Saturday, June 16, 2012

Unplugged

3 comments
Di sebuah rumah yang decorder Astronya telah rosak, anak-anak bermain restoran-restoran.

Abang :  Cik nak apa?
Kakak :  Milo, mi goreng, telur kicap, telur rebus dengan kicap, telur bistik, telur goreng.
Abang :  Timun nak tak?  Air strawberi?
Kakak :  Nak juga.

Si Abang pun membuat gaya menulis di atas tapak tangan.  Kemudian, dia memasak dengan pantas dan mengedarkan makanan kepada pelanggan.

Abang :  Makcik nak apa?
Ibu :  Milo ais kaw 1!
Abang :  Wah sedapnya!

Si Abang terus membuat gaya membancuh Milo dan memasak gaya Masterchef.  Maklumlah, malam ini tak dapat menonton Masterchef Selebriti...

**********

Ibu :  Kakak, pergilah lipat baju.  Kakak sudah darjah 2 mesti belajar lipat baju.  Ibu dulu dah pandai lipat baju.
Kakak :  Lipat baju je?
Ibu :  Nanti darjah 4 belajar memasak pula.  Ini Kemahiran Hidup, mesti tahu buat.  Kalau tidak tahu, nanti sudah besar siapa nak buat?
Kakak :  Suami.
Ibu :  ... ( Like mother like daughter? =)) )


Wednesday, June 06, 2012

Kaitan Nyamuk Dengan Air Asia

2 comments
Saya terjumpa satu tajuk di sebuah blog "Wanita Taiwan Bunuh 4 juta Nyamuk".  Tajuk tersebut disertakan sekali dengan gambar wanita tersebut memegang satu karung plastik.  Saya fikir ia mungkin sekarung nyamuk.  Saya pun mengklik pada link tersebut tetapi ia membawa saya kepada satu website lain yang saya tidak berani meneruskan untuk membukanya.  Ops.. bukan seperti yang disangka, ya.  Saya tidak meneruskan pencarian gambar wanita tersebut kerana website itu terlalu haru-biru bagi saya.  Terlalu banyak link dan gambar-gambar lain.  Itu belum lagi dikira imej-imej animasi yang terkelip-kelip dan tergedik-gedik.  Saya pening.  Saya tutup sahaja tetingkapnya.

Namun, saya teringat sesuatu.  Semasa kecil, saya sangat suka duduk di tempat yang banyak nyamuk seperti di dapur ibu saya, di tangga belakang dapur atau di tangga depan rumah.  Saya akan menampar sehingga meninggal nyamuk-nyamuk itu seekor demi seekor.  Saya kumpulkan sehingga perumpamaannya boleh dibuat rencah sambal belacan.  Saya tidak ingat siapa yang memberi perumpamaan itu.  Samada diri saya sendiri atau salah seorang ahli keluarga saya.  Penghapusan etnik itu berlaku biasanya pada waktu senja kerana ketika itulah etnik nyamuk yang besar seperti lalat ini keluar dan menghurung saya yang sengaja duduk di dalam teritori mereka.

Saya terfikir apakah hukum membunuh nyamuk begini?  Terus-terang saya katakan ketika itu memang seronok dan puas hati dapat memukul nyamuk yang besar-besar itu.  Mungkin mereka berpangkat general atau paling kecil pun kapten-kapten mereka.  Sehingga pada ketika itu pernah juga terlintas di hati adakah nyamuk-nyamuk ini syaitan yang sengaja buat saya leka membunuh di situ tanpa menghiraukan waktu Maghrib yang sepatutnya dihabisi dengan mengaji?

Bagi menjawab persoalan hukum, saya pun bertanya kepada Pakcik Google kesayangan.  Maka banyaklah hasil carian yang bercerita tentang hukum membunuh haiwan yang mengganggu.  Namun, jawapan yang keluar ini lebih kepada haiwan yang mendatangkan bahaya dan gangguan seperti semut, lalat, nyamuk dan lipas.  Jika dibunuh pula bukan dengan menggunakan api.  Namun, sengaja duduk di kawasan nyamuk dan melakukan genocide begitu tidak pula saya pasti hukumnya.  Semoga Allah mengampuni saya sekiranya ia tidak patut dilakukan.  Maklumlah, ketika itu pun saya masih kanak-kanak yang hanya tahu menonton Gaban dan Thundercats.

Dalam pencarian itu, tiba-tiba saya terjumpa pula Cara Membeli Tiket Murah Airasia dari blog lain.  Ya, di sinilah kaitan nyamuk dan Airasia.  Mungkin Airasia boleh menggunakan nyamuk sebagai maskotnya selepas ini kerana mereka mempunyai persamaan.  Pertama, penulis blog ini iaitu saya, pernah bersua muka dengan nyamuk dan pernah menaiki Airasia.  Kedua, Airasia adalah syarikat penerbangan dan nyamuk boleh terbang.  Ketiga, kapal terbang Airasia mendarat dan terbang semula dengan cepat sama seperti nyamuk.  Cukuplah setakat ini dahulu.  Mungkin ada persamaan dan kaitan lain yang saya sendiri belum tahu.


 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates