Monday, January 21, 2013

Baca@LRT Januari 2013


Berita panas! Berita panas!

Apa yang panas?

Ada perhimpunan.

Bila? Di mana?  Tidak habis-habis dengan perhimpunan!

Perhimpunan ini mungkin tidak akan habis pun.  Perhimpunan ulat-ulat menaiki choot..choot.. keretapi elektrik!

Apakah itu?

Perjuangan harus diteruskan.  Kempen membaca di mana-mana itu cool tidak boleh tamat begitu sahaja.  Ulat-ulat mesti memastikan ada yang menyambung legasi mereka dahulu!

Cewah.. rasa macam ceramah politik.  Bagai tidak percaya apabila melihat status rakan di Facebook yang Baca@LRT akan memecah tradisi untuk julung-julung kalinya bagi tahun 2013 ini.  

Saya merasa begitu risau tatkala seorang teman memberitahu terdapat perhimpunan Kebangkitan Rakyat.  Saya yang sudah lama tidak mengikuti perkembangan politik semasa tidak tahu perhimpunan apa yang bakal merubah kalendar Baca@LRT kali ini.  Untuk itu saya berpesan kepada teman tersebut bahawa pada 19 Januari 2013 ulat-ulat Baca@LRT akan keluar dengan tema karya Ramlee Awang Murshid dan mereka harus memberi laluan kepada kami!  Namun, sekiranya mereka masih ingin meneruskan agenda mereka pada tarikh tersebut, mereka mestilah membawa buku dan membacanya di dalam LRT, Komuter dan bas, untung-untung tercatat dalam sejarah peserta Baca@LRT mencecah 700,000 orang!  HAHA.. genius kan saya?

Oh.. mujurlah tarikhnya tidak sama. 

Kerisauan kedua pula timbul.  Bagaimana saya mahu pergi dengan seorang Maryam dan dua orang Sunan ini?  Saya pernah membawa mereka ke taman permainan.  Baiklah, itu terlalu mudah.  Saya pernah balik kampung memandu sendirian bersama mereka.  Ya, peperangan di dalam kereta memang terjadi.  Namun, itu masih dikategorikan sebagai mudah.  

Oleh itu, saya melatih diri saya membawa mereka ke pusat membeli-belah Empire di Subang semasa berjumpa dengan rakan-rakan lama.  Masih mudah sebenarnya kerana rakan saya banyak membantu dan kami pula hanya makan dan berjalan-jalan.  Bagaimana hendak membawa mereka menaiki LRT sambil membaca?  Saya mahu membaca dengan sebenar-benar membaca bukan setakat memegang buku dan bermata ikan masin, merenung buku tanpa berkelip tetapi satu pun tidak masuk ke kepala.  Kerisauan hanya ditelan sendirian.

Saya memberitahu Abangku yang saya hendak menyertai Baca@LRT.  Cuma, saya tidak tahu lagi ketika itu apakah saya akan menaiki komuter seterusnya menaiki LRT dari KL Sentral.  Memandangkan stesen komuter yang kurang mesra stroller, maka saya fikir mungkin saya akan memandu sehingga ke Taman Jaya dan naik sahaja LRT dari situ.  Abangku hanya diam...diam...diam...

Oh.. saya ingin meniru Siti Rahmah ... bunyi cengkerik pun berkumandang...

Krik! Krik! Cengkerik!

Senyap itu tanda-tanda seperti tiada keizinan atau mungkin beliau masih berfikir.  Tidak mengapa, biarkan.  Namun, selepas 2 3 kali bercerita tentang rancangan saya, cengkerik masih berbunyi, maka saya fikir elok saya diam sahaja.  Ada juga saya mengajaknya menyertai sekali, tambahan pula ketika ini dia sedang membaca ADAM.

Niat baik, Allah pasti tolong.  Tiba-tiba pintu hati Abangku terbuka untuk menyertai Baca@LRT.  Cantiklah.. melompat kerianganlah saya hoyeeeee.. hoyeee... teruja!

Maka, 19 Januari 2013, pagi-pagi lagi kami telah keluar ke Taman Jaya.  Kami mesti mengejar trip ke Gombak supaya dapat bersama delegasi yang lain.  Di sebalik senyuman melihat keriangan anak-anak menikmati panorama kota dari dalam LRT, saya menyembunyikan kerisauan sekiranya kami tidak sempat sampai ke Gombak sebelum 10.30 pagi.  Abangku pula khusyuk membaca ADAM.  Nampaknya dia sendiri sudah memulakan Baca@LRT sebelum tiba pada waktunya :D.

Lebih kurang 10.20 pagi.. saya SMS Siti dan memberitahu mungkin saya tidak sempat menaiki tren Baca@LRT yang pertama.  Siti kata tidak mengapa dia pun akan naik dari Masjid Jamek sahaja.  Hati saya berat mengatakan untuk teruskan ke Gombak dan setiap tren yang berselisih saya intai sekiranya terdapat ramai orang membaca di dalamnya.  Macamlah nampak sangat!

10.35 pagi.. tren tiba jua di Terminal Putra.  Kami ingin bergegas keluar, tetapi Abangku menahan kerana dia yakin peserta-peserta Baca@LRT telah menaiki tren tersebut dan telah mula membaca.  Segalanya berlaku dengan pantas!  Saya tidak sempat berfikir.  Kami duduk kembali dan terus mula membaca.  Saya pelik, kenapa tidak ramai peserta seperti sebelum ini?  Adakah kami telah terlepas tren?  Sepatutnya penumpang lain yang pelik tengok kami, tetapi sekarang saya pula yang pelik melihat mereka!  Saya cepat-cepat SMS Siti menyatakan rasa pelik saya itu.

Selepas beberapa SMS bersama Siti yang mendapat info daripada Tuan Attokz Dikulgai, akhirnya misteri terjawab.  Sungguh misteri Baca@LRT kali ini, kena betul dengan temanya!  Rupa-rupanya kami tersalah tren.  Tim Baca@LRT masih belum bertolak.  Tidak mengapalah kami teruskan kempen kami.  Beberapa orang memandang juga kami kerana Sunan kecil ini marah saya memegang buku RAM.  Maka saya terpaksa melayannya dengan buku kanak-kanak.  Kami turun di Masjid Jamek untuk turut menyertai Siti.  Ya, Siti seorang sahaja kali ini.  Bunyi cengkerik berkumandang...

Aktiviti

Akhirnya kami dapat juga menaiki tren Baca@LRT.  Nasib kami baik kerana banyak tempat duduk yang kosong.  Mungkin kerana lebih selesa maka Sunan kecil tadi atau nama penuhnya Ahmad Zahin khusyuk 'membaca' semua buku kanak-kanak yang dibawa. Mujur juga tergerak hati membawa buku yang banyak kerana si kecil ini mudah bosan dengan satu buku. Abangnya, Ammar Faris lebih berminat memegang sahaja bukunya.  Yana membaca buku komunikasi Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu :D.  Oh lupa, saya pula membaca Aku Bercerita. Perjalanan akhirnya sampai ke Kelana Jaya.

Snap..snap..snap... posing..posing..posing...jejak kasihan bersama rakan-rakan Baca@LRT yang telah lama tidak kami temui.  Terharu rasanya ukhuwah yang terjalin hanya kerana minat yang sama.  Ya, mengapa kita mencari perbezaan sedangkan kita boleh bersatu kerana persamaan?

Kami menaiki semula tren untuk ke Taman Jaya.  Dilema pula bila sampai di sana.  Hendak berjalan kaki atau naik kereta?  Kami merancang hendak makan A&W, risau pula tiada parkir, jadi kami biarkan kereta di LRT dan menapak bersama askar-askar kecil dan Siti ke Taman Jaya.  Apabila sampai sahaja, kami lihat krew RAMFC mengangkat bekas-bekas makanan.  Ini bukan jamuan kecil!  Bihun ada, nasi lemak ada, kek cawan coklat ada, macam-macam ada termasuklah pulut dan sambal ayam.  

Semoga bertambah-tambah subur dan murah rezeki mereka ini.

Selepas makan, ada aktiviti menyanyi mengikut tema lagu.  Sangat cool game itu, mungkin saya boleh usulkan untuk hari keluarga nanti :D.  Namun, saya tidak dapat menyertainya kerana sibuk memantau si kecil.. alasan terbaik dari ladang.  Game kedua pula dipanggil Mangala Mengganas.  Nampak menarik tetapi saya sudah mahu berangkat pulang.  Maklumlah, membawa si kecil tidak boleh berlama-lamaan (eh wujudkah perkataan ini?).  Namun, sempat juga beramah-mesra dengan RAMians serta peserta Baca@LRT yang lain.

Dapat juga berjumpa dengan Tuan RAM dan Web Sutera dan mereka sempat memberikan tips menulis.  Mereka kata, karya sulung memang susah sedikit.  Tetapi apabila yang pertama telah keluar, yang lain seperti air.  Seperti kata Tuan RAM, memetik surah al-Insyirah, setiap kesulitan ada kesenangan.  Tuan Web Sutera turut menyokong sambil mengingatkan, 2 kali perkara itu disebutkanNya di dalam surah itu.

Alhamdulillah.. terima kasih..terima kasih.

Kami melangkah pulang meninggalkan Siti dan tim Baca@LRT yang lain.  Kami diberikan satu beg berisi majalah Maskulin dan Hijabista serta satu penanda buku Baca@LRT RAM.  Seronoknya! 

Terima kasih kepada semua yang terlibat.  Syukur pada Allah yang memudahkan urusan kita.

Saya harap lambaian kelmarin bukanlah lambaian terakhir.  Malahan, ia adalah lambaian menjemput delegasi Baca@LRT yang lebih besar selepas ini.


Suka! Suka! Suka!

Daripada Cikpuan Norlela Md Sideh...

Bersama Tuan RAM sekeluarga dan pendokong Baca@LRT Januari 2013.

Kita telah bermula dengan baik.

4 comments on "Baca@LRT Januari 2013"

Siti R on Tue Jan 22, 12:08:00 AM said...

Haha...best, kan

Kurma on Wed Jan 23, 12:24:00 PM said...

haha best! Harap2 dapat join masa PBAKL nanti.

Web Sutera on Wed Jan 23, 11:34:00 PM said...

Alamak! Nama saya disebut! Cerita & laporan santai yang baik .. Memang boleh menulis, insya-Allah. Teruskan.

Kurma on Mon Feb 04, 10:55:00 AM said...

Terima kasih Tuan Web Sutera :D
Insya-Allah...

 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates