Wednesday, May 17, 2017

Selamat Hari Guru


Selamat Hari Guru
Jasamu sungguh terbilang
Tidak mampu kubalas
Hanya doa untukmu
Mengiringi wiridku


Ketika saya masih kecil, tidak pernah saya memberi hadiah sempena Hari Guru.  Kehidupan kami ketika itu sangat ringkas.  Kami meraikan Hari Guru bersama guru-guru di sekolah dan tiada pun ibu bapa yang hadir.  Cikgu tidak perlu berjoget di atas pentas atau memakai pakaian mengikut tema.

Cikgu hanya buat sukaneka dan pertandingan sesama kumpulan yang anggotanya terdiri daripada guru dan murid yang dipilih.  Murid lain menjadi pemerhati.  Paling hebat kami melihat cikgu menyanyikan lagu "Kami Guru Malaysia".  Sebelum tengahari acara pun selesai.

Pada hari ini, situasi berbeza.  Guru meraikan hari ini dengan meriah sekali.  Hadiah pun sudah dapat yang lebih banyak dan ada yang lebih mahal.  Alhamdulillah, syukur rezeki dari Allah S.W.T.  Kita pun jangan lokek beri hadiah kepada cikgu.  Hadiah yang anak kita beri pun kebanyakannya untuk guru kelas (mungkin sesetengahnya ada beri kepada cikgu lain).  Tahun depan, anak kita beri kepada guru lain pula sebab guru kelas bertukar.  Jadi, tiada salahnya setahun sekali keluar sedikit bajet untuk hadiah cikgu.  Kita juga boleh didik anak kumpul wang saku untuk beli hadiah untuk cikgu.

Ada yang berkata, memberi hadiah kepada cikgu tidak harus dijadikan budaya. Ini kerana ditakuti murid yang tidak mampu terasa hati dan malu. Terpulanglah kepada pendirian masing-masing.  Ibu bapa harus memainkan peranan.  Jika tidak mampu beri hadiah, kita boleh ajar anak, memberi ucapan kepada cikgu, atau DIY kad ucapan dari bahan-bahan terpakai sangat bermakna.  Nilai menghargai guru dan ilmu yang dicurahkannya itu yang kita mahu terapkan.  Paling penting, menerapkan kepada anak untuk menghormati guru sepanjang hayatnya kerana di situlah keberkatan ilmu yang anak kita perolehi.

Hadiah apa hendak diberi?  Terpulanglah.  Sebatang pen ... kerongsang (ramai cikgu perempuan.. nak raya pula), tudung (cikgu perempuan lagi?), kain pelekat (oklah bagi chance pada cikgu lelaki), buku, pembaris panjang (hah.. balun manja bonbon anak kita yang sekali sekala bijak sangat tu).. atau hasil bumi seperti yang dilakukan murid pedalaman (pisang, mangga, ikan besar).  Saya fikir nak bagi ikan bilis, ikan masin buat stok bulan puasa pun tak ada masalah.  

Asalkan rasa sesuai.. sesuai ni pun subjektif.  Kita yang memberi kadang-kadang rasa sesuai, yang menerima pula rasa tak sesuai.  Suka hati.. janji bagi dan niat ikhlas untuk menghargai.  JANJI SEMUA GEMBIRA...


SELAMAT HARI GURU.  SEMOGA SENTIASA TABAH DAN ILMU YANG DICURAHKAN UNTUK ANAK BANGSA DIBALAS DENGAN SEBAIK-BAIK GANJARAN DARI ALLAH S.W.T.





0 comments on "Selamat Hari Guru"

 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates