Tuesday, February 01, 2011

Selamat Datang 2011


Saya kira saya sengaja membuat rekod 2 bulan tidak menulis blog.  Bolehkah ini diterima sebagai alasan yang terbaik dari ladang? :P

Kehidupan Baharu
Sejak berpindah ke rumah baharu, kehidupan saya agak hectic kata orang banjar Negarak di kampung saya.  Saya sudah tidak dapat menonton sambil berbaring dan bersilang kaki di hadapan televisyen lagi.  Saya sudah lupa jadual program di TV serta sudah tidak mengikuti siri dongeng ulangan di TV9 setiap hari Isnin-Khamis jam 8.30 malam.  Saya terpaksa sentiasa menghidupkan mod bibik sebaik sahaja pulang dari tempat kerja kerana tiada alasan lagi untuk tidak membuat kerja rumah sementelahan jarak dari tempat kerja ke rumah hanya sepenumisan sardin tin kecil dan jika agak pantas mungkin boleh ditambah lagi dengan telur dadar.  Maklumlah rumah sendiri macam rajin pula hendak membuat kerja rumah.  Padahal sebelum ini sayalah orang paling malas.

Kehidupan bertambah aktif pula terutama menjelang waktu malam kerana bertambahnya job spec bermula tahun 2011.  Yana kini melangkah ke alam persekolahan.  Oleh itu, selain terpaksa mengaplikasikan kemahiran memasak cara pantas dan ringkas, saya juga perlu menjadi seorang guru tuisyen pada sebelah malam untuk pelajar tahun satu.  Kacang gila soalan tetapi itulah yang menjadikan saya seorang guru tuisyen yang agak garang.  "Itu pun tak tahu ke? Hishhhhhhhhhhh..!!!".  Kadang-kadang kesabaran saya turut teruji bila anak murid membuat kerja sambil lewa.

Walaupun begitu, saya agak kagum dengan Yana kerana semasa saya di Tahun Satu, saya tidak boleh membuat kerja sekolah seperti dilakukannya.  Mungkin pokok pangkalnya seseorang individu itu lebih memerlukan pendedahan exposure berbanding bakat atau kecerdikan.  Melalui pendedahan awal, bakat dan kecerdikan boleh dimanipulasi dengan lebih pantas dan mudah tanpa menafikan keberkesanan rotan dan cubit-cubitan.

Kenangan
Melihat Yana ke sekolah membuatkan saya terkenang zaman kanak-kanak saya.  Berbanding Yana, saya tidak berpeluang ke tadika kerana kekangan wang.  Namun begitu ia tidak menghalang saya dari mendapat pendidikan awal melalui Mak dan Abah saya.  Seawal usia 5 tahun saya sudah boleh membaca berita dan gosip terkini di dada akhbar.  Saya masih ingat betapa saya agak "frust tapi tak menonggeng" bila mendapat tahu Allahyarham Sudirman ketika itu berumahtangga (kahkahkah.. mari ketawakan budak 5 tahun itu).

Pada hari pertama persekolahan pula, saya diherdik oleh Abah kerana takut hendak masuk ke kelas selepas perhimpunan.  Yana pula sebaliknya, apabila pada hari orientasi dia dengan berani beratur bersama-sama rakan lain untuk menduduki ujian penempatan kelas.  Malahan, dia melambai-lambai ke arah saya pula.  Orang depan dan orang belakang dicuitnya sibuk bertanyakan nama mereka.  Jikalau ketika masuk ke sekolah dahulu saya perlu menjalani ujian, saya pasti kertas jawapan saya adalah yang paling suci bersih.  Apa tidaknya, bila di dalam Tahun Satu itu, saya diletakkan pada kumplan tercorot iaitu E dan F.  Cikgu beri arahan pun saya tidak faham.  Asyik meniru kawan sahaja.  Kawan padam, saya pun padam.  Kawan tulis saya pun tulis.  Jika dia padam lagi, saya turut ikut padam, lama-lama kertas buku itu pun berlubang.

Apabila waktu rehat, saya bernasib baik apabila Abah yang bekerja sebagai tukang kebun sekolah akan membelikan saya makanan.  Yana pula terpaksa beratur sendiri dan membeli makanan sendiri.  Namun, satu persamaan kami adalah amat gemar membelanja kawan.  Bila pulang ke rumah puaslah saya dimarah oleh Mak dan Abah.  Kali ini Yana pula mendapat habuan daripada saya kerana membelanja kawannya.  Sekurang-kurangnya saya hanya membelanja kawan saya kacang goreng, tetapi Yana seperti budak kaya membelanja kawannya gam kilat-kilat.  Saya tidak pasti apakah rupa gam itu.  Saya fikir mungkin serupa dengan gam yang ada stardust yang saya beli dahulu untuk menulis di atas kad hari raya yang saya hantar pada tunangan saya dahulu (alamak kantoi).

Amatlah berbeza kehidupan dahulu dan sekarang.  Jika dahulu saya akan berperang dengan rasa mengantuk pada waktu pagi serta air kolah yang sejuk hingga ke tulang.  Yana hanya perlu berperang dengan rasa mengantuk sahaja kerana di rumah kami sudah ada pemanas air.  Saya dahulu membonceng basikal Abah, Yana membonceng motorsikal Abangku.  Sarapan saya adalah makanan RMT (Rancangan Makanan Tambahan), Yana pula masih sempat bersarapan di rumah kadang-kadang dapat makan bijirin sarapan seperti di dalam iklan di televisyen.  Cuma saya bernasib baik masih sempat menonton Space Cop Gaban atau Thundercats di waktu sore selepas pulang dari sekolah agama, sedangkan Yana hanya sampai ke rumah paling awal pun pada jam 6  petang dan sudah dikerah berehat dan mandi untuk mengaji dan membuat kerja sekolah.


Begitulah putaran hidup agak serupa tapi tak sama antara 2 generasi.  Pusingan yang sama harus dilalui oleh dua kehidupan dengan cara berbeza.  

Harapan
Saya mengharapkan sinar baharu di daerah sepi ini termasuklah sinar di jalanrayanya yang berlopak  ;).  Mengharapkan kemajuan dari pelbagai sudut terutamanya kerohanian bukan setakat di perut serta mengusahakan dan mengotakan apa yang saya impikan dan angankan.  Tentu sekali tidak mudah tetapi sekiranya ia begitu mudah tidak perlulah saya berangan. 



5 comments on "Selamat Datang 2011"

Siti R on Tue Feb 01, 05:23:00 PM said...

Akhirnya! Ber'update' juga blog ini.

Semoga azam dan harapan itu akan terlaksana thn ini..amin

Kurma on Wed Feb 02, 09:18:00 AM said...

kahkah.. satu posting pun berhari2 nak mengarang.. pensil berkarat

zatara said...

Salam...bestnya blog 'Selamat dtg 2011'..teringat zaman kecik2 dulu. terima kasih.

Siti R on Wed Feb 02, 10:32:00 PM said...

hehehe...xpe2 aku phm sbb aku pun kadang2 mcm tu

Kurma on Mon Feb 07, 08:27:00 AM said...

As Salam Zatara.. marilah kita mengimbau ehhe...

Siti.. aku pun paham kalau ko tak update haahahhaha saje ngada gertak2 ko hehhehe

 

Aku, Dia dan Lagu Copyright 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipietoon | All Image Presented by Online Journal


This template is brought to you by : allblogtools.com | Blogger Templates