Wednesday, February 25, 2009

Klinik Kerajaan Yang Ironik


Semalam aku pergi ke PPUM untuk buat medical check up untuk masuk ke tempat kerja baru. Apabila tiba giliranku di kaunter penyaringan, aku pun memberitahu hasratku itu. Aku agak terkejut bila diberitahu hospital itu tidak menjalankan medical check up, sebaliknya hanya klinik kesihatan kerajaan dan swasta sahaja yang ada. Mujurlah staf di kaunter tersebut memberikan senyuman manis menarik hati, maka aku pun oklah. Dia turut memberitahu Klinik Kesihatan di Kelana Jaya ada menyediakan perkhidmatan tersebut.

Aku terus pergi ke Klinik Kesihatan di Taman Medan dengan harapan untuk mencuba di klinik yang terdekat dengan rumahku dahulu. Sampai di sana, aku diberitahu pula mereka tidak melakukan ujian dadah. Mereka memberitahu bahawa ujian dadah mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu kerana mereka mesti menghantar sampel ke hospital untuk analisis. Itu aku faham.

Tetapi yang aku tak faham, seorang staf di situ memberi alternatif agar aku membuat ujian dadah di klinik swasta dan membuat medical check up yang lain di klinik kerajaan itu. Katanya, buat masa ini hospital tidak menjalankan ujian dadah tersebut. Dalam masa yang sama, dia turut berkata bahawa sekiranya aku membuat medical check up keseluruhannya di klinik swasta, cop dan tandatangan doktor klinik swasta itu tak laku. Senang cerita tak diiktiraf. Habis tu, kenapa aku disuruh menjalani ujian dadah di klinik swasta pula, kenapa klinik kerajaan tidak mahu mengambi sampel air kencing atau darah dan dibawa ke hospital untuk ujian dadah tersebut? Ironik, bukan? Katanya ujian di klinik swasta tak diiktiraf, tetapi untuk ujian dadah boleh ada pengecualian?

Aku bukan apa, aku pergi ke klinik kerajaan itu tujuannya untuk berjimatlah, di mana sekiranya aku terus membuat medical check up keseluruhannya di klinik swasta kosnya RM100. Kalau aku menjalani ujian dadah di klinik swasta aku perlu membayar rm30 (maksimum) dan RM20 untuk medical check up di klinik kerajaan. Jadi jumlahnya hanya RM50.

Aku mencuba nasib pula di klinik kerajaan di Kelana Jaya. Jawapan yang sama turut diberikan iaitu ujian dadah perlu dilakukan di klinik luar. Hatiku berbelah bahagi, adakah benar medical check up klinik swasta tidak diiktiraf? Aku terus menelefon bakal tempat kerja baru dan merasa lega bila diberitahu mereka menerima hasil pemeriksaan dari mana-mana klinik.

Aku terus ke klinik swasta berdekatan rumahku dan menjalani medical check up di situ. Senang sungguh prosesnya, orang kata berbaloi lah membayar RM100 itu. Cuma aku terkilan, apalah yang boleh aku harapkan pada perkhidmatan kerajaan. Aku mungkin mampu untuk membayar RM100 atau RM50 untuk medical check up. Bagaimana dengan orang lain? Ramai orang pergi ke klinik kerajaan kerana kos yang sepatutnya murah, tetapi sebaliknya yang berlaku. Aku juga tertanya-tanya, bagaimana orang boleh hanya mengiktiraf medical check up dari klinik atau hospital kerajaan semata-mata, sedangkan hakikatnya rakyat biasa ini disuruh pula melakukan sebahagian pemeriksaan (dalam kes ini ujian dadah) di klinik swasta? Ironik.. memang ironik.

0 comments on "Klinik Kerajaan Yang Ironik"

 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates