Saya ada seorang rakan yang saya kenal di alam maya. Entah bagaimana saya terjumpa blog beliau. Oleh kerana tertarik dengan rak buku di dalam blognya saya pun mencarinya di Facebook. Saya kagum kerana beliau istiqomah membaca, jadi saya gatal-gatal tangan menanyakan tips membaca beliau. Berikut adalah balasan beliau tanpa saya edit. Saya telah mendapat izin beliau untuk memanjangkan ilmu bermanfaat ini.
Baiklah.. saya tipu. Saya edit nama saya. Itu sahaja.
Mina wrote: "Waalaikumussalam WBT Kurma. Alhamdulillah kerana Allah swt mengurniakan saya nikmat masa dan mata. Dengan ini membolehkan saya terus membaca dan membaca banyak buku tanpa jemu. Di sini saya sertakan beberapa tip mengikut pengalaman membaca saya:
2- Cari atau bina persekitaran yang tenang dan sunyi supaya anda boleh membaca dengan efektif. Kekusyukan dalam membaca sangat penting kerana dengan cara ini tumpuan anda akan 100 peratus terpusat pada apa yang sedang anda baca. Semasa membaca, minda akan menyerap apa yang dibaca lalu menayangkan visual imaginasi yang terhasil dari pembacaan itu. Jika anda berjaya mengaplikasikan cara ini semasa membaca, insyaAllah ingatan anda terhadap apa yang anda baca akan mudah lekat dan tidak luntur kerana anda tahu apa yang sedang anda baca.
3- Semasa membaca biasakan menyediakan 5 soalan ini: Siapa, Mengapa, Apa, Dimana dan Bagaimana. Jika semasa membaca anda mewujudkan soalan-soalan seperti ini, naluri anda untuk mencari tahu lebih tinggi dan mendalam. Ini membuatkan aktiviti membaca anda lebih seronok dan mencabar kerana anda sedang menggali ilmu yang belum anda ketahui. Anda akan 'ghairah' untuk terus membaca hingga ke bab penamatnya. Setelah tiba ke bab penamat barulah kesimpulan tentang sesebuah buku itu anda dapatkan.
4- Jangan membaca sambil berbaring. Ingat! tujuan kita membaca untuk mencari ilmu. Bukan untuk dijadikan ubat tidur. Duduk dengan selesa ketika membaca. Saya tidak gemar duduk di meja tulis ketika membaca kerana cara ini nampak sangat formal. Jika di rumah, ada beberapa tempat yang saya selalu gunakan untuk duduk ketika membaca. Waktu pagi saya suka duduk di kerusi rotan di tingkat atas rumah. Ada kalanya saya duduk di sofa tingkat bawah. Pada waktu petang saya suka duduk membaca di kerusi balkoni sebelah belakang yang menghala ke padang dan disebelah malam saya gemar membaca di atas katil tanpa berbaring.
5- Semasa membaca pastikan tempat membaca anda terang dan dilimpahi cahaya. Sama ada cahaya matahari atau cahaya lampu. Sebab itu saya sering berpindah tempat membaca kerana saya sangat menitik beratkan pengcahayaan. Jika tempat anda membaca kurang terang, mata anda terpaksa bekerja keras untuk terus membaca dan kesannya mata akan cepat letih. Sayangilah mata anda. Jika mata anda letih, rehatkannya sebentar dengan melihat pemandangan pokok-pokok yang menghijau atau tidur sebentar. Alhamdulillah, walaupun saya gemar membaca tetapi mata saya masih sihat dan segar.
6- Semasa membaca, sediakan sebotol air putih untuk anda minum. Mengikut pengalaman saya, disebabkan saya terlalu leka membaca, tanpa sengaja saya abaikan pengambilan air yang mencukupi untuk badan. Ianya sangat bahaya untuk kesihatan manusia kerana 70 peratus kandungan dalam badan manusia adalah air. Tubuh manusia boleh bertahan tanpa makanan tetapi tidak tanpa air.
7- Cabar diri sendiri. Setkan sasaran atau target membaca secara tahunan, bulanan, mingguan dan harian. Tahun 2013 saya mensasarkan untuk membaca 150 buah buku. Oleh itu, seminggu saya perlu membaca tidak kurang dari 3 buah buku dan sebulan harus membaca lebih dari 12 buah buku. Jika sebulan saya berjaya membaca sebanyak 13 buah buku, insyaAllah tahun ini saya akan berhasil mencapai sasaran yang telah saya sediakan. Setiap minggu saya akan memilih buku-buku yang akan saya baca. Buku-buku itu pula terdiri dari pelbagai genre dan berkategori ringan, sederhana dan berat. Jumlah ketebalannya juga berbeza.
8- Pengurusan masa yang berkesan amat penting. Walaupun saya 'gila membaca' tetapi saya bukanlah seorang yang anti sosial. Saya sentiasa ada masa untuk membuat apa saja. Semua orang dianugerahkan 24 jam sehari. Jika saya menghabiskan masa 5 jam untuk membaca, saya masih mempunyai baki masa 19 jam untuk melakukan aktiviti lain. Rugi jika kita mensia-siakan masa untuk tidur sahaja. Curi sedikit masa tidur untuk membaca.
9- Ingat, tanam dan semai di hati bahawa membaca ini adalah perintah Allah swt yang termaktub di dalam Al-Quran. Selaku orang muslim, kita adalah umat Iqra'.Jangan biarkan kejahilan menyelimuti kehidupan kita. Bangsa yang maju adalah bangsa yang banyak membaca.
10- Walaubagaimanapun, untuk pembaca amatur, saya nasihatkan supaya memilih bacaan yang diminati dan ringan dahulu. Selepas itu disusuli dengan bacaan sederhana yang bersifat tarbiyah, pencerahan dan akhir sekali ilmiah. Paling penting anda perlu istiqomah dalam membaca. Biar sedikit bilangan mukasuratnya namun pastikan setiap hari anda memegang buku untuk menggali ilmu. Sehari 10 mukasurat, sebulan anda sudah berjaya mengkhatamkan sebuah buku setebal 300 mukasurat. Selamat membaca!"