Monday, November 01, 2010

Luas?

6 comments
Setelah membaca entri sahabat saya Siti R berkenaan rumah idamannya, saya teringat satu dua perkara.  Saya tulis satu dua perkara kerana memang dua perkara itu yang saya ingat walaupun sepatutnya mungkin ada empat perkara. 

Ia berkenaan personaliti individu berkaitan dengan rumah di kawasan yang ingin dimiliki.  Pertama, sekiranya seseorang itu sukakan rumah di kawasan hutan dan air terjun seperti Siti R, ia menandakan orang itu seorang yang misterius.  Kedua, jika orang itu sukakan kawasan ladang yang luas untuk rumahnya, dia seorang yang berfikiran luas.  Ketiga, jika orang itu sukakan kawasan kebun, saya tidak ingat apakah maknanya.  Begitu juga yang keempat lebih teruk, saya tidak ingat kawasan jenis apa.  Jangan marah, nanti kena jual.

Pada pendapat saya, Siti R memang seorang misterius.  Jangan risau kerana bagi saya misterius itu bagus.  Saya pula?  Oh, saya sukakan kawasan ladang luas seperti dalam cerita Smallville atau cerita koboi-koboi atau kawasan orang-orang Hobbit di dalam filem Lord of The Rings :).  Adakah saya berfikiran luas?  Saya tidak pasti pula, hanya orang lain yang boleh menilai diri saya.  Apa yang pasti permukaan kulit dan badan saya memang luas.

Adakah saya mendapat rumah di ladang luas itu?  Kalau saya kecutkan diri saya seperti filem Honey I Shrunk The Kids itu, laman comel itu boleh jadi sebuah ladang nan luas.  Bolehlah tuu... setakat nak buat ala-ala Farmville secara kecil-kecilan, saya sudah bersyukur.


Saturday, October 23, 2010

Mengalahkan Bangla

3 comments
Kuat tak saya?  Mestilah saya kuat sebab saya kalahkan seorang bangla.  Termasuk esok, saya bekerja 13 hari tanpa henti.  Saya sudah lupa apakah rasanya bercuti di hujung minggu.

Bangla pun ada cuti weiiiiiiiiiii... i need a break...!!!






Saturday, August 21, 2010

Erti Puasa Bagi Budak Enam Tahun 2010

3 comments
Sebelum Ramadhan tahun ini bermula, saya telah pun memulakan kempen "Jom Berpuasa" kepada seorang kanak-kanak Ribena ini.  Kanak-kanak ini memang suka Ribena jadi memang sesuai sangatlah gelaran tersebut.

Seperti Ribena, Horlicks juga memulakan kempen Ramadhannya.  Tanpa disangka-sangka wajah mungil dan suara high pitch Fasha, anak penyanyi Liza Hanim yang sudah bertudung itu telah memberi satu impak besar.  Impak besar bukan sahaja kepada kanak-kanak Ribena bernama Yana tetapi juga ibunya ini.

Hari pertama Ramadhan, saya berpesan kepada Yana untuk berpuasa penuh.  Namun, dia hanya dapat berpuasa separuh hari.  Dia makan di nurseri sebaik sahaja pulang dari tadikanya.  Saya tidak mahu memaksanya. Sementelahan saya sering dimomokkan dengan cerita budak kecil mati sebab dipaksa berpuasa.

Saya berkempen pula sekiranya dia berjaya berpuasa penuh, dia akan mendapat RM1.00.  Sekiranya hanya separuh hari, dia hanya akan mendapat 50sen.  Amboi gembira betul dia.  Yeahh...reward is better than punishment...

Dalam kegembiraan itu, Yana pula berkempen pada saya agar membeli Horlicks.  Dia hendak bersahur dengan Horlicks seperti Fasha.  Huh, dia agak opportunist orangnya.  Saya terpaksa bersetuju walaupun harga Ho Ho Ho yang agak membuatkan saya terlopong kehohoan... (saya kira di kala ini frasa ketawa pesen terbaru "huhuhuhu..." sangat sesuai.. kerana yang saya faham, huhuhuh ni macam ketawa dalam menangis).

Bagi memastikan dia tidak berbuka awal, hari kedua saya berpesan kepada Yana, "Jangan makan dan minum sampai ibu balik kerja." Saya kira inilah layman term yang paling sesuai untuk budak berumur enam tahun.  Kalau saya sebut sampai azan Maghrib dia bukan faham.

Nampaknya dia benar-benar taat pada perintah itu.  Petang itu apabila saya sampai ke rumah pada pukul 6.20 petang, dengan pantas dia ke dapur dan terus minum.  Hendak dimarah rasa tak patut pula.  Hendak tergelak besar sambil menangis rasanya.  Salah saya juga terlalu underestimate kefahaman agama seorang budak.

Malam itu, dia mahu saya kejutkan dia untuk bersahur dengan mengucapkan skrip yang sama seperti Liza Hanim cakap pada anaknya.  Oh... sungguhlah saya tidak bersifat keibuan seperti itu.  Namun, demi kempen "Jom Berpuasa" saya, saya pun menghafal skrip tersebut.  Jadi pagi itu dia bersahur dengan Horlicks dengan rasa gembira.

Kali ini sebelum dia keluar ke tadika saya berpesan, "Jangan makan dan minum sampai azan Maghrib. Jangan korek hidung, korek telinga, marah-marah.  Faham?"

Pada hari ketiga ini dia betul-betul faham  kerana dapat berpuasa penuh untuk pertama kalinya.  Yana juga tidak perlu bersahur pada pukul 6.30 pagi seperti penulis blog ini dahulu.

Hari-hari seterusnya dalam Ramadhan ini, seawal 5 pagi saya akan memekak dengan skrip tambahan, "Yana, bangun!...ho! ho! ho! bangun bersaholick!"

Friday, August 13, 2010

Mengatasi Marah

1 comments
Ramadhan bulan yang suci...
Rahmat melimpah dari Ilahi...(2x)
Banyakkan amal di bulan ini... (2x)
Wajah muslimin selalu berseri... (2x)

Terngiang-ngiang bait lirik lagu ini setiap kali menjelang Ramadhan.  Ramadhan Mubarak!  Ramai antara kita merasa gembira dengan ketibaan Ramadhan.  Inilah masanya hendak turunkan berat, mengatasi amarah atau melatih diri menjadi lebih sabar dan insaf.

Bila sebut marah ni, teringat pula insiden yang pernah saya alami.  Mengapa mereka marah rasanya tidak perlulah diceritakan.  Nanti malu pula mereka sebab mereka sudah tua.

Apa yang penting saya baru terfikir, ketika mereka marah, saya turut marah.  Terlupa segala 90/10 Rules atau menarik nafas panjang atau beristighfar.  Apa yang sibuk lakukan ketika itu, saya meminta mereka bersabar.  Siapa yang boleh bersabar ketika marah? Siapa? Siapa?  Beritahu saya siapa boleh bersabar ketika marah?  Minta bertenang? Lagilah tidak boleh dipakai.  Cakap memanglah senang.

Walau bagaimanapun, saya membuat bedah siasat terhadap diri sendiri dan mendapat sesuatu.  Bak kata rektor saya, bedah siasat atau post-mortem bukan untuk menyalahkan sesiapa. Ia adalah menjawab dua persoalan:
1) What we have done that we should not have done
2) What we have not done that we should have done

Saya tidak sepatutnya meminta mereka bersabar.  Saya sepatutnya bertanya adakah mereka marah?  Jika benar mereka marah (memang sudah nyata mereka marah) saya patut meminta mereka INGAT ALLAH seterusnya menarik nafas dan BERISTIGHFAR semasa nafas dilepaskan.  Jika perlu, saya sepatutnya membimbing mereka membaca Ayat Kursi.

"Istighfar Tuan-tuan dan Puan-puan.. istighfar..."

"Tarik nafas dalam-dalam.. ikut saya.. istighfar Tuan Puan.. istighfar!"

Jika mereka begitu marah dan bertanya, "Kami begitu marah.  Kami tidak boleh istighfar!"

Sambil menggeleng kepala saya sepatutnya menjawab "Innalillah....."  

Beza Kita

0 comments

Aku seorang wanita
masih berjuang pada liku kehidupanku
sama sepertimu sang lelaki
hidup kita sama menguji

Aku seorang wanita
letih membanting tulang dan memikir
sama sepertimu sang lelaki
hidup kita mencari seperiuk nasi

Aku seorang wanita
punya harga diri
sama sepertimu sang lelaki
hidup kita pantang dicerca dan dikeji

Aku seorang wanita
menongkah adat yang mengongkong kemajuan
sama sepertimu sang lelaki
hidup kita elakkan merempat

Aku seorang wanita
cuba menjadi Fatimah dan Khadijah
sama sepertimu sang lelaki
hidup kita tidak kan terbanding dengan Ali dan Muhammad

Lalu sang lelaki, apakah sahaja
yang membezakan antara kita?

Jika kau tahu bezanya
hidup kita adakah kau biarkan sama?
ilmuku adakah kau biarkan sama?
imanku adakah kau biarkan sama?





Rin 
Bangi
13 Ogos 2010







Thursday, August 05, 2010

Membaca Menghilangkan Tekanan

4 comments
Kesibukan pada waktu kebelakangan ini memberi kekangan untuk saya mengemaskini blog kesayangan saya ini.  Hari-hari saya berazam untuk meletakkan entri terbaru, namun sebulan kemudian baru saya berpeluang untuk melakukannya.

Ketika ini saya sedang bercuti dan mengambil kesempatan untuk berkongsi sesuatu sebelum saya keluar untuk berjumpa teman-teman sebentar lagi.  Ketika ini juga lagu My Way dendangan Frank Sinatra berkumandang di radio yang terletak di atas peti ais di dapur saya.  Sungguh kena lagu dan tema entri kali ini.  Feeling rasanya, beb....  ehhehe...
Ya, kebelakangan ini ada sesuatu yang menguji.  Ujian biasa mungkin,  kerana Allah tidak akan menguji hambaNya dengan sesuatu yang tidak bisa ditanggungnya.  Kita harus sentiasa berdoa dan menggunakan kesabaran dan kebijaksanaan untuk mengharungi dugaan itu.  Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan kerana jika tiada penyelesaian ia bukanlah masalah, tetapi itu namanya cari pasal hahaha... Masalah akan datang kepada kita selagi kita masih hidup dan kita harus bersyukur kerana ia tanda kita masih bernafas di alam fana ini.  Ia tanda kita masih ada peluang memperbaiki diri sebelum kita dipanggil kembali dan sebelum penghakiman sebenar.

Kenapa saya masih tidak menceritakan membaca boleh menghilangkan tekanan?  Untuk tidak menghampakan tajuk di atas, marilah saya ceritakan sedikit.  Pagi tadi di waktu Subuh, saya telah membelek satu dokumen.  Ia merupakan valuation report hartanah yang sedang dalam proses pembelian.  Ia merupakan pengalaman pertama saya membaca valuation report.  Saya baca sehingga habis, ada peta, ada pelan rumah dan gambar rumah dengan langit berwarna biru.  Usai membacanya tiba-tiba saya rasa begitu lega seolah-olah apa yang sentiasa bermain di pundak fikiran saya hilang begitu sahaja.  Tumpuan saya benar-benar kepada isi kandungan valuation report tersebut.  Subhanallah.. memang benarlah membaca itu boleh menghilangkan tekanan hatta membaca sebuah valuation report.  Bayangkan tentu lebih besar hasilnya jika yang dibaca itu sebuah al-Qur'an.

Sekarang, selesai membaca entri saya ini, adakah kalian dapat rasakan sedikit kelegaan?  Saya pasti tentu ada sedikit rasa selesa di hati kalian kerana kalian baru sahaja membaca ... :)






Thursday, June 24, 2010

Erti Puasa Bagi Budak Darjah Satu

3 comments

Bila memandang bekas air Yana, saya teringat pula pada bekas air saya semasa di dalam Tahun Satu.  Seperti biasa, saya akan membawa air ke sekolah dan akan meletakkannya di atas meja berhampiran pintu.  Terdapat juga botol-botol lain yang berbagai bentuk di situ.

Tahun itu adalah tahun pertama saya menyambut Ramadhan sebagai seorang pelajar.  Seorang guru perempuan masuk.
"Bangun!"  Ketua kelas memberi arahan sebelum memberi salam dan diikuti oleh lebih 30 orang pelajar.  Seingat saya ada 34 orang (mungkin lebih) di dalam satu kelas.  Sekolah saya kecil sahaja, jadi setiap tahap hanya ada satu kelas dan kami akan belajar di dalam kelas yang sama sehingga tamat sekolah rendah.

Setelah mengambil kedatangan pelajar, guru tersebut pun sambil tersenyum bertanya kepada kami, "Siapa puasa hari ini?"

Saya tidak pasti adakah terdapat pelajar lain yang tidak mengangkat tangan.  Apa yang saya tahu dengan ikhlasnya saya mengangkat tangan.

"Cikgu,  Azrina tipu.  Dia tak puasa,"  kata Jumali.  Saya tidak ingat siapa ketua kelas ketika itu, mungkin Jumali kerana dia ini peramah dan ada gaya pemimpin. 

"Saya puasalah!"  Saya mempertahankan diri.  Saya yakin saya puasa sebab pagi tadi saya bersahur.  Mak dan Abah saya yang bangunkan saya, kemudian menyuruh saya bersahur pada pukul 6.30 pagi.

Jumali tidak berpuashati.  Entah kenapa dia ini suka sungguh mencari pasal dengan saya.  Saya memang geram dengan dia ini dan memang selalu bertegang leher sehingga tamat darjah 6.

"Dia tak puasa.  Tengok tu Cikgu, dia bawa botol air,"  kata Jumali sambil menuding ke arah meja di tepi pintu.  Satu kelas ketawa.  Argghhh.. malunya... betullah saya tak puasa.  Tapi, kenapa Mak Abah kata saya  puasa?  Sudah bersahur pula tu.  Walaupun ada betulnya kata-kata Jumali, saya tetap yakin saya berpuasa.  Jadi saya terus-terusan juga mengatakan saya berpuasa.  In the state of denial...maybe...

Pada waktu tengahari pula, saya dan rakan-rakan seangkatan akan pergi ke belakang kantin dan makan bekalan yang dibawa di situ.  Saya masih ingat saya pernah menikmati buah tembikai di situ.  Nikmat betul makan sambil menyorok di bulan puasa.  Walaupun begitu, saya tidak pula merasa bersalah.  Kenapa ya?  Sebab saya masih kata saya berpuasa.

Ada ketikanya musuh ketat saya, Jumali, akan ke belakang kantin dan mengejek-ngejek kami kerana tidak berpuasa.

"Tak malu.. tak puasa.. "  katanya sambil berlagu-lagu.  Saya kira lagu itu boleh masuk Juara Lagu TV3.  Untung-untung kalau menang saya dapat tumpang sekaki sebab idea lagu itu datang sebab saya.

"Kalau kamu puasa kenapa kamu datang ke sini?  Tak malu tengok orang makan.  Kamu nak ke?"  Giliran kami pula berlagu-lagu dalam kemarahan. 

Provokasi itu berjaya menghalau musuh dari teritori kami dan kami akan teruskan makan sebelum bermain batu seremban atau guli dengan lima batu di ruang hadapan kantin. 

Pada bulan puasa, dua permainan ini memang popular.  Maklumlah, bila bulan puasa takkan nak main getah atau polis sentri pula, nanti kelihatan macam tak puasa.  Ironik juga bila diingatkan, macamlah orang tak tahu yang kami ni tidak berpuasa.  Apa agaknya yang kami fikir ketika itu, ya?  Mungkin kami telah dididik agar menghormati bulan puasa, jadi aktiviti yang bakal menyebabkan kami minum air yang banyak pada waktu siang harus dikurangkan.

Begitulah rutin saya dan rakan-rakan seangkatan sehingga kami sudah pandai berpuasa.  Saya pun tidak ingat bila saya mula berpuasa.  Mungkin semasa darjah 3 atau 4.  Sekarang ini giliran saya pula untuk mendidik Yana berpuasa.  Saya harap kuah tidak tumpah ke nasi :P

Berkenaan Jumali pula, saya tidak pasti apa jawatannya yang sebenar, tetapi dia sering menjadi bilal di masjid sebelah rumah saya.  Saya dengar isterinya seorang guru fardhu ain.  Walaupun duduk sekampung, tetapi saya sudah lama tidak bertembung dengannya bila saya pulang.  Hanya mendengar suaranya melaungkan azan.  Mungkin kadang-kadang menjadi imam.  Sungguh berbaloi dia bising dahulu bila saya tidak berpuasa...

Monday, May 17, 2010

Mengejar Keretapi

2 comments
Salam Pertemuan.. :)
Alhamdulillah, di kala housemates saya sedang lena di ruang tamu ini kerana bahang kepanasan, saya mendapat peluang mengetuk papan kekunci berwarna hitam dan mencoretkan sesuatu di blog ini melalui Azzura.  Azzura kembali dan harapan saya agar kembalinya kali ini dengan kesihatan yang berpanjangan kerana ada misi yang harus diselesaikan.  Dua bulan aku tunggu kau Azzura.  Tanpamu blog ini menjadi usang kerna aku tidak bisa mengetuk jari-jemariku di atas papan kekunci laptop adikku.  Lain feel dia...


Terlalu banyak untuk diceritakan bagi dua bulan kebelakangan ini.  Jadi adalah lebih baik saya ringkaskan sahaja.  

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010
Saya bernasib baik kerana giliran mendapat kutu jatuh pada bulan ini.  Walaupun saya merancang untuk merebut hadiah 100 pengunjung pertama PTS pada hari bekerja, saya gagal berbuat demikian kerana kekangan kerja.  Oleh itu, berbekalkan harapan mendapat diskaun 25% bagi buku-buku PTS dengan kupon PTS fan di Facebook, saya membawa backpack sebagai persediaan.  Sungguh tidak disangka rupa-rupanya saya tertinggal kupon tersebut.  Nasib menyebelahi saya apabila saya bertemu dengan En. Fauzul Naim, sifu Akademi Penulis.  Beliau bermurah hati memberikan kad diskaun 25% kepada saya.  Pemberiannya tidak saya sia-siakan apabila ketamakan saya mendapatkan buku-buku PTS tidak dapat dibendung.  Hampir RM200 dibelanjakan di gerai PTS sahaja, itupun saya mengenangkan masih banyak buku yang dibeli di PBAKL 2009 yang masih belum dibaca :PSaya berjaya mendapatkan lukisan karikatur untuk Yana daripada Saudara Jas, pelukis komik Meon, tandangan Saudara Bahruddin Bekri, Saudara Alif Firdaus Azis dan Pak Latip.  Saya juga turut menyerbu gerai Galeri Ilmu sebelum berjalan pulang sambil menyanyi-nyanyi di dalam hati.
Sedang meniru

Sesuai dengan tajuk Senangnya Memasak Ayam..
stew ini menjadi rebutan dan sebutan keluarga Pak Mustapa



Baca@LRT April - Tema Beri
Saya tidak dapat menyertai Baca@LRT April yang bertemakan "Beri".  Bukan kerana saya tangkai jering untuk memberikan buku kepada orang lain (walaupun hakikatnya terasa sayang dengan semua buku-buku saya ehhehe), tetapi saya mempunyai tanggungjawab lain yang tidak dapat dielakkan.  Walau bagaimanapun, saya berharap saya boleh memberi kepada orang lain juga satu hari nanti.  Buat masa ini biarlah saya memberi kepada diri saya dahulu :D


Hari Potensi Tadika KEMAS Lembah Pantai
Antara acara dipertandingkan... comellllll....


Inilah antara tanggungjawab yang menyebabkan saya terpaksa meletakkan prioriti di bawah kepada beberapa aktiviti kegemaran saya.  Yana dipilih oleh gurunya untuk mewakili tadika bagi acara Hafazan/Terjemahan (Surah Al-Fatihah dan Surau Al-Waqi'ah ayat 1-6) dan acara Pidato dengan tajuk "Ibu dan Ayah Idolaku".  Johan pertandingan-pertandingan Hari Potensi ini (ada banyak lagi acara lain) akan mewakili Parlimen Lembah Pantai ke peringkat Negeri.  Yana mendapat Naib Johan bagi kedua-dua acara tersebut.  Syukur.. kerana tujuan kami memberi galakan adalah supaya kami dapat mencungkil bakatnya selain meningkatkan keyakinan dirinya apabila berdepan khalayak.  Walaupun begitu, saya amat berharap selepas ini agar mana-mana juri pertandingan Tilawah lebih mementingkan Tajwid berbanding aksi dan gaya peserta.  Bukankah bila membaca Al-Qur'an, Tajwid adalah perkara utama?  Saya tidak ingin memanjangkan cerita ini, biarlah ia menjadi pengajaran bagi semua.  Apa yang pasti, perjalanan Yana masih panjang dan peluang lebih banyak akan datang di masa depan, Insya-Allah :)




Karnival Membaca KUIS 2010
Pihak Perpustakaan KUIS telah mengadakan Karnival Membaca untuk pelajar dan staf KUIS bermula 12-14 Mei 2010 yang lalu.  Pelbagai aktiviti menarik diadakan.  Sebagai seorang yang mata duitan, perempuan ini mencuba nasib memasuki beberapa pertandingan tatkala mendengar hadiahnya berupakan wang ringgit beserta beberapa hadiah lain.  Saya telah mencabar diri untuk menyertai Sayembara Esei dengan tema "Budaya Membaca Amalan Bijaksana".  Entah bagaimanalah persepsi penanda keras jawapan agaknya kerana saya sudah lama tidak menulis seperti di dalam peperiksaan.  Tangan kaku, otak beku, berlainan benar jika menaip di atas papan kekunci. 


Hasil tangkapan... Alhamdulillah...terima kasih daun keladi ...


Oh .. saya sudah mengantuk...doakanlah Azzura terus sihat supaya saya dapat menulis lagi di rumah.



Thursday, February 25, 2010

Ulat Baru Ulat Lama

3 comments

Arrrkkkkk!!!!  Aku terlompat kerana terjumpa seekor labah-labah.  Sungguh lama aku tidak update blog ini sehinggakan ia bersawang.  Tetapi aku tidak sepatutnya takut pada Sang Labah-Labah kerana ia yang telah membantu Nabi Muhammad S.A.W sewaktu baginda berhijrah dahulu.  Terima kasih Spider (bukan Spiderman atau Tam Spider ya).

Sambil mengibas-ngibas ini aku teringat pada aktiviti 20 Februari 2010 yang lalu.  Ulat dari seluruh pelosok tanahair membuat serangan kedua.  Kali ini ulat-ulat ini mendapat pula liputan RTM serta dapat pula sokongan dari Kedai Buku BookXcess di Amcorp Mall.  Oh, aku ulat yang berprofil kecil, jadi agak tersorok dari lensa kamera tetapi aku tidak kisah.  Semangat aku tetap membara seperti ulat-ulat lain juga. 

Kali ini aku memilih untuk memulakan serangan dari Masjid Jamek.  Niat di hatiku dan Mak ET (sahabat halimunanku) hendak bersama-sama dengan angkatan Sindiket Sol-Jah.  Bagaimanapun, sebaik sahaja tren tiba aku membuat keputusan bagi pihak Mak ET dan Yana untuk tidak bertempur di dalam tren yang sama:
1) Kerana aku memikirkan Yana.  Keselesaan lebih utama.  Kalau aku pengsan bagaimana Yana dan Mak ET hendak memulihkan diriku? 

2) Kerana aku memikirkan bila orang terlalu ramai, apakah akan kelihatan figura-figura membaca di mata orang yang tidak membaca?  Bila terlalu ramai, sesak, mata mereka akan lebih senang dipejamkan atau jarak penglihatan menjadi terlalu terhad.  Objektif mengajak orang ramai membaca akan sedikit sebanyak boleh terganggu.

3) Kerana aku yakin walaupun aku bergerak dalam platun kecil, mesej akan tetap juga sampai.  Aku ingin menunjukkan bahawa memegang buku bukan sesuatu yang menjijikkan (hatiku agak terasa kecil dan panas apabila ada orang berkata "GROSS!!!" setelah melihat temanku berposing dengan buku di FB suatu ketika dahulu).

4)  Kerana aku memikirkan ramai orang tidak membawa bahan bacaan bersama kerana mereka merasa pening membaca di dalam kenderaan bergerak. Apabila aku mengikut gerakan ini, ia adalah usaha kecil untuk memastikan sekurang-kurangnya seorang generasi di bawahku (Yana) berkebolehan membaca di dalam kenderaan bergerak.  Itulah objektif utama.  Jadi, aku tidak perlu terburu-buru.

5) Kerana kami bertiga telah mendapat liputan di dalam akhbar pada Baca@LRT Januari, jadi kami tidak perlu risau jika kami terlepas lensa kamera mana-mana pihak media kali ini.. hahaha... :P

Setelah bergambar di Stesen Taman Jaya, kami bergerak ke Amcorp Mall untuk menyerahkan borang keahlian percuma yang telah diisi dan mendapatkan "book thong" comel juga secara percuma.  Pertama kali aku mendengar perkataan "book thong" aku terfikir buku pun ada spender?  Bagaimana rupanya?

 
Inilah "book thong" yang menjadi rebutan aku dan Yana.  Dingin, bukan?



Cina kedai itu telah mengajarku untuk menggunakan "book thong" seperti ini.

Semasa berada di BookXcess aku agak terkejut kerana mendapati harga buku-bukunya agak murah berbanding kedai lain.  Untuk pengetahuan, buku-bukunya semua berbahasa Inggeris.  Nampaknya, dengan kewujudan kedai buku ini, usaha untuk memperkasakan Bahasa Inggeris akan menjadi lebih mudah.  Macamlah kedai buku second hand tidak jual murah?  Masalahnya, buku-bukunya semua baru-baru belaka.  Aku begitu teruja menolak rak buku ke kiri dan ke kanan kerana aku tidak pernah melihat rak buku seperti itu.  Macam sliding door tu.  Kasihan aku, kan?  Maklumlah, aku ulat dari kampung.  Di kampung tiada rak buku bergerak-gerak begitu.

Oleh kerana dompetku agak nipis ketika itu, aku hanya membelikan Yana tiga kamus bergambar sebagai rasuah menggantikan "book thong" yang menjadi rebutan kami.



Kamus ini juga sesuai untuk orang dewasa

Selepas memilih buku, kami mengisi perut di McDonald's bersama-sama ulat yang lain.  Aku gembira kerana aku dan Mak ET berjaya juga mengaplikasikan Teknik Menghilangkan Malu Dari Ponorogo apabila mendapat rakan-rakan baru di sana.

Buat peserta Baca@LRT, syabas dan teruskan perjuangan!

Wednesday, February 10, 2010

Moral Seorang Lady Driver

8 comments

Sambil-sambil memandu aku mesti terfikir, orang sering mengatakan pemandu wanita ni culas.  Orang putih kata reckless, careless, absent-minded.  Sampai ada ketika aku merasa rendah diri dan kecil di jalanraya walaupun aku tidaklah kecil atau rendah.  Hendak memotong pun rasa malu.  Hendak memecut pun takut-takut. 

Seringkali aku dapat e-mel yang mengandungi gambar-gambar yang menunjukkan kecuaian pemandu wanita.  Sehinggakan aku akan mengintai semula penutup tangki minyak kereta selepas mengisi petrol.  Takut tangki tidak bertutup atau terlupa menyangkut semula paip petrol (apa orang panggil benda tu ek? .. yang macam pistol air tu).  Aku terfikir teruk benarkah pemandu wanita?

Sebuah kereta mengekoriku di lebuhraya dengan begitu rapat sekali.  Lagi dia rapat, lagi aku jauhkan jarak dengan kereta di hadapanku.  Maaf, aku bukan selemah itu.  Aku mengikut teori pemanduan jarakkan 2 saat untuk pemanduan biasa dan 4 saat bila diekori dengan rapat.  Aku lihat melalui cermin pandang belakang, pemandunya lelaki.

Aku sedang memandu di lorong kanan dan secara tiba-tiba sebuah kereta di lorong kiri terus masuk di hadapanku tanpa memberi signal.  Aku pun bagi lampu tinggi kepadanya.  Bila aku memotongnya aku sempat menoleh.  Pemandunya seorang lelaki.

Sebuah kereta lain di hadapanku asyik membrek.  Sikit-sikit brek.  Sikit-sikit brek.  Lampu brek rosak, atau brek rosak?  Mungkin kaki lenguh asyik nak landing kat pedal brek?  Bila aku berjaya memotongnya aku lihat pemandunya lelaki. 

Ada kereta macam Terminator rosak.  Terminator ni kereta yang tidak menyalakan lampu pada waktu malam.  Eh, siap bagi lampu tinggi pula bila aku nak melintas dia takut aku langgar dia.  Boleh pula menyala lampunya?  Aku tengok pemandunya lelaki.  

Ada pula yang jenis bila hujan lebat sikit, mesti pasang lampu kecemasan.  Aku rasa orang ini kena dengar ayat macam iklan talian 999 di televisyen tu.  SILA GUNAKAN SEMASA KECEMASAN... KE...CE...MA...SAN... Apa pasal dia cemas sangat bila hujan lebat?  Buka lampu  besar sudahlah.  Mesti orang ini jawab salah soalan objektif semasa ujian memandu (sebab aku pun jawab salah dulu kah..kah..).  Sekurang-kurangnya aku ambil iktibar.  Siapa yang tak ambil iktibar ni?  Aku lihat pemandunya lelaki.

Di simpang samada ada traffic light atau tidak, cukuplah sekadar 2 saat lewat bergerak, pasti ada yang membunyikan hon.  Maaf ya, aku mesti memastikan jalan benar-benar selamat untuk melintas.  Kalau eksiden, ada orang nak bayarkan?  Pemandu lelaki yang hon tu pasti orang pertama larikan diri.

Ada yang sangat yakin dia berada di litar lumba F1 Sepang.  Cilok sana, cilok sini.  Buka pula lampu tinggi nak suruh aku ketepi.  Jangan kau dekat walau seinci, aku pasti buat tak reti.  Siapa pemandunya?  Siapa? Siapa?  Pandaaaaaaaaaaaaaaaaaiiii... siapa lagi kalau bukan lelaki.

Semasa hendak memulakan kembali perjalanan, sebuah kereta tiba-tiba kematian enjin.  Tersengguk-sengguk dan tersedak kereta tu.  Di dalamnya ada 4 org pemuda yang sedang ketawa sambil menahan malu.  Pemandunya juga malu.  Yelah, tentulah pemandunya lelaki.

Sebuah kereta dengan penuh gaya ala James Bond masuk ke petak parkir.  Tapi sayang, garisan kereta tidak selari dengan garisan kotak parkir.  Kereta senget 45 darjah mungkin mencecah 76 darjah.  Ada juga yang keretanya tidak berada di dalam petak.  Mungkin semasa belajar matematik dulu, dia mesti tak tulis nombor dalam petak.  Mesti cikgu matematik dia pening.  Aku tengok pemandunya lelaki juga.

Terima kasih kaum lelaki.  Kisah ronda-ronda di atas membuatkan self-esteem aku sebagai pemandu wanita semakin meningkat.  Aku tidak lagi gentar berada di jalanraya.  Sebabnya?  Kau dan aku sama sahaja atau aku dapat rasakan pemandu wanita tidaklah seteruk kau orang....hahaha...

Friday, February 05, 2010

Baca@LRT 20 Februari 2010

0 comments
Sekali lagi warga kota LRT akan diserang ulat-ulat yang telah menyerang pada 16 Januari 2010.  Ulat-ulat itu mungkin akan bertambah banyak. 

Aku di pejabat dan sudah hendak pulang.  Aku hendak cepat.  Jadi, aku letak sahaja pautan ini.  Jangan marah haaaaaaa....

Tema Buku : Saster, tidak Sastera pun tidak mengapa.

p/s  Aku akan berpuasa Internet pula sepanjang hujung minggu kerana talian telefon rosak.  Aku tidak berdaya melawan takdir ini.  Aku pasrah.  


Tuesday, February 02, 2010

Tegar Seperti Aku?

2 comments

Berkuatkuasa Januari 2010, budak perempuan itu tidak dibenarkan menggunakan komputer bermula Ahad malam hingga Khamis.  Dia hanya boleh menggunakannya pada hari Jumaat malam sehingga siang Ahad sahaja.

Pada hari-hari larangan tersebut, dia dikehendaki membaca, membaca, membaca, menulis dan menjaga bermain dengan adiknya.

Hasilnya, semalam dia telah bertindak memasang sendiri komputernya.  Dia sudah tidak peduli dengan jelingan mataku.  Aku dapat melihat rakusnya jari-jemari kecil itu menari-nari di atas papan kekunci yang veteran itu.  Punat-punat pada monitor juga ditekan-tekan.  

Memang.. memang dia seorang yang tegar!

 
Sayang betul dia pada komputernya.. siap cover monitor tu.. ish ish..



Friday, January 29, 2010

Tanggungjawab

0 comments

Kenapa ada orang tidak mahu mengambil tanggungjawab?

1.  Tiada keyakinan diri
2.  Malas
3.  Malu
4.  Sibuk
5.  Bebanan
6.  Pelupa
7.  Jahil
8.  Berfikiran negatif
9.  Tidak bertanggungjawab
10. Takut

Bagaimana mengatasi elemen-elemen negatif di atas?  Bagi aku, tanamkan sifat rajin, buang rasa malas, insya-Allah yang lain-lain akan dapat diatasi.  Bila rajin :
1)  Boleh pergi kursus motivasi meningkatkan keyakinan diri.

2)  Sifat malas akan hilang.

3)  Menghapuskan bisikan-bisikan yang mengatakan kita poyo atau gila kuasa.  Orang yang mengatakan kita poyo itulah yang akan menjadi poyo bila memegang tanggungjawab.  Teruskan untuk mengamalkan "Teknik Menghilangkan Malu Dari Ponorogo" - sila rujuk buku Detektif Bertudung Hitam oleh Bahruddin Bekri.

4)  Mencari masa lapang atau belajar menguruskan masa.  Jadi Perdana Menteri lagi sibuk!

5)  Tanggungjawab menjadi minat, bukan bebanan.  Badan pun rasa lebih ringan.

6)  Selalu membuat catatan supaya tidak lupa.

7)  Selalu belajar dari yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan.

8)  Sifat positif akan mengecas di dalam diri.

9)  Minda "kalau aku tidak buat, siapa yang akan buat" akan mengelakkan kita bergantung dan berharap orang lain akan membuatnya.  Contoh, ambil tanggungjawab untuk memberhentikan kenderaan bagi memberi laluan kepada pejalan kaki melintas.  Cuba tengok, jika tidak buat, ada orang lain buat?

10) Hilangkan perasaan takut dengan melengkapkan diri dengan ilmu.  Percayalah, ilmu adalah kuasa!  Gaban tidak akan bertukar dalam 2.5saat sekiranya dia tiada ilmu bagaimana untuk menukar dirinya.

Tuesday, January 26, 2010

Mimpi Jadi Kenyataan

4 comments
Rasanya tidak sampai seminggu aku hendak bermimpi mendapat buku percuma dari seorang yang shopaholic buku.  Akhirnya mimpi jadi kenyataan hujung minggu baru-baru ini.


Aku yakin ramai orang akan cemburu kepadaku.  Sungguh baik hati saudari ini membelikan aku.. ehem.ehem.. :
1)  9 Nyawa - RAM (diberi pada hari Jumaat selepas beliau selesai melakukan facial di Amcorp Mall)
2)  Quranic Law Of Attraction - Rusdin S. Rauf
3)  Pilih Jangan Tak Pilih - Azzah AR


Buku (2) dan (3) disambar pada hari Sabtu tanpa menghiraukan wang di dalam dompet (oh tentulah beliau mengira dulu jumlah wang, nanti malu pula dengan Tuan Haeqal yang menjadi juruwang).  Beliau suka menyalahkan orang yang mencipta istilah "Impulse Buying", istilah untuk pembeli yang tidak sengaja membeli.



Terima kasih Puan Kurma.. kao memang baik.  Itulah sebab suami kau sayang banget ..aku pun sayang pada kao jugaaa.  Nanti aku masakkan kurma untuk kau ya?


Tuesday, January 19, 2010

Bila Ulat Keluar

0 comments
Geli atau tidak?  Kalau seekor ulat mungkin tidak diendahkan.  Bagaimana jikalau ulat itu banyak seperti dalam rancangan Aduan Rakyat TV3 Ambil Berat minggu lepas?  Aku pasti satu kampung berjoget-joget kegelian.  Ulat kalau banyak bisa menggegar satu Lembah Klang.


Sama juga kalau yang sejenis ulat ini keluar.  Diam-diam ulat ini mula menyerang dan bakal meninggalkan virus.  Ulat ini akan memastikan virus terus tersebar melalui genetik sehingga keturunan yang akan datang.  Jangan risau, virus daripada ulat ini tidaklah merbahaya seperti H1N1, B1N1 atau JE.  Malahan, virus ini akan memastikan penawar virus-virus lain termasuk HIV terhasil dan seterusnya membentuk generasi lebih tinggi sifat mahmudahnya, insya-Allah.


Ya, 16 Januari 2010 hanyalah satu permulaan bagi golongan ulat ini untuk bertindak.  Sebagai salah satu ulat yang terlibat, aku dapat merasakan gelombang yang kami hasilkan mampu menarik sokongan ramai.  Buat ulat-ulat buku di luar sana, kalian tidak keseorangan lagi.  Teruskanlah tabiat kalian membawa buku atau apa sahaja bahan bacaan walaupun kalian mungkin tidak membacanya.  Sekiranya kalian ulat yang shopaholic, teruskan sahaja membeli-belah tanpa rasa bersalah.  Buktinya?  Lihat ini .


Aku sudah mengantuk.  Aku hendak bermimpi mendapat buku-buku percuma dari ulat yang shopaholic.



Friday, January 15, 2010

Puasa Facebook

3 comments
Sudah 2 hari. Rabu dan Khamis. Sebelum fajar menyinsing aku telah berniat,


"Sahaja aku berpuasa Facebook sepanjang di pejabat kerana Allah Taala."


Alhamdulillah, lepas terbenam matahari aku melantak Facebook dengan lahapnya. Hari ini disebabkan aku bercuti, aku tidak berpuasa Facebook.. lemak Facebook mula berkumpul.


Ini hanya latihan meningkatkan jati diri.  Hanya ada kena-mengena dengan aku yang masih hidup dan bakal mati.












Baca@LRT 16 Januari 2010

5 comments
Insya-Allah, sebelum cicak batu bangun besok, aku dan Yana akan ke LRT semata-mata untuk membaca.  Kempen ini menggalakkan penumpang membaca apa sahaja bahan bacaan di dalam LRT.  Kalau dulu mungkin orang fikir siapa membaca dalam kenderaan awam tu skema dan macam agak memalukan atau perasan poyo.  Kini, membaca di mana-mana adalah trend dan akan terus menjadi trend yang cool macam aiskrim Mat Kool.  Takpun cool macam Kumpulan Kool masa 3 minit pertama persembahan mereka.  Cool juga seperti menyedut aiskrim Malaysia perisa asam boy berharga 10sen yang dibeli dari rumah makcik di sebelah sekolah Fardhu Ain di kampung dulu.


Apa kena buat?  Sila baca tentatif di sini .  Senang cerita, kerjanya membaca dari Terminal LRT Gombak sampaila ke stesen Kelana Jaya, lepas itu boleh balik.  Selalu membaca atas katil atau atas sofa depan tv.  Kali ini kita membaca dalam LRT.  Agak-agak rasa nak pening, rehatla sekejap.


Apa perancangan aku untuk perjuangan ini?  Aku paling risau kalau aku rasa lemas dalam LRT.  Jadi aku sudah membuat beberapa persiapan:
1)  Membuat senaman (memang dah jadi rutin sempena azam baru), supaya tekanan darah aku optimum.


2)  Membaca dengan meletakkan buku sama level dengan mata.  Ini petua Siti Rahmah, kalau berjaya, beliau boleh digelar Doktor Mabuk Membaca Dalam Kenderaan Bergerak.


3)  Bersarapan dengan kismis, susu, roti dan pembekal tenaga yang lain.


4)  Membawa bersama barang-barang kecemasan seperti :
a) agen-agen pernafasan seperti buah limau dan minyak angin.
b) ini persiapan barisan belakang iaitu membawa plastik beg yang tebal, 4 keping (untuk aku dan Yana)...
c) sebotol air kosong.


5) Mendapat tidur yang secukupnya supaya bekalan oksigen sampai ke otak.


6) Tidak membawa wang yang banyak kerana takut kalau aku gugur di KLCC atau Ampang Point, aku membeli-belah pula.


Buku apa aku hendak baca nanti?  Yana kata nak bawa komik Galeri Ilmu-Azam Syaitan.  Aku mungkin bawa novel atau majalah.  Tak kisahlah janji aku nampak cool.













































Tuesday, January 05, 2010

Memecah Kebuntuan

4 comments
Apa yang aku buat pagi-pagi buta begini?  Buta ke pagi ini?  Kenapa pagi dikatakan buta?  Malam pun orang kata buta juga.  Apalah salah pagi dan malam dikatakan buta?  Adakah kerana pagi dan malam tiada mata?  Jangankan mata, kaki dan telinga pun tiada.  Kenapa tidak dikatakan malam pekak atau pagi kudung?


Sebenarnya aku hendak mencari idea.  Tiba-tiba aku pun dapat idea.  Walaupun idea yang datang ini bukan idea yang dicari tetapi aku rasa ia boleh memberi idea yang dicari pada waktu lain.  Mungkin juga idea ini bisa menggegar urat saraf orang lain yang bakal menerima idea segar.  Ideanya adalah aku hendak cerita sesuatu.


Sewaktu aku sedang khusyuk menatap skrin komputer di pejabat (aku tatap sahaja kerana komputer aku agak biol sebiol diriku ketika itu), aku mendapat panggilan dari ibu mertuaku.  Beliau memberitahu ada kad untukku dari G.D.E.X sampai ke rumahnya.  Mungkin ibu mertuaku tidak perasan kehadiran posmen maka kad tersebut ditinggalkan.  Di atas kad itu tertulis Sistem Televisyen Malaysia.  Eh, itu TV3 tu.  Seingat aku, kali terakhir aku melibatkan diri dengan TV3 (pertama kali sebenarnya), adalah 2 tahun lepas ketika membawa Yana audition sebuah rancangan kanak-kanak.


Keesokan harinya Abangku menuntut kiriman tersebut di GD Express.  Aku telah memaksa Abangku membuka sampul surat itu walaupun beliau pada mulanya berkeras agar aku membukanya sendiri di rumah.   Aku memang tidak sabar.  Kalau surat biasa kenapa perlu guna courier begitu?


Sebaik sahaja mengetahui isinya aku rasa macam nak melompat dan berlari-lari itik di situ juga.  Memang aku tak sangka sama sekali skrip kemetot 30 saat aku terpilih.  Sketsa sempena kempen Senang Dengan ICT oleh MSC-Hot FM itu telah kuhantar lebih 3 bulan lalu.  Aku hantar 2 sketsa, tak tahulah mana satu yang terpilih.  Aku sendiri sudah menyangka aku tidak berjaya walaupun dalam hati pernahlah juga berharap.  Angin tidak ribut pun tidak, langsung tiada sebarang pemberitahuan, rupa-rupanya aku perlu menyemak sendiri keputusan di sini http://www.hotfm.com.my/menangke/?view=archives&month=11&year=2009 .


Alhamdulillah.. syukur...syukur.. terima kasih HotFM.. terima kasih MSC.. terima kasih Abangku dan rakan-rakan atas dorongan.  Bagi aku ini adalah penutup 2009 dan pembuka 2010 yang amat baik.  Harap-harap gambar-gambar ini bisa memberi inspirasi kepada diriku dan rakan-rakan lain hehe...


RM195 daripada ongkos itu telah selamat dilaburkan ke Digital Mall.  Oklah kan, daripada aku beli lipstik bukan boleh dimakan pun.





Cek yang telah diterima ;-)









Please meet Black Balau from Digital Mall, 250GB portable HD idaman.




 
 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates