Showing posts with label Stories. Show all posts
Showing posts with label Stories. Show all posts

Sunday, May 20, 2012

Besta Buku 2012

4 comments
Abangku pelik kenapa isterinya begitu cepat bersiap hari itu.

Dengan pandangan serong aku berkata, "Lupalah tu?  Hari ini saya cuti, ya.  Shopping."

Melihatkan dahi sang suami yang berkerut aku menambah, "Di pesta buku dengan kawan-kawan."

Barulah dia teringat, hujung minggu nanti dia akan membawa kami juga ke sana.  Dia sudah faham sangat dengan acara tahunan keluarga ini.  Ya, aku yang menjadikan ia acara tahunan.

Akulah pengurus acara di rumah ini.

Er... ayat itu untuk berlagak sahaja.

Setelah menghantar Number Three ke rumah pengasuh, aku bergegas pula ke sekolah menghantar Number One.  Maka Bangi Old Town Drift pun bermula.

Number Two diuruskan oleh Abangku jadi aku tidak perlu risau.

Sampai sahaja di Stesen Komuter dan setelah membayar RM3.00 kepada penjaga parkir, aku pun mencari tapak untuk Waqis.  Aku ingin bergegas untuk membeli tiket apabila Kak Shida menegurku.  Dia sudah sampai dahulu rupa-rupanya.  Baru aku hendak berlagak aku sampai paling awal, terpaksalah aku simpan sahaja keberlagakan itu.

Membeli tiket

Kami merenung agak lama pada dinding komuter itu.  Bukanlah dinding semata-mata tetapi lebih kepada peta perjalanan trek keretapi dan LRT Rapid KL.

"Rasanya Kak Ida kata Stesen Putra,"  aku memandang Kak Shida.

Kak Shida masih melihat peta di dinding lalu menjawab, "Entahlah, Rin.  Akak tak biasa.  Akak ikut je korang ni."

Aku mencadangkan kepada Kak Shida supaya kami bertanya sahaja kepada petugas di kaunter.

"Encik, stesen apa yang dekat dengan PWTC?  Yang ada pesta buku tu?"  Aku bertanya setelah memberi salam kepada Encik Petugas.

Dengan wajah yang separa manis dia menjawab, "Tak ada stesen komuter nama PWTC.  LRT adala kot."

Aku rasa soalanku sudah jelas tetapi tidak mengapa, mungkin perlu gunakan frasa lain pula,  "Stesen tu dekat dengan PWTC.  Apa ya nama stesen tu?"

"Tak ada stesen PWTC.  Salah ni, mungkin LRT."  Jawapannya membuatkan aku rasa lebih baik aku study sahaja peta trek di dinding.  Kami terpaksa memberi laluan kepada pembeli tiket yang lain dahulu.  Setelah berhempas pulas memahamkan perjalanan trek komuter, maklumlah, naik komuter setahun belum tentu sekali, akhirnya, kami berjaya juga membeli 4 tiket pergi balik ke stesen komuter Putra.

Diet Lari

Aku dan Kak Shida segera berjalan ke sebuah gerai makanan berhampiran sambil membawa beg sandang.  Aku kagum dengan Kak Shida kerana walaupun tidak pernah ke pesta buku, dia tahu dia akan memerlukan beg seperti itu.

Apabila sampai di gerai, Kak Ida, seorang lagi ulat buku tegar telah pun berada di situ sambil memeluk beg sandangnya.

"Korang mesti rasa roti canai di sini.  Sedap.  Saudara Akak punya gerai ni,"  kata Kak Shida dengan gembira lantas membuat pesanan, "Alang, roti tiga!"

Seorang veteran yang dipanggil Alang oleh Kak Shida datang dan mereka berborak dan bertanya khabar.  "Kuah campur?"  tanya Alang.

"Kuah campur tu bagaimana?"  tanya Kak Ida.

"Dal kari sambal semua campur,"  jawab Alang.

"Aku nak kuah dal, Alang," kata Kak Shida.  "Saya juga,"  kata Kak Ida.  "Saya nak kuah campur.  Milo tarik kaw satu."  Aku memang suka mencampur-adukkan makanan di dalam perut.

Sedang kami menunggu makanan sampai, seorang lagi ahli rombongan ulat pun sampai.


Bukan Ulat

"Apa kelas Kak Yati bawa beg begini?"  aku merasa tidak puas hati dengan Kak Yati yang datang berlenggang dengan beg tangan wanitanya.  Memang kewanitaan beg itu.  Memang tidak sesuai ke pesta buku.  Selayaknya beg pergi kenduri atau pejabat.

Sambil memerhatikan begnya sendiri Kak Yati membalas, "Tak boleh ke?"

"Nanti susah nak bawak buku,"  kata Kak Ida pula.

"Tak apalah.  Akak bukannya kaki buku macam korang,"  dengan selambanya Kak Yati membalas.

"Takpe... kita tengok nanti, ya"  kataku sambil menikmati roti canai kedai Alang.  Memang roti canai itu sedap tetapi mungkin seperti kata Kak Ida yang Alang terlupa bubuh garam.

Kami bergegas ke stesen setelah selesai membayar sarapan.  Tiba-tiba Kak Ida menyuruh kami berjalan dengan lebih pantas apabila ternampak keretapi arah ke Kuala Lumpur hampir sampai.  Tanpa berlengah kami berlari emak-emak, walaupun ada antara kami belum menjadi isteri pun, untuk segera ke mesin berlepas.  Macam nak naik kapal terbang pula.  Sebenarnya aku tidak tahu apa nama benda itu.  Ianya tempat memasukkan tiket sebelum kita boleh ke trek keretapi.

Keretapi semakin hampir namun kami masih gagal memasukkan tiket ke dalam mesin berlepas itu.  Mesin itu tidak melepaskan kami!  Tolong...bagaimana ni?  Rugilah kami jika terlepas keretapi ini!

Terjah

"Akak boleh ikut sini sahaja,"  terdengar oleh kami suara Encik Petugas.  Oh, leganya kami apabila kami dibenarkan lalu di bahagian manual sahaja.  Selamat Tinggal Mesin Pelepasan!

Sambil memeluk beg, kami berlari ke arah keretapi yang sudah pun berhenti.

"Komuter ni ada driver kan?"  aku bertanya tetapi tiada siapa yang menjawab.  Masing-masing sudah tercungap-cungap.

"Itu dia coach wanita!"  Kak Ida menunjuk ke arah kiri beberapa meter dari tempat kami berdiri.

"Takut tak sempat.  Kita terjah sahajalah gerabak lelaki, nanti kita ke coach wanita dari sebelah dalam,"  aku mengunjurkan.  Pengalaman menaiki keretapi ke Singapura harus digunakan.

Sebaik sahaja melangkah ke dalam komuter, kami ketawa terkekek-kekek.  Geli hati dan menarik nafas lega kerana tidak ditinggalkan keretapi.

"Nak ke coach wanita tak?"  aku bertanya mereka.  Masing-masing menoleh ke arah lorong komuter yang sempit dan dipenuhi majoritinya kaum lelaki.  

Diam.

Komuter pun bergerak meninggalkan stesen Bangi dan kami pasrah sahaja apabila merasakan kamilah kelompok wanita di dalam gerabak itu.  Jika ada wanita pun seorang dua sahaja.

Aku membayangkan ketidakselesaan yang bakal dihadapi apabila penumpang semakin ramai di stesen berikutnya.  "Jom kita tukar ke coach perempuan di stesen akan datang?"

"Sempat ke?"  tanya Kak Shida.

"Boleh kot,"  Kak Ida meyakinkan.

Maka, stesen UKM menjadi saksi larian kami yang menggegarkan.  Aku fikir tentu pemandu komuter itu nampak apa yang kami lakukan.  Mujurlah kami bukan artis.  Kalau tidak tentu keluar di dalam blog hiburan tajuk "Kumpulan Artis Wanita Dikejar Bangla?"

Sebaik sahaja masuk, aku berbisik kepada Kak Shida, "Lebih wangi."

Kak Ida bertanya dengan isyarat kepala bertanyakan kenapa?  Kak Shida berbisik kepadanya.  Sambil ketawa Kak Ida berbisik pula kepada Kak Yati yang juga kehairanan.  Kami ketawa lagi.  Terasa muda dan riang pula. 


Shopping!!!

Yeah... shopping time!  Seronoknya tidak terkata apabila telah sampai ke PWTC.   Kami sampai awal 40 minit ke ruang legar PWTC.  Sebagai persediaan, kami membeli air mineral serta sedikit sumber tenaga untuk bekalan misi kami.  Sempat juga kami singgah di booth KUIS.  Kami juga sempat meninjau-ninjau novel di Kaki Novel.  Kak Shida sudah pun menyambar 3 buah novel apabila disapa oleh petugas di situ.

"Kalau akak beli 5 boleh dapat beg percuma,"  dia memaniskan kata.  Kak Shida teruja.

"Apa lagi tajuk yang best?"  Kak Shida sudah tidak keruan.  Agak lama juga dia terkebil-kebil memerhatikan kulit-kulit novel yang cantik itu.  

"Apa kata kita letak dulu.  Kita datanglah semula nanti," aku mencadangkan.  Kak Yati kelihatan teruja juga dengan novel yang ada.

"Cepat, kita ada lagi 10 minit!"  Kak Ida mengingatkan.

Kak Shida menyerahkan semua novel kepada petugas Kaki Novel semula.  "Nanti ya!  Terima kasih!"

Kami sampai awal 10 minit di depan Dewan Tun Hussein Onn.  Namun, kami tidak dibenarkan masuk.  Kami tertekan.  Takkan tak boleh?  "Kan Kak Ida dah kata?"  benarlah Kak Ida pun pernah mengalami tidak dibenarkan masuk ke Dewan THO sebelum jam 10pagi.

Tidak lama kemudian sepasang suami isteri muda mungkin dibenarkan masuk.  Kenapa mereka boleh pula?  

"Takpelah, Puan-puan boleh masuk sekarang,"  pengawal keselamatan membenarkan kami masuk akhirnya.  Sebaik sahaja melangkah ke dalam kami lihat sudah ramai orang sedang melihat-lihat buku di booth PTS.  Aku sudah risau sekiranya aku tidak dapat buku percuma.  Ya, PTS memberi buku percuma untuk 50 orang pembeli pertama.  Aku geram juga, mungkin pengawal pintu lain tidak memakai jam?

Sebenarnya aku yang terlebih emosi kerana aku hendak membeli satu buku sahaja pun.  Sebenarnya aku sedang berpuasa kerana duit perlu disimpan untuk hari Ahad juga.  Kak Ida mendapat buku percuma novel sejarah.  Kami yang lain hanya mendapat buku resepi.  Namun, kami tetap teruja kerana ianya percuma.  Buku Resepi Gerenti Jadi untuk Bersahur dan Berbuka Chef Arm.  I like!

Agak lama juga kami di dalam Dewan THO.  Kak Yati dan Kak Shida sudah tidak keruan memilih buku yang mana satu.  Kak Ida lebih organized.  Segalanya sudah dicatat dan dia membeli apa yang ada di dalam senarai.  Aku pula hendak beli tapi tak boleh beli dulu.  Untuk sengaja membuang masa, aku pun mencari buku genre fantasi atau sci-fi.  Aku mencari-cari petugas.  Ya, aku boleh tanya sahaja kepadanya.

"Encik, ada buku sci-fi atau fantasi tak?"

"Cuba cari di bahagian remaja."  Jawabnya sambil menunjuk ke arah ruangan Remaja.  "Mana ya?"  tanyaku.

Sebenarnya aku ingin menegur dia dan menunjukkan aku kenal padanya tetapi aku malu.  Jadi aku terpaksa pura-pura tidak kenal.  Dia segera membawaku ke ruangan Remaja.  Sungguh baik hati.

Aku lihat tiada yang boleh kusambar lagi buat masa ini.  Aku pun melepak sahaja di tepi sementara menunggu makcik-makcik lain shopping sebelum aku nampak Kak Ida.

"Kak Ida, tadi saya jumpa Bahruddin Bekri."

"Mana?  Mana?"  Kak Ida tercari-cari dan tercangak-cangak mencari Bahruddin Bekri.  Melihatkan Kak Ida yang secara nyata mencari sesuatu atau seseorang itu, salah seorang petugas merapati dan cuba menghulurkan bantuan.

"Bahrudin Bekri ada di sana tadi.  Haa.. itu dia," katanya.  Arghh.. malunya aku.  'Alamak Kak Ida tak payahlah tunjuk kita minat dia.. eh kita minat buku dia je,'  gumamku dalam hati.  Argghh malu malu.. aku rasa hendak melarikan diri meninggalkan Kak Ida seorang diri, tetapi aku takut KPI aku kena potong markah pula. 

"Pergilah,"  kata petugas itu.

"Tak apalah, saja nak tengok je.  Lagipun, takde buku nak minta autograph,"  ya.. aku sayang Kak Ida dengan reaksi spontannya.

Kami segera pergi ke booth Jemari Seni.

"Ini saudara Kak Shida.  Tauke sini."  Kak Shida memperkenalkan kami dengan seorang petugas di situ.  

"Pilih.. pilih.. nak yang nangis-nangis di sini."
"Nak yang senyum-senyum kat sini."
"Haa.. yang ini thriller macam ala-ala Ramlee Awang Mursyid.  Ini novel pertama penulis ni."  Begitu ramah saudara Kak Shida yang seorang ini.  Wah ramai juga saudara Kak Shida yang kami temui sepanjang pesta buku.  Eh, baru 2 orang.

"Yang ini anak buah Kak Shida.  Dulu study kat KUIS."  Kak Shida mengenalkan kami kepada seorang lagi petugas.  Sedangkan saudaranya yang tadi masih sibuk berceloteh mempromosi buku-buku di situ.

"Dah baca ke buku ni semua?"  tanyaku kepada saudara Kak Shida yang pertama.  Serius aku lupa namanya.

"Betul.. saya dah baca.  Haa orang-orang KUIS kena baca yang ala-ala Ayat-ayat Cinta.  Pergi booth Adiwarna tingkat atas ya."  

Aku seperti.. ha?  Kenapa orang KUIS baca buku begitu?  Kami tidak boleh baca buku novel biasa, kah?  Rupa-rupanya Kak Ida yang sudah biasa dengan novel-novel Jemari Seni memberitahu novel Adiwarna mungkin lebih kena dengan jiwaku yang sarat dengan mesej dan islamik.  Ohh.. begitu.. :P

Selepas semua orang selesai membeli, kami pun memblah dari situ.  Kami berehat sebentar di kerusi empuk sambil mengemas beg.  Banyaknya buku!  Kak Yati yang bukan kaki buku tadi membeli lebih banyak dari aku.  Mujurlah Kak Yati dapat beg percuma dari Jemari Seni.  Mujurlah berjumpa dengan saudara Kak Shida.

Perut sudah berkeroncong.  Barulah aku teringat air mineralku hilang dan aku terlupa menjamah coklat yang kubeli.  Mustahil ada orang mencuri botol air mineral, bukan?

Misi Terbantu & Saudara Kak Shida

Kami menapak ke gerai di luar PWTC.  Sungguh nikmat rasanya dapat menikmati makan tengahari yang murah dan sedap rasanya.  Tambahan pula aktiviti makan-makan ini disertai aktiviti shopping buku yang telah berjaya.  

Misi seterusnya adalah berjalan-jalan di booth lain selepas solat Zuhur.  Namun, Kak Shida dan Kak Yati sudah kelelahan.  Kak Shida juga tidak jadi kembali ke booth Kaki Novel kerana sudah kehabisan bajet. 

"Kaki akak dah sakit.. nak melecet,"  kata Kak Yati sambil melihat kasut wanitanya.

Aku rasa itu pengalaman hebat buat kami.  Pertama, perlu patuh pada etika berpakaian ke pesta buku.  Kedua, anda akan tahu siapa diri anda sebenar di pesta buku... ;)

Aku dan Kak Ida merancang perkara yang sama di dalam fikiran.  Namun, belum sempat meluahkannya, seorang petugas booth KUIS datang kepada kami.

"Ina nak balik, jomla naik kereta sekali."  Ina telah pun kami temui di booth pagi-pagi lagi.

"Tapi tiket pergi balik rugi pula,"  kataku.  Namun, tawaran Ina sukar ditolak.  Maka, kami pun mengukur badan masing-masing dan aku yang perasan kecil memberi peluang kepada Kak Shida untuk duduk di hadapan.  

Dalam perjalanan pulang kami sempat bergosip tentang itu dan ini.  Pemandu KUIS yang memandu itu rupanya staf baru.  Mungkin dia menahan sahaja telinganya mendengar perbualan kami.  Sampai satu ketika, kami berborak tentang saudara Kak Shida.

"Hari ini ramai betul saudara Kak Shida kami jumpa."  Aku memberitahu Ina.

Dalam deraian ketawa kami beramai-ramai itu Ina membalas, "Laaa.. Ina ni pun saudara Kak Shida.  Ina ni anak saudara Kak Shida."

"Haaaa...?  Saudara Kak Shida lagi?"  lantas kami ketawa beramai-ramai.




Friday, October 02, 2009

Stuntman

2 comments
Deruman enjin kereta mengejutkanku dari tidur.  Terpisat-pisat aku menggosok mata.  Ku lihat jam sudah menunjukkan pukul 7.30 pagi.  Terlepas Subuh pula hari ini.  Ya Allah ampuni dosaku.

Aku rasakan gegaran.  Aku tidak sempat bangun dan melompat ke bawah menyelamatkan diri.  Aku terpaksa merangkak ke luar dan berpaut pada satu dahan hitam.  Entah nak kata dahan, keras pula benda itu melekat pada cermin kereta.  Aku tidak mahu hancur terbakar dalam enjin kereta, terpaksalah aku bergayut di luar sahaja.  Aku memang betul-betul tidak dapat melompat, kereta ini bergerak bertambah laju.  Jari-jari kecilku erat menggenggam.. Ya Allah selamatkanlah aku..!

* * * * *

7.33 pagi aku berada di pusingan U di Taman Maju Jaya hendak masuk ke hi-way NPE.  Hari ini nampaknya trafik berjalan lancar di sini, mungkin sebab tadi aku keluar awal 5 minit.

7.37 pagi aku hampir memasuki lebuhraya PLUS.  Biasanya dalam 7.42 pagi aku akan sampai ke Tol Sungai Besi dengan kelajuan 90-100km/j.  Insya-Allah punch card aku tidak merah hari ini.  Hari ini adalah hari kedua dalam bulan Oktober.  Semalam punch card aku hitam.  Pelik pula hari ini banyak kereta, mungkin semua orang pun keluar waktu yang sama denganku.

Aku berada di lorong paling kanan dan terus memacu Waqis.  Target 7.42 pagi mesti dicapai!

* * * * *

Aku pening.  Gegaran semakin bertambah kuat.  Angin semakin kencang.  Aku semakin memegang erat pada 'dahan' keras hitam ini.  Mujurlah ada lopak yang panjang dan lebar, membolehkan aku berlindung dari angin kencang itu.  Di luar sana bunyi angin deras di atas kepala. Di bawah pula deruan enjin kereta mengaum-ngaum seolah mahu memecahkan gegendang telingaku.  Aku tahu di bawah sana amat panas kerana aku dapat rasakan bahangnya keluar melalui lubang-lubang kecil yang berdekatan tempatku ini.

Sekejap kurasa kenderaan ini bergerak lurus.  Sekejap lagi membelok ke kiri dan ke kanan.  Namun, bunyi hon yang kuat betul-betul membuatkan aku terkejut.  Hampir terlepas genggaman jari ini.  Berderau darah aku.  Ya Tuhan, selamatkanlah aku!

* * * * *

Bagai hendak luruh jantung aku. Serentak itu juga aku membunyikan hon.  Panjang bunyinya.

"Lipan betullah!  Bawa kereta pakai lesen 'terbang' ke?  Beli kereta mahal-mahal tapi tak guna signal!"  Membebel aku bila tiba-tiba sebuah Honda Civic memotong 'sayur' di depanku.  Memang tak ada kesedaran sivik.  Sepatutnya pengguna jalanraya lebih berhemah, berilah signal bila hendak memotong.  Komunikasi dengan pengguna jalanraya itu penting.  Tambahan pula aku sedang memandu dengan kelajuan 120km/j.

Mungkin juga balasan untuk aku yang juga tidak mengikut peraturan kelajuan maksimum 90km/j.  Sekurang-kurangnya aku sentiasa memastikan jarak selamat dan memberi signal bila memotong.  Puji diri la pula.

Bosan mendengar radio kerana banyak iklan membuatkan aku menukar mod CD.

"Duhai bondaaaaaa... duhai ayahandaaaa... dengarlah rayuan anakandaaaa.. yang jauh di mataaa..."  Aku mengalunkan lagu Mamat mengikut melodiku sendiri.  Suara mesti datang dari perut barulah nafas panjang.  Aku masih ingat pesan Nurul janda Ajai semasa program yang aku pun dah lupa namanya.  Melodi pun jangan terlalu mengikut penyanyi asal, barulah ada identiti sendiri.

Satu persatu lagu raya kudendangkan.  Dari lorong kanan, aku masuk ke lorong tengah supaya aku boleh mengurangkan konsentrasi dan kelajuan kereta.  Aku akan skip lagu yang kurang popular.  Apa yang bagusnya, mata aku tidak akan mengantuk bila aku boleh menyanyi sekali. Bila mulut bergerak, mata akan terbuka.

Dalam pada itu, aku terpandang jam berdekatan di jarum meter.  Alamak, 7.56 pagi.  Ada lagi 2km sebelum sampai ke KUIS.  Biasanya perjalanan ke punch card mengambil masa 3 minit dari tol Bukit Mahkota.  Kalau ada kereta macam kura-kura di pagar KUIS, sekurang-kurangnya 4 minit masa perjalanan.  Takkan baru 2 haribulan punch card dah merah!

Aku pantas memecutkan Waqis dari 90km/j kepada 120km/j kembali.  Geram juga bila sebuah Toyota pacuan empat roda menghalang kepantasan Waqis di exit Bukit Mahkota.  Sudahlah perlahan, aku hendak ke kanan ia juga hendak ke kanan.  Aku terpaksa membrek dan mengelak ke kiri.  Hendak potong ke kanan terus, kereta belum sampai ke garisan putus-putus pula.  Bukankah aku pemandu berhemah?

Aku memberi signal ke kanan.  Mata menjeling pantas ke cermin sisi kanan dan belakang.  Sempat aku mengintai ke kawasan blind spot di kanan Waqis.  Line clear.  Pedal minyak terus kupijak.  Hanya 3 minit lagi sebelum pukul 8 pagi.  Aku sempat menoleh ke arah pemandu Toyota yang lembap itu.  Dia juga menoleh ke arahku.  Hatiku menggerutu mengutuk kelembapan pemandunya.  "Ini pun satu hal.  Bukan nak bagi signal!  Slow pulak tu.."

Tangan kiriku pantas mencapai Smart Tag dan meletakkan di dashboard.  Smart Tag tidak boleh dilekat di cermin kereta, nanti dirompak pula.  Pecut! Pecut! Pecut! Brek! "Teet..." Sensor Smart Tag berbunyi.  Kaki dan tangan bekerjasama memastikan kelajuan Waqis bertambah.  Kaki kiri berkasut tumit tinggi menekan clutch, tangan kiri mengawal gear.  Tangan kiri pantas menukar posisi ke signal.  Kaki kanan menekan pedal minyak.  Pantas! Pantas!  Telinga sudah tidak menghiraukan lagu raya genre apa yang berkumandang.

7.58 pagi.  Aku menekan brek dan berhenti, memberi signal ke kanan serta menukar ke gear satu. Di persimpangan ke KUIS, kelihatan kenderaan dari arah bertentangan agak laju dan bertunda-tunda dengan motorsikal.  Sebuah Myvi hitam bergerak sederhana laju.  Dalam perkiraanku, aku pasti sempat melintas.  Aku percaya aku boleh melintas.  Kaki kiri mengangkat clutch dan kaki kanan pantas menekan pedal minyak.  Menderum enjin Waqis.

"Teeeeennnnnnnn..."  Myvi hitam membunyikan hon.  Aku pelik aku sudah pun  melintas kenapa dia membunyikan hon?

Memang kepantangan aku orang suka membunyikan hon tidak tentu pasal.  Mulutku mula membebel, "sudahlah!  Dah tau dekat selekoh apa pasal bawa laju-laju?"  Aku malas hendak fikirkan hal MyVi itu.  Target mesti dicapai segera.  Mujurlah tiada kereta lain di hadapanku, dalam masa minit yang sama sempat aku sampai ke blok IT dan mengira 20 saat sebelum mematikan enjin dan berjalan pantas menuju mesin punch card.

"Trettt..."  Tertera tulisan 7.59 berwarna hitam di punch card kuning.  Leganya hatiku.


* * * * *

Aku rasa seperti hendak muntah.  Gegaran, kepanasan serta badan yang semakin lemah kerana belum bersarapan membuatkan aku hampir berputus asa.

Aku hanya mampu berdoa semoga segalanya cepat selesai.  Bilakah kereta ini akan berhenti?  Aku sudah tidak mampu bertahan lagi.  Tadi ada beberapa minit juga kereta ini agak stabil.  Namun kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.  Kereta ini bergegar dan berayun lebih dahsyat dari yang kujangkakan.

Tuhan, tolonglah hambaMu ini!  Aku taubat!  Aku tidak mahu tinggal solat lagi.  Mataku berpinar-pinar dan hampir pitam.  Nafasku sesak.  Aku cuba bernafas dalam-dalam.  Tarik... hembus... tarik... hembus.. tarik nafas melalui hidung... tahan nafas.. tahan.. tahan...tahan lagi... hembus perlahan-lahan ikut mulut.  Tarik lagi... hembus... Kupejamkan mata.  Mulutku tidak langsung berdecit.  Jantung kecilku berdebar-debar.  Aku memang tidak berani membuka mata kerana aku sudah nampak bintang-bintang berkerlipan di sekelilingku.  Darahku yang sememangnya sejuk bertambah sejuk.  Aku pasrah.

Sekonyong-konyong aku rasakan gegaran dan ayunan semakin perlahan.  Berhenti.  Ya, bagaikan tidak percaya kereta ini sudah berhenti.  Dalam kesyukuran aku masih merasa trauma.  Trauma seperti lagu kumpulan Elit yang pernah aku dengar berkumandang semasa melepak di bumbung sebuah flat di Seri Sentosa.

Aku memberanikan diri membuka mata.  Cerah dan silau.  Aku lihat nun di kejauhan terbentang sebuah tasik nan permai.  Tasik itu nampak hijau kerana dikelilingi pohon-pohon merimbun.  Indah sekali.  Aku meneguk liur.  Terasa kering tekak ini setelah hampir pitam tadi.  Namun aku masih tidak tahu di mana aku berada.

Semasa termenung cicak itu, tiba-tiba aku terdengar jeritan kecil.  Aku menoleh ke arahnya. Perempuan.  Aku terkedu.  Mata kami bertentangan.  Aku tidak berani turun lagi.  Aku juga tidak boleh terus di sini.  Si dia terus menampar-nampar kereta.  Aku takut aku menyorok di bawah dahan hitam yang keras.  Dia terus mengetuk-ngetuk tempat persembunyianku.  Kalau sahaja dia sentuh dahan hitam ini, aku akan panjat tangannya.  Itu resolusi terakhirku untuk menyelamatkan diri.

* * * * *

Mataku membandingkan jarak kereta dengan pokok di tepi bangunan IT.  Puas aku memikirkannya.  "Macam mana ada cicak di kereta ini?  Nak kata jatuh dari pokok, jauh benar jaraknya."

Aku pantas menutup pintu dan tingkap sebelum bergerak ke tempat parkir di belakang Pusat Konvensyen KUIS.  Aku suka meletak Waqis di sini sebab sebelum dan selepas bekerja aku boleh menikmati pemandangan indah tasik KUIS.  Hijau dan tenang.

Seperti biasa selepas mengunci kereta, aku akan mengangkat wiper.  Orang kata untuk memanjangkan hayat wiper tersebut agar tidak terkena impak maksima cermin yang panas dek bahang matahari.

Aku terkejut.  Cicak tadi masih berada berdekatan wiper.  Kali ini dia bergerak ke bawah wiper.  Aku tahu, kalau aku masih juga mahu mengangkat wiper itu, cicak ini pasti panik dan melompat ke tanganku.  Lebih menggelikan bila aku membayangkan cicakman itu akan memasuki lengan baju kurungku.  Aku terus mengetuk-ngetuk Waqis namun dia tidak berganjak.  Nekad nampaknya dia. 

* * * * *

Aku ternampak lubang yang boleh menembusi kawasan enjin kereta.  Mungkin aku terpaksa menahan bahang sedikit, tetapi rasanya di situ lebih selamat.

Aku nekad bila melihat perempuan itu mengeluarkan sesuatu dari begnya dan mengacukannya kepadaku.  Dia mengugut aku nampaknya!  Sekejap benda itu didekatkan kepadaku.  Sekejap lagi dijauhkan sedikit.  Aku dapat melihat refleksi diriku di situ.

Aku tidak mahu mati lagi.  Aku harus bertindak sekarang.

Dalam kiraan tiga!

Siji!

Loro!

Telu!

Sepantas kilat aku bergerak ke lubang.  Bahang enjin tidak kurasakan kerana darah gemuruh mengatasi segala-galanya.  Kalau perempuan itu berbuat sesuatu kepadaku, aku akan pastikan dia hanya mendapat ekorku.

Aku menyorok terus di bawah bonet sambil berdoa dia segera pergi.

* * * * *

Aku hampa.  Cicak kelabu berbelang hitam itu telah hilang dari pandangan.  Akibat terlalu tamak memastikan jarak supaya sehampir mungkin dengan cicak, menyebabkan ia sempat melarikan diri.  Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.  Orang tamak selalu rugi, bagai anjing dengan bayang-bayang.  Atau mungkin zaman ini aku boleh tukar peribahasa milenium, orang tamak selalu rugi, bagai rinhoneykurma dengan cicak. Lensa kamera handphone kutala pada pangkal wiper.  Seketika kutekan butangnya.

Kukira walaupun cicak itu tiada, tempat persembunyiannya bisa menghiasi blogku untuk hari ini.








 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates