Wednesday, April 04, 2012

Ikan Idlis dan Niskapi

2 comments
Tiba-tiba rasa rindu pada blog ini menjengah.  Bagi melepaskan rasa rindu itu, sengaja saya kongsikan di sini  laporan aktiviti mendapatkan kebahagiaan saya :D.


Oh tajuk di atas menjadi pencetus untuk saya berkongsi rasa.  Saya mempunyai seorang rakan yang pernah belajar di kolej yang sama dahulu.  Anaknya sungguh pandai berbahasa Inggeris seperti juga rakan saya itu.  Saya selalu merasa kagum dengan rakan si Kamus Bergerak ini.  Kalaulah Bahasa Inggeris saya sangat mantap sepertinya, mungkin saya antara penulis novel berbahasa Inggeris berbangsa Melayu yang popular di Nusantara ini (mode : mimpi itu percuma).

Entah bagaimana, Aisyah, anak kepada rakan saya ini menyebut ikan bilis sebagai ikan idlis dan Nescafe sebagai Niskapi.  Sebagaimana sedapnya rasa kedua-dua entiti ini, begitulah sesedap rasa juga Aisyah menyebutnya.  Sungguh comel, bukan?  Jika kita ke pasar malam, kita mintalah pada penjual itu, "Boleh saya beli ikan idlis 200gram?"  Atau kita boleh juga mengirim kepada suami kita, "Jangan lupa beli ikan idlis sekilo, ya.  Lebih senang ikan idlis yang telah dibuang kepalanya, mahal sedikit tetapi menjimatkan masa."  Boleh juga semasa di kedai mamak kita pesan sahaja, "Niskapi ais satu!"  Ada kemungkinan kita boleh mendapat Nescafe bercampur kopi.


Berlari

Lari..lari aku berlari.  Sebenarnya bukanlah berlari sangat, boleh dikatakan berlari anak atau berjalan laju sahaja.  Aktiviti ini seboleh mungkin saya lakukan 3 kali seminggu sekurang-kurangnya 30minit setiap sesi.  Bagi mencapai KPI tersebut, saya memastikan tempoh masa antara satu sesi dengan sesi yang lain tidak melebihi 96 jam.  Setakat ini, kulit saya semakin gelap dan itu menandakan pembakaran lemak adalah sekata dengan pembakaran permukaan kulit.

Berkayak

Asalnya hanya suka-suka tetapi secara tidak sengaja saya yang berpasangan dengan Ketua Bahagian saya mendapat pingat emas pula utk sukan tempat saya bekerja.  Ramai orang yang pelik dengan kejayaan kami kerana mereka semua tahu kami takut berada di atas air.  Sudahlah tidak pandai berenang.  Sebenarnya, kami mendayung dengan pantas kerana kami takut berada lama di tengah tasik.  

Menampar

Setelah menunggu selama 3 tahun (tahun pertama tiada sukan, tahun kedua saya sedang sarat mengandung) untuk bermain bola tampar semasa sukan di sini, akhirnya saya dapat menambah koleksi pingat di rumah.  Sungguh seronok rasanya bagi seorang yang sering kalah dalam acara sukan seperti saya mendapat pingat emas untuk acara ini.  Dalam kegembiraan itu, ada juga sedihnya kerana saya terpaksa memilih antara sukan kegemaran ini dengan kayak bagi temasya sukan peringkat MAIS.  Semua acara akan berjalan serentak.  Oleh itu, setelah memikirkan segala kemaslahatan dengan hati yang berat saya terpaksa melepaskan acara tampar-menampar.  Namun, masih ingin mencari bahagia, saya bercadang untuk turut serta tampar-menampar  semasa sesi latihan sekiranya berkesempatan.

Buku

Sudah pasti inilah masa yang ditunggu-tunggu apabila stereng kereta telah mula dipulas dari parkir kereta pejabat.  Sambil berbaring dan menyusukan si kecil yang panjangnya sudah pun terkeluar dari graf ketinggian normal, membaca trilogi yang sudah tidak trilogi oleh Ramlee Awang Mursyid memang membahagiakan.  Karakter Laksamana Sunan memberikan sumber inspirasi bahawa hidup ini tidak lebih dari sebuah persinggahan yang penuh pancaroba.  Ada sesuatu istimewa menanti di alam yang terkemudian sekiranya kita benar-benar sabar dan sentiasa bergantung pada Maha Pencipta dalam meniti hidup ini.  Mengadulah hanya kepadaNya kerana Dialah yang lebih mengetahui dan sebenar-benar Pemberi Pertolongan.

Al-Hijrah

Tidak perlu saya terangkan dengan panjang lebar.  Lihatlah dan tontonlah sendiri.  Terasa damai dan bahagia apabila mata hati tidak melihat hedonisme menjadi budaya.  Apa?  Saya hanya tengok Ustaz Don?  Saya tidak hairan kerana beliau bekerja di kolej saya.. apa celop? haha...  Apa?  Nak kirim salam?  Pergilah friend beliau di Facebook, hari-hari boleh beri salam haha...

I Speak No Malay

Oh itu sekadar subtopik.  Jangan ada pula beranggapan saya merasa bahagia jika tidak bercakap Bahasa Melayu.  Sebenarnya, saya dan rakan-rakan masuk kelas Bahasa Inggeris 2 kali seminggu.  Kelas ini dikendalikan oleh seorang pensyarah secara percuma.  Saya lebih suka memanggil kumpulan kecil ini sebagai English Support Group kerana di sinilah kami boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris walaupun tunggang-langgang.  Sesuatu yang menyeronokkan apabila otak yang lembap ini dirangsang kembali.


Banyak lagi sebenarnya yang mendatangkan bahagia tetapi cukuplah sekadar ini untuk kali ini.  Kalau saya cerita semua nanti dah habis modal pula.  Sehingga ketemu lagi!


Tuesday, January 31, 2012

Saya dan Labah-Labah

2 comments
Saya rasa saya tiada bezanya dengan labah-labah di monitor saya ini.  Kami sama-sama berada di atas sesawang.  Namun, saya fikir labah-labah ini mungkin keliru dan beranggapan dia berada di sesawangnya sendiri.  Mungkin kerana itu ia mundar mandir di atas skrin saya ini.  


Mungkin dia pelik kenapa sesawangnya tiada jaring?  Memanglah jaring tidak kelihatan kerana ini laman web bukannya spiderweb!

Sunday, August 14, 2011

Madrasah Ramadhan

1 comments
Orang putih kata better late than never.  Jadi, dengan tulus hatinya saya ingin memohon ampun sekiranya tulisan saya ada yang mengguris perasaan sesiapa yang membacanya.  Di kesempatan ini juga dan kerana better late than never jugalah saya ingin sangat mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Kareem... Kenapa saya tulis "Kareem" bukannya "Karim"?  Secara psikologinya kita akan baca panjang sedikit "Reem" itu berbanding "Rim" hehe...

Alahai baru nak warm up jari, baby sudah jaga.


Thursday, July 28, 2011

Urat Putus

0 comments
Banyak sungguh rasanya urat yang putus.  Urat senyum, urat kesusasteraan, urat ingatan, urat fokus dan berbagai-bagai urat lagi.

Thursday, July 14, 2011

Bangun Dari Tidur?

4 comments
Salam semua!!!

Saya tidak pasti apakah saya baru bangun dari tidur atau tersedar dari pengsan atau telah pun dihipnotik.  Saya hanya tersedar saya tidak update blog ini selama 5 bulan apabila melihat status blog saya di blog Siti R.  Jika kita tunggu 4 bulan lagi, mungkin labah-labah di sini akan menetas.

Orang Baru
Kehadiran orang baru banyak mempengaruhi hidup saya sejak akhir-akhir ini.  Pada 13 April 2011 lalu, jam 5.55 pagi, saya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang diberi nama Ahmad Zahin.  Ahmad itu maknanya yang terpuji.  Zahin itu maknanya yang cerdik.  Saya tahu mungkin dari segi nahu arabnya tidak berapa betul, tetapi apakan daya, orang yang pandai bahasa Arab pun tidak tahu menjawab soalan saya.  Jadi, asalkan maknanya elok, apalah salahnya, bukan?  Mungkin buku-buku panduan menamakan anak patut juga menerangkan tentang cara menamakan anak mengikut nahu arab yang betul sebelum orang-orang yang pandai berbahasa arab ini mentertawakan kita yang buta arab :P

Orangnya panjang kerana masih bayi.  Jika sudah boleh berdiri kita akan kata dia tinggi.  Berat semasa lahir 3.98kg, bunyinya macam besar sahaja.  Jangan terpedaya kerana tidaklah semontel mana cuma mungkin kerana panjangnya itu banyak menyumbang pada berat tersebut.  Syukur kerana Allah memudahkan kelahirannya kerana saya tidak menanggung kesakitan yang lama.  Pukul 3 pagi ke Hospital Serdang, sebelum jam 6 pagi dia sudah dilahirkan.  Buat pertama kali juga Abangku berpeluang melihat saya melahirkan zuriatnya.  Apa komennya?
"Senang je keluarnya."  Wah wahh!!!  Ringan mata yang memandang, cramp perut yang menanggung.

Kali ini juga saya telah ditanya soalan yang pelik semasa sakit hendak bersalin.  Doktor bertanya adakah saya meminum air selusuh?  Bila saya kata tidak, ditanya pula adakah saya minum air herba?  Apabila saya kata tidak sekali lagi ditanya pula jika saya minum air solat hajat?  Saya kata tidak juga.  Apa masalah mereka ini?  Rupanya ada rakan-rakan memberitahu doktor-doktor tidak mahu pesakit minum air selusuh kerana menyebabkan bukaan yang terlalu cepat.  Bukankah lebih cepat lebih elok?  Tidak pula saya terfikir untuk memberitahu mereka saya hanya membaca doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W sewaktu Fatimah hendak melahirkan.  Apa itu pun salahkah?  Apa yang doktor tidak tahu, kesakitan saya sudah pun dapat dirasakan 12 jam sebelum itu tetapi saya tidak sedar itu adalah sakit hendak bersalin kerana sikit je pun :P

Saya mengambil keputusan untuk memberi susu ibu sepenuhnya.  Akibat keputusan inilah hidup saya teramat sibuk kerana saya adalah tergolong di kalangan orang yang tidak mewah dengan susu.  Walaupun melalui pembacaan saya susu yang dikeluarkan adalah bersesuaian dengan permintaan bayi, tetapi untuk bekerja semula saya memerlukan susu yang banyak supaya mudah diberikan kepada pengasuh.  Mungkin ada hikmahnya kerana disebabkan saya mengepam susu di subuh nan hening inilah saya berpeluang membuat entri di blog ini.  Sungguh ironik.  Blog ini tidak dikemaskini kerana sibuk mendapatkan susu tetapi kerana sibuk mendapatkan susu jugalah blog ini dapat dikemaskini haha.. apa aku cakap ni?  Pengajarannya ialah sesuatu yang menyusahkan kita itulah yang akan membantu kita dan itulah yang kita katakan hikmah yang tersembunyi.  Ini kerana semasa mengepam susu kita disarankan untuk tidak tertekan dan membuat aktiviti yang menggembirakan.  Sudah tentu dapat menulis sangat menggembirakan saya.

Orang Lama
Jika orang baru memerlukan perhatian, orang lama tidak kurang hebatnya.  Apabila tumpuan sepenuhnya diberikan pada yang baru, yang lama akan terasa hati.  Nampaknya kenalah pandai berpsikologi.  Dalam keadaan yang keletihan kerana tubuh sentiasa bekerja menghasilkan susu, ditambah pula kurang waktu rehat dan tidur, melayan karenah orang lama amatlah mencabar.  Apa yang peliknya, orang lama yang dimaksudkan bukanlah setakat budak di bawah umur tetapi merangkumi yang di atas umur.  Masing-masing seperti kena PMS pula... grrrrrrrr... bukankah sepatutnya saya yang diberikan perhatian?  Namun, setiap kali jiwa rasa ingin memberontak, saya ingatkan tagline Ustaz Hasrizal Saifulislam.com itu.  ERTI HIDUP PADA MEMBERI.  Ya.. tagline itu banyak menyelamatkan keadaan dan mengajar erti keikhlasan.  Hati yang sebal dan bebal berjaya dikebalkan sedikit demi sedikit.  Beri..beri...dan beri perhatian dan kasih sayang.  Apa yang saya dapat? Saya dapat tidur yang berkualiti 3 jam sehari sudah memadai.


Oh azan Subuh sudah berkumandang menandakan saya mesti bergegas menunaikan tanggungjawab kepada Yang Esa dan segera bersiap-siap untuk memberi lagi.


 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates