Wednesday, May 29, 2013

Tips Membaca




Saya ada seorang rakan yang saya kenal di alam maya.  Entah bagaimana saya terjumpa blog beliau.  Oleh kerana tertarik dengan rak buku di dalam blognya saya pun mencarinya di Facebook.  Saya kagum kerana beliau istiqomah membaca, jadi saya gatal-gatal tangan menanyakan tips membaca beliau.  Berikut adalah balasan beliau tanpa saya edit.  Saya telah mendapat izin beliau untuk memanjangkan ilmu bermanfaat ini. 

Baiklah.. saya tipu.  Saya edit nama saya.  Itu sahaja.


Mina wrote: "Waalaikumussalam WBT Kurma. Alhamdulillah kerana Allah swt mengurniakan saya nikmat masa dan mata. Dengan ini membolehkan saya terus membaca dan membaca banyak buku tanpa jemu. Di sini saya sertakan beberapa tip mengikut pengalaman membaca saya:


1- Kenal pasti waktu perdana anda. Setiap orang mempunyai waktu perdana masing-masing. Pada waktu itu, fokus seseorang dalam melakukan kerja amat tinggi. Waktu perdana saya dari 8 pg hingga 11 pagi, dari 2 ptg hingga 3 ptg dan dari 11 mlm hingga 12 mlm. Ini kiraan jam secara mudah difahami. Setiap satu jam saya boleh membaca sebanyak 70 mukasurat (kaedah bacaan biasa). 5 jam didarab dengan 70 mukasurat bersamaan 350 mukasurat sehari. Jadi, target membaca saya sudah tercapai untuk hari itu. Jadual membaca saya juga sangat anjal. Jika saya sibuk pada waktu pagi, saya akan 'qada' membaca pada waktu malam. Maka, tidak hairan jika ada kalanya saya tidur pada jam 2 pagi. Jika saya membaca buku dari penulis yang saya minati, biasanya angka jam dan mukasurat turut meningkat. Hipotesisnya, semakin tinggi minat pada sesuatu karya itu, semakin bertambah fokus untuk membaca.

2- Cari atau bina persekitaran yang tenang dan sunyi supaya anda boleh membaca dengan efektif. Kekusyukan dalam membaca sangat penting kerana dengan cara ini tumpuan anda akan 100 peratus terpusat pada apa yang sedang anda baca. Semasa membaca, minda akan menyerap apa yang dibaca lalu menayangkan visual imaginasi yang terhasil dari pembacaan itu. Jika anda berjaya mengaplikasikan cara ini semasa membaca, insyaAllah ingatan anda terhadap apa yang anda baca akan mudah lekat dan tidak luntur kerana anda tahu apa yang sedang anda baca.

3- Semasa membaca biasakan menyediakan 5 soalan ini: Siapa, Mengapa, Apa, Dimana dan Bagaimana. Jika semasa membaca anda mewujudkan soalan-soalan seperti ini, naluri anda untuk mencari tahu lebih tinggi dan mendalam. Ini membuatkan aktiviti membaca anda lebih seronok dan mencabar kerana anda sedang menggali ilmu yang belum anda ketahui. Anda akan 'ghairah' untuk terus membaca hingga ke bab penamatnya. Setelah tiba ke bab penamat barulah kesimpulan tentang sesebuah buku itu anda dapatkan.

4- Jangan membaca sambil berbaring. Ingat! tujuan kita membaca untuk mencari ilmu. Bukan untuk dijadikan ubat tidur. Duduk dengan selesa ketika membaca. Saya tidak gemar duduk di meja tulis ketika membaca kerana cara ini nampak sangat formal. Jika di rumah, ada beberapa tempat yang saya selalu gunakan untuk duduk ketika membaca. Waktu pagi saya suka duduk di kerusi rotan di tingkat atas rumah. Ada kalanya saya duduk di sofa tingkat bawah. Pada waktu petang saya suka duduk membaca di kerusi balkoni sebelah belakang yang menghala ke padang dan disebelah malam saya gemar membaca di atas katil tanpa berbaring.

5- Semasa membaca pastikan tempat membaca anda terang dan dilimpahi cahaya. Sama ada cahaya matahari atau cahaya lampu. Sebab itu saya sering berpindah tempat membaca kerana saya sangat menitik beratkan pengcahayaan. Jika tempat anda membaca kurang terang, mata anda terpaksa bekerja keras untuk terus membaca dan kesannya mata akan cepat letih. Sayangilah mata anda. Jika mata anda letih, rehatkannya sebentar dengan melihat pemandangan pokok-pokok yang menghijau atau tidur sebentar. Alhamdulillah, walaupun saya gemar membaca tetapi mata saya masih sihat dan segar.

6- Semasa membaca, sediakan sebotol air putih untuk anda minum. Mengikut pengalaman saya, disebabkan saya terlalu leka membaca, tanpa sengaja saya abaikan pengambilan air yang mencukupi untuk badan. Ianya sangat bahaya untuk kesihatan manusia kerana 70 peratus kandungan dalam badan manusia adalah air. Tubuh manusia boleh bertahan tanpa makanan tetapi tidak tanpa air.

7- Cabar diri sendiri. Setkan sasaran atau target membaca secara tahunan, bulanan, mingguan dan harian. Tahun 2013 saya mensasarkan untuk membaca 150 buah buku. Oleh itu, seminggu saya perlu membaca tidak kurang dari 3 buah buku dan sebulan harus membaca lebih dari 12 buah buku. Jika sebulan saya berjaya membaca sebanyak 13 buah buku, insyaAllah tahun ini saya akan berhasil mencapai sasaran yang telah saya sediakan. Setiap minggu saya akan memilih buku-buku yang akan saya baca. Buku-buku itu pula terdiri dari pelbagai genre dan berkategori ringan, sederhana dan berat. Jumlah ketebalannya juga berbeza.

8- Pengurusan masa yang berkesan amat penting. Walaupun saya 'gila membaca' tetapi saya bukanlah seorang yang anti sosial. Saya sentiasa ada masa untuk membuat apa saja. Semua orang dianugerahkan 24 jam sehari. Jika saya menghabiskan masa 5 jam untuk membaca, saya masih mempunyai baki masa 19 jam untuk melakukan aktiviti lain. Rugi jika kita mensia-siakan masa untuk tidur sahaja. Curi sedikit masa tidur untuk membaca.

9- Ingat, tanam dan semai di hati bahawa membaca ini adalah perintah Allah swt yang termaktub di dalam Al-Quran. Selaku orang muslim, kita adalah umat Iqra'.Jangan biarkan kejahilan menyelimuti kehidupan kita. Bangsa yang maju adalah bangsa yang banyak membaca.

10- Walaubagaimanapun, untuk pembaca amatur, saya nasihatkan supaya memilih bacaan yang diminati dan ringan dahulu. Selepas itu disusuli dengan bacaan sederhana yang bersifat tarbiyah, pencerahan dan akhir sekali ilmiah. Paling penting anda perlu istiqomah dalam membaca. Biar sedikit bilangan mukasuratnya namun pastikan setiap hari anda memegang buku untuk menggali ilmu. Sehari 10 mukasurat, sebulan anda sudah berjaya mengkhatamkan sebuah buku setebal 300 mukasurat. Selamat membaca!"



4 comments on "Tips Membaca"

Siti R on Thu May 30, 11:35:00 PM said...

Wow..ini 1st time aku baca tips membaca (ada tips rupanya ye..uhuhuhu). Sesuai tak utk diaplikasikan oleh seorang tsundoku?

Kurma on Fri May 31, 08:30:00 AM said...

haha ada banyak jugak tips tapi sebab ni orang kita dan memang kita tau dia buat, jadi terbukti berkesanlah tips dia tu ehhehehe...

haahah Utk seorang tsundoku seperti kita, buat masa ni belum boleh terbukti sebab setakat ni aku masih gagal kihihi...

Aku rasa macam ada terbaca Huda Engku punya status di FB dia macam ada sebut tips ala2 untuk tsundoku. Beli buku hanya apabila kita berjaya habiskan satu buku sebagai reward. hahaha sanggup?

Siti R on Sat Jun 01, 06:01:00 PM said...

Ooo...ye ke? Xnampak pulak status dia yg tu. Aku rasa x seswai la kalo nk buat macam tu. Nanti sampai 10 thn pun xdpt beli buku baru. Macamana nk dapat rebet cukai? Ahahahha

AZA on Thu Dec 11, 12:19:00 AM said...

terima kasih rin, share blog awak nie.

 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates