Alhamdulillah, berakhirlah sudah sukan MAIS yang bertempat di KUIS pada 21 April 2012. Sukan yang bukan sekadar menguji kekuatan mental dan fizikal, malah mengandungi hikmah yang lebih lagi.
Memandangkan KUIS mempunyai visi untuk menjadi Universiti Taadib, saya kira sukan pun boleh dijadikan wadah untuk stafnya mentaadib diri. Sukan ini menguji nilai persahabatan dan kesetiaan, kejujuran dan keyakinan diri.
Saya terpaksa memilih antara acara kayak atau bola tampar. Saya diminta membuat keputusan yang berat. Saya tidaklah bagus sangat, malahan kaki saya agak bangku walaupun kelihatan normal.
Pengurus acara kayak memberitahu kekurangan calon untuk kayak. Bola tampar pula adalah impian saya sejak di bangku sekolah yang tidak tercapai. Namun, melihat pada situasi dan kemaslahatan pada masa itu, keputusan terbaik ketika itu ialah memilih acara kayak. Sedih, memang sedih tetapi apa yang penting saya perlu memikirkan tanggungjawab.
Saya berpasangan dengan Ketua Bahagian saya. Kami agak stres kerana inilah pertama kali acara kayak dipertandingkan. Tasik pula hanya di hadapan pejabat. Amatlah memalukan jika kami tumpas ke tangan anak syarikat MAIS yang lain. Ini juga adalah pengalaman kedua kami berkayak bersama. Pertama kali berkayak kami tidak tahu berapa kali kami berpusing-pusing di tempat yang sama.
Saya amat menghargai kesabaran bos saya yang akur setiap kali saya ingin mencuba berbagai-bagai cara bagi memastikan kami bergerak dengan lebih pantas. Kasihan bos saya terpaksa mendayung lebih kerana muatan di belakang lebih berat :D. Maklumlah, kami mendapat berbagai-bagai versi cara berkayak. Tidak mengapalah, mungkin semua orang begitu mengharapkan kemenangan di pihak KUIS. Jangan terbalik kayak itu sudahlah!
Buat pertama kali juga saya berendam di dalam tasik apabila pasukan penyelamat KUIS membuat latihan Water Confidence. Walaupun ngeri pada mulanya dan saya enggan melepaskan pautan dari jeti kerana kaki saya tidak jejak pada dasar (Na'uzubillah...ngeri tapak kaki rasanya kerana tasik sangat dalam), saya merasa semakin selesa selepas latihan ini diadakan. Saya rasa saya perlu belajar berenang bila saya percuma nanti. Terima kasih pasukan penyelamat Bumi Boboi Boy! Atas tunjuk ajar mereka, 6 penyertaan kayak KUIS (2 double, 1 single kategori lelaki dan wanita) meraih tempat pertama. Syukran Mabruk! Alhamdulillah...
Bila kita dalam apa-apa pertandingan, menang biar bermaruah, kalah biar bergaya. Pasukan karom wanita telah diuji. Salah seorang pemain beregu karom, Kak Shida (nama dalam Kad Pengenalan dirahsiakan) terpaksa menarik diri di saat akhir kerana ibunya dimasukkan ke ICU. Karom mempunyai 2 pasukan regu dan 1 individu. Mengikut peraturan, seorang pemain hanya boleh bermain satu jenis sukan sahaja. Kejujuran teruji di situ. Kalau fikirkan hanya kemenangan, pasukan karom boleh sahaja menarik sesiapa untuk dimasukkan ke dalam team karom tetapi sebaliknya mereka telah menyuarakan hasrat mereka kepada pengadil. Pengadil yang adil dan kacak tersebut (dari USIM) betul-betul memegang amanah dan meminta pandangan dari pihak lawan, M (bukan nama sebenar). Pihak lawan tidak bersetuju KUIS mengambil peserta lain, maka team tersebut diisytiharkan kalah. Sekiranya team tersebut tidak menarik diri, mungkin pasukan karom wanita mendapat pingat emas kerana dengan menarik diri itu sahaja mereka sudah mendapat perak. Inilah yang dikatakan kalah bergaya. Biarlah kalah, "kaf ba ro kaf alif ta nun" itu yang penting. Pasukan M juga tidak bersalah kerana mereka mengikut peraturan yang telah pun ditetapkan.
Begitu juga dengan pasukan takraw. Kakak kepada salah seorang pemain telah kembali ke Rahmatullah sehari sebelum perlawanan. Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Pak Mail (bukan nama sebenar) terpaksa bergegas ke Utara tanahair. Namun, atas dasar semangat berpasukan, beliau kembali keesokannya dan pasukan takraw berjaya meraih tempat ketiga. Macam cerita dalam filem, kan?
Keyakinan terhadap diri sendiri dan kebergantungan terhadap Ilahi, petua yang tidak dapat disangkal. Menggunakan tips dari pakar-pakar motivasi, seorang peserta memberitahu beliau membayangkan kejayaan pada hari perlawanan. Bayangan begitu terperinci apa yang perlu dilakukan bermula hon dibunyikan sehingga bertemu garisan penamat. Minda dipetakan untuk melakukan rutin-rutin yang sepatutnya sehingga menjadi hafalan yang terpapar di layar minda.
Tiba pada waktu pertandingan dimulakan, debaran di dada hanya Tuhan yang tahu. Maka, segala doa dan kebergantungan diserahkan pada Yang Berkuasa dan Yang Maha Mengasihani. Latihan telah dilakukan termasuklah berbagai eksperimentasi terbaik dilaksanakan. Dia Yang Maha Melihat tahu usaha hambaNya, namun kesungguhan dan keyakinan hambaNya itu hanya akan berhasil dengan izinNya. Segala puji bagi Allah, Man Jadda Wajada. Doa rakan-rakan lain terjawab jua.
Saya kira tentu banyak lagi kisah-kisah di belakang tabir sukan MAIS yang tidak tercoretkan di sini. Kalah atau menang ada ceritanya. Sukan bukanlah semata-mata untuk kita slim dan sihat. Ia juga adalah alat untuk kita mendekatkan diri padaNya melalui ujian-ujian di luar perancangan manusia. Persoalannya, jika tiada latihan, mampukah iman kita melepasi ujian itu?
0 comments on "Sukan MAIS - Medan Ujian"
Post a Comment