Bagaimana hendak membawa mereka menaiki LRT sambil membaca?  Saya mahu membaca dengan sebenar-benar membaca bukan setakat memegang buku dan bermata ikan masin, merenung buku tanpa berkelip tetapi satu pun tidak masuk ke kepala.  Kerisauan hanya ditelan sendirian.

Saya memberitahu Abangku yang saya hendak menyertai Baca@LRT.  Cuma, saya tidak tahu lagi ketika itu apakah saya akan menaiki komuter seterusnya menaiki LRT dari KL Sentral.  Memandangkan stesen komuter yang kurang mesra stroller, maka saya fikir mungkin saya akan memandu sehingga ke Taman Jaya dan naik sahaja LRT dari situ.  Abangku hanya diam...diam...diam...

Oh.. saya ingin meniru Siti Rahmah ... bunyi cengkerik pun berkumandang...

Krik! Krik! Cengkerik!

Senyap itu tanda-tanda seperti tiada keizinan atau mungkin beliau masih berfikir.  Tidak mengapa, biarkan.  Namun, selepas 2 3 kali bercerita tentang rancangan saya, cengkerik masih berbunyi, maka saya fikir elok saya diam sahaja.  Ada juga saya mengajaknya menyertai sekali, tambahan pula ketika ini dia sedang membaca ADAM.

Niat baik, Allah pasti tolong.  Tiba-tiba pintu hati Abangku terbuka untuk menyertai Baca@LRT.  Cantiklah.. melompat kerianganlah saya hoyeeeee.. hoyeee... teruja!

Maka, 19 Januari 2013, pagi-pagi lagi kami telah keluar ke Taman Jaya.  Kami mesti mengejar trip ke Gombak supaya dapat bersama delegasi yang lain.  Di sebalik senyuman melihat keriangan anak-anak menikmati panorama kota dari dalam LRT, saya menyembunyikan kerisauan sekiranya kami tidak sempat sampai ke Gombak sebelum 10.30 pagi.  Abangku pula khusyuk membaca ADAM.  Nampaknya dia sendiri sudah memulakan Baca@LRT sebelum tiba pada waktunya :D.

Lebih kurang 10.20 pagi.. saya SMS Siti dan memberitahu mungkin saya tidak sempat menaiki tren Baca@LRT yang pertama.  Siti kata tidak mengapa dia pun akan naik dari Masjid Jamek sahaja.  Hati saya berat mengatakan untuk teruskan ke Gombak dan setiap tren yang berselisih saya intai sekiranya terdapat ramai orang membaca di dalamnya.  Macamlah nampak sangat!

10.35 pagi.. tren tiba jua di Terminal Putra.  Kami ingin bergegas keluar, tetapi Abangku menahan kerana dia yakin peserta-peserta Baca@LRT telah menaiki tren tersebut dan telah mula membaca.  Segalanya berlaku dengan pantas!  Saya tidak sempat berfikir.  Kami duduk kembali dan terus mula membaca.  Saya pelik, kenapa tidak ramai peserta seperti sebelum ini?  Adakah kami telah terlepas tren?  Sepatutnya penumpang lain yang pelik tengok kami, tetapi sekarang saya pula yang pelik melihat mereka!  Saya cepat-cepat SMS Siti menyatakan rasa pelik saya itu.

Selepas beberapa SMS bersama Siti yang mendapat info daripada Tuan Attokz Dikulgai, akhirnya misteri terjawab.  Sungguh misteri Baca@LRT kali ini, kena betul dengan temanya!  Rupa-rupanya kami tersalah tren.  Tim Baca@LRT masih belum bertolak.  Tidak mengapalah kami teruskan kempen kami.  Beberapa orang memandang juga kami kerana Sunan kecil ini marah saya memegang buku RAM.  Maka saya terpaksa melayannya dengan buku kanak-kanak.  Kami turun di Masjid Jamek untuk turut menyertai Siti.  Ya, Siti seorang sahaja kali ini.  Bunyi cengkerik berkumandang...

Aktiviti

Akhirnya kami dapat juga menaiki tren Baca@LRT.  Nasib kami baik kerana banyak tempat duduk yang kosong.  Mungkin kerana lebih selesa maka Sunan kecil tadi atau nama penuhnya Ahmad Zahin khusyuk 'membaca' semua buku kanak-kanak yang dibawa. Mujur juga tergerak hati membawa buku yang banyak kerana si kecil ini mudah bosan dengan satu buku. Abangnya, Ammar Faris lebih berminat memegang sahaja bukunya.  Yana membaca buku komunikasi Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu :D.  Oh lupa, saya pula membaca Aku Bercerita. Perjalanan akhirnya sampai ke Kelana Jaya.

Snap..snap..snap... posing..posing..posing...jejak kasihan bersama rakan-rakan Baca@LRT yang telah lama tidak kami temui.  Terharu rasanya ukhuwah yang terjalin hanya kerana minat yang sama.  Ya, mengapa kita mencari perbezaan sedangkan kita boleh bersatu kerana persamaan?

Kami menaiki semula tren untuk ke Taman Jaya.  Dilema pula bila sampai di sana.  Hendak berjalan kaki atau naik kereta?  Kami merancang hendak makan A&W, risau pula tiada parkir, jadi kami biarkan kereta di LRT dan menapak bersama askar-askar kecil dan Siti ke Taman Jaya.  Apabila sampai sahaja, kami lihat krew RAMFC mengangkat bekas-bekas makanan.  Ini bukan jamuan kecil!  Bihun ada, nasi lemak ada, kek cawan coklat ada, macam-macam ada termasuklah pulut dan sambal ayam.  

Semoga bertambah-tambah subur dan murah rezeki mereka ini.

Selepas makan, ada aktiviti menyanyi mengikut tema lagu.  Sangat cool game itu, mungkin saya boleh usulkan untuk hari keluarga nanti :D.  Namun, saya tidak dapat menyertainya kerana sibuk memantau si kecil.. alasan terbaik dari ladang.  Game kedua pula dipanggil Mangala Mengganas.  Nampak menarik tetapi saya sudah mahu berangkat pulang.  Maklumlah, membawa si kecil tidak boleh berlama-lamaan (eh wujudkah perkataan ini?).  Namun, sempat juga beramah-mesra dengan RAMians serta peserta Baca@LRT yang lain.

Dapat juga berjumpa dengan Tuan RAM dan Web Sutera dan mereka sempat memberikan tips menulis.  Mereka kata, karya sulung memang susah sedikit.  Tetapi apabila yang pertama telah keluar, yang lain seperti air.  Seperti kata Tuan RAM, memetik surah al-Insyirah, setiap kesulitan ada kesenangan.  Tuan Web Sutera turut menyokong sambil mengingatkan, 2 kali perkara itu disebutkanNya di dalam surah itu.

Alhamdulillah.. terima kasih..terima kasih.

Kami melangkah pulang meninggalkan Siti dan tim Baca@LRT yang lain.  Kami diberikan satu beg berisi majalah Maskulin dan Hijabista serta satu penanda buku Baca@LRT RAM.  Seronoknya! 

Terima kasih kepada semua yang terlibat.  Syukur pada Allah yang memudahkan urusan kita.

Saya harap lambaian kelmarin bukanlah lambaian terakhir.  Malahan, ia adalah lambaian menjemput delegasi Baca@LRT yang lebih besar selepas ini.


Suka! Suka! Suka!

Daripada Cikpuan Norlela Md Sideh...

Bersama Tuan RAM sekeluarga dan pendokong Baca@LRT Januari 2013.

Kita telah bermula dengan baik.

 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates