Wednesday, October 03, 2012

Roselle

6 comments
Sudah lama tidak menulis di sini.  Saya tidak mahu memberi alasan kerana apa sahaja yang saya tulis ia hanyalah alasan semata-mata.

Sebenarnya, semasa mandi pagi tadi saya ternampak labah-labah di siling bilik air.  Saya fikir sudah tiba masanya saya letak posting baru di sini kerana blog saya dan labah-labah sangat sinonim.  Saya terfikir sesuatu tentang labah-labah dan ingin kongsi di sini.

Namun, saya fikir adalah lebih baik saya warnakan sedikit blog ini dengan gambar-gambar yang telah lama saya ambil dan ingin kongsikan.  

Memperkenalkan...POKOK DAN BUAH ROSELLE!!!

Roselle atau nama saintifiknya Hibiscus Sabdariffa adalah dari spesis bunga raya.  Setelah Cik Roselle menjadi mangsa barulah saya tahu mangsa saya itu dari kalangan kaum Hibiscus.  Ya, nampaknya keturunan Homo Sapiens yang sedang menaip ini akhirnya baru sedar yang dia telah memakan (atau meminum?) bunga raya dalam bentuk jus.   
 
Penglibatan saya dan Abangku di dalam dunia Roselle ini bermula apabila Ibu Mertuaku memberikan benih Roselle untuk kami tanam di ladang sekangkang kera di sebelah rumah kami.  Abangku begitu gigih membajai pokok bunga raya ini dan saya hanya gigih menyiramnya apabila ada kelapangan.  Kemudian, beliau juga gigih menuai hasilnya sambil menyahsemuthitamkan buah-buah tersebut, sedangkan saya hanya gigih memerhati.  Ini kerana, saya perlu menyimpan tenaga untuk memproses jus roselle di kilang dapur kami.









Inilah buah Roselle yang cantik menawan berwarna merah hati.


Ini pula biji buah roselle apabila dibelah dua.  Bagaimana jika kita wujudkan perumpamaan baru "umpama biji roselle dibelah dua"?  Oh, saya patut tunjuk buah roselle apabila tua tetapi saya sudah beri kepada bos saya pula.  Beliau memang peminat jus roselle yang tegar.


Ini kelopak buah roselle tadi.  Boleh dikopek dengan jari sahaja atau belah bahagian bawah buah dan keluarkan bijinya.  Kelopak inilah yang akan kita jadikan jus soli.

 
 
Rebus kelopak roselle dengan air secukupnya sehingga mendidih dan air berwarna merah.


 Lebih merah daripada ini, ya.  Bolehlah tambah gula dan didihkan lagi.  Saya lebih suka air gula berasingan supaya senang hendak ditokok dan ditambah jus itu bila hendak lebih rasa roselle semasa minum.

Setelah siap, tapiskan.  Hampasnya boleh dikisar dan ditapis untuk mendapatkan pati.  Jika tidak mahu dikisar, boleh rebus hampas tadi sekali lagi tetapi dengan jumlah air yang sedikit.  Tapiskan lagi airnya apabila telah mendidih.  

Hampas roselle ini boleh dibuat halwa juga tetapi saya belum buat eksperimen :D


 
Bila hendak minum, kalau hendak lebih lazat, pastikan warna bancuhan lebih merah daripada di atas ini juga kerana  lebih pekat, lebih terasa kerosellannya.  Macam Ribena.  Kelasssssss kau Rinhoneykurma!

 
10-15 biji roselle boleh menghasilkan separuh botol jus yang kurang pekat.


 
Inilah pokok roselle yang merimbun.


 
Kalau suka dan stress, boleh baring juga di bawahnya.


 
Anak pokok roselle yang sedang meningkat remaja.



 
Ini pula bunga roselle.  Subhanallah, cantik!  Kembang di waktu pagi dan kuncup bila petang.  Sudah jadi buah, bunga ini tiada lagi.


 


 
Buah yang berteritip di dahan-dahannya.  

Selain melalui biji benih, pokok roselle juga boleh ditanam melalui keratan batang.  Cantas dan cucuk sahaja di tanah.  Saya sudah buat eksperimen.  Dahan yang saya cacak itu telah mengeluarkan buah walaupun baru setinggi satu kaki!  Comel betul.  Kecil-kecil sudah pandai berbuah... :-D

Selain tinggi dengan Vitamin C, ia juga dikatakan boleh mengurangkan kolesterol dan anti-oksida.  Bolehlah tanya pakcik Google untuk keterangan lebih lanjut.  Saya juga tidak risau memberikan jus roselle original recipe kepada anak saya yang baru berumur setahun setengah (model yang berbaring di bawah pokok roselle tadi) kerana tiada bahan pengawet dan tiada pewarna tiruan.  Dapatlah juga dia merasa air berwarna selain susu :-D

Wow .. puas hati saya dapat bercerita panjang sedikit kali ini.  Sehingga bertemu lagi.  Jagalah diri!


Saturday, August 04, 2012

Writers Quotes

2 comments
Saya terjumpa beberapa kata-kata hikmah.  Sengaja saya tujukan untuk diri saya :-)

"If you don't like someone's story, write your own."
— Chinua Achebe

"One of the most frustrating arguments I’ve encountered is—If you hate it so much, stop bitching and write your own."
— Deepa D.

"If there's a book that you want to read, but it hasn't been written yet, then you must write it."
— Toni Morrison

Thursday, July 26, 2012

Kelas Matematik

2 comments
Saya tidak pasti sejak bilakah kelas matematik dimulakan di pasar malam dan di bazar Ramadan.  Mungkin baru 5 tahun kebelakangan ini.

Pembeli :  Bagaimana nak kira kuih ini semua?


Peniaga :  1 40sen.  5 kuih RM2.


Pembeli yang dompetnya penuh :  Beri saya karipap RM2, donut RM2.


Pembeli yang dompetnya kempis :  2 donut 80 sen kan?


Pembeli yang nampak peluang :  Saya mahu donut 2, karipap 2, burger ring 1.


Ada peniaga melakukan promosi  dengan memberi diskaun untuk jumlah tertentu pembelian.


Ada peniaga menggunakan psikologi-lemah-matematik untuk mendapat jualan lebih banyak.


Saya cukup benci kaedah kedua di atas kerana terasa seperti dipermain-mainkan.  Ini soal wang.  Apa sahaja berkaitan wang adalah serius!

Wednesday, July 18, 2012

Gosip

2 comments
Ada orang kata kalau seseorang itu bergosip tentang orang lain dengan kita, tidak mustahil dia juga akan bergosip tentang kita dengan orang lain.

Semakin banyak gosip pula yang saya dengar kebelakangan ini.

Saya fikir itu mungkin tanda-tanda saya akan menjadi selebriti tidak lama lagi.


Saturday, June 16, 2012

Unplugged

3 comments
Di sebuah rumah yang decorder Astronya telah rosak, anak-anak bermain restoran-restoran.

Abang :  Cik nak apa?
Kakak :  Milo, mi goreng, telur kicap, telur rebus dengan kicap, telur bistik, telur goreng.
Abang :  Timun nak tak?  Air strawberi?
Kakak :  Nak juga.

Si Abang pun membuat gaya menulis di atas tapak tangan.  Kemudian, dia memasak dengan pantas dan mengedarkan makanan kepada pelanggan.

Abang :  Makcik nak apa?
Ibu :  Milo ais kaw 1!
Abang :  Wah sedapnya!

Si Abang terus membuat gaya membancuh Milo dan memasak gaya Masterchef.  Maklumlah, malam ini tak dapat menonton Masterchef Selebriti...

**********

Ibu :  Kakak, pergilah lipat baju.  Kakak sudah darjah 2 mesti belajar lipat baju.  Ibu dulu dah pandai lipat baju.
Kakak :  Lipat baju je?
Ibu :  Nanti darjah 4 belajar memasak pula.  Ini Kemahiran Hidup, mesti tahu buat.  Kalau tidak tahu, nanti sudah besar siapa nak buat?
Kakak :  Suami.
Ibu :  ... ( Like mother like daughter? =)) )


 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates